USAHA membantu ahli Kelab Pondok Peranakan Gelam (PPGC) yang kurang berkemampuan mendapat sambutan baik setelah apabila ia mengumpulkan $5,000 bagi Dana Kita Prihatin Pondok Gelam sempena Ramadan ini.
Di akhir pengagihan habuan makanan dan wang tunai kepada 25 penerima Ahad lalu, setiausaha kehormat PPGC, Encik Borhan Saini, memberitahu Berita Harian pengumpulan derma dibuat menerusi penjualan kurma amal, derma kilat, dan sumbangan orang perseorangan serta tajaan syarikat Nazreen Catering.
"Pada hari ini kami mengadakan kunjungan ke kediaman lebih kurang 25 penerima bagi mengeratkan tali silaturrahim dan menceriakan mereka sempena Ramadan dan sambutan Hari Raya.
"Mereka menerima barang keperluan seperti kuih Raya, sirap minuman, buah-buahan serta wang tunai $150 seorang.
"Antara penerima ialah pelawak veteran Mahadi Shor; bekas pemain sepak takraw nasional 1960-an, Salim Nahrawi; mantan Pak Lurah Pondok Gelam, Haji Kassim Wari; serta beberapa penerima uzur dan lanjut usia," katanya.
Encik Borhan menambah bahawa itu bertujuan menanam semangat keprihatinan, terutama dalam kalangan generasi muda serta semangat membantu mereka yang berkeperluan dan mengenang jasa mereka yang telah berbakti kepada masyarakat.
"Kami berharap projek ini akan menjadi projek tahunan Pondok Gelam," ujarnya.