Subuh
5:35
Syuruk
6:59
Zuhur
1:06
Asar
4:31
Maghrib
7:11
Isyak
8:26

'Hadiah' ulang tahun bantu teruskan kehidupan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Tabah hadapi dugaan kesihatan pada usia muda

'Hadiah' ulang tahun bantu teruskan kehidupan

Feb 21, 2023 | 05:30 AM

HADIAH ulang tahun ke-17 Cik Dian Zuhairah Wydatie begitu istimewa kerana ia adalah sesuatu yang memberi kelangsungan hidup baginya.

Apa tidaknya, tatkala remaja seusianya lumrahnya menerima hadiah seperti kek untuk meraikan ulang tahun, beliau menerima buah pinggang baru setelah disahkan menghidap kegagalan buah pinggang pada November 2020.

"Saya masih ingat lagi pembedahan untuk pemindahan buah pinggang saya adalah sehari selepas ulang tahun saya... jadi saya perlu menyambutnya di hospital," ujar pelajar tahun pertama kursus kejururawatan di Politeknik Ngee Ann (NP) itu.

Beliau berjaya menjalani pembedahan tersebut di Pusat bagi Pemindahan Organ Universiti Nasional (NUCOT) Hospital Universiti Nasional (NUH) pada 2021 tanpa sebarang komplikasi dan kini perlu terus mengambil ubat-ubatan bagi memastikan kesejahteraan buah pinggangnya terjaga.

Cik Dian berkongsi bahawa beliau mula mengalami gejala pada usia 16 tahun beberapa minggu selepas tamat peperiksaan GCE peringkat 'O'.

Ini setelah beliau cepat rasa penat dan sukar bernafas, sehinggakan beliau "tiada daya untuk ke mana-mana kerana terlalu lelah".

"Sebelum ini, saya berasa sihat dan jarang sakit," tambah anak ketiga daripada lima beradik berusia 18 tahun itu.

Selama lapan bulan sebelum pembedahan pemindahan buah pinggangnya, beliau perlu menjalani dialisis secara kerap dan menjaga pemakanannya supaya keadaannya kekal stabil.

Cik Dian berkata: "Saya melalui dua jenis dialisis, iaitu hemodialisis untuk dua bulan, dan kemudian dialisis peritoneum untuk enam bulan.

"Bagi hemodialisis, saya perlu menjalaninya sekitar tiga kali seminggu dan dialisis peritoneum pula, sekitar 10 jam setiap hari."

Hemodialisis ialah rawatan untuk menapis sisa dan air daripada darah, manakala dialisis peritoneum adalah rawatan yang menggunakan lapisan perut bagi menapis darah di dalam badan.

Menurut beliau, tempoh itu paling sukar baginya kerana di samping perlu ulang-alik sekolah dan mengimbangi pelajaran, beliau sering mengalami sakit kepala yang teruk dan pitam dengan mudah apabila melakukan sesuatu.

Lebih-lebih lagi, beliau perlu lakukan perjalanan dari rumahnya pada waktu itu di Onan Road ke Politeknik Republic - beliau baru-baru ini menukar jurusan ke NP - yang memakan masa hampir sejam sehala.

Lantaran itu, beliau bersyukur kerana pembedahannya berjalan lancar dan diberi peluang kelangsungan hidup.

"Saya rasa lebih sihat. Kekuatan fizikal masih agak lemah tetapi saya bersyukur dapat meneruskan kehidupan seperti sediakala," tambah Cik Dian.

Dek pengalaman beliau mengharungi penyakit yang dihadapi, beliau meletakkan tekad untuk "menjadi seseorang yang berguna" dan menabur bakti kepada masyarakat kembali.

Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa episod yang dilalui ini telah mengajar erti kecekalan dan enggan menyerah.

"Jangan pernah menyerah kalah. Sungguhpun anda berasa seperti anda tewas, kuatkan semangat dan teruskan berjuang.

"Kesusahan yang anda lalui bukanlah untuk selama-lamanya kerana ia akan berakhir jua," jelas beliau dengan nada penuh yakin.


" Saya masih ingat lagi pembedahan untuk pemindahan buah pinggang saya adalah sehari selepas ulang tahun saya... jadi saya perlu menyambutnya di hospital.

Sebelum ini, saya berasa sihat dan jarang sakit.

- Cik Dian Zuhairah Wydatie, pesakit buah pinggang dan pelajar tahun pertama kursus kejururawatan di Politeknik Ngee Ann (NP).

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3