Subuh
5:57
Syuruk
7:14
Zuhur
1:18
Asar
4:28
Maghrib
7:19
Isyak
8:28
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Setempat0

Hady Mirza mahu fokus hal positif

Jun 30, 2019 | 05:30 AM

KECERIAAN jelas terpancar di wajah pemenang Asian Idol, Hady Mirza sebaik sahaja beliau melangkah masuk ke pejabat Berita Harian (BH).

Sambil mengenakan kemeja merah jambu dengan cermin mata hitam tersemat di baju, Hady tampak mesra berinteraksi dengan kakitangan BH yang ada.

Ternyata Hady atau nama penuhnya, Muhammad Mirzahady Amir, 39 tahun, sudah bersedia bangkit semula dalam bidang seni suara dengan semangat dan azam baru.

Beliau yang hadir untuk sesi rakaman podcast Berita Harian (BH) #notapis berkongsi pengalaman jerih payahnya melibatkan diri dalam dunia seni, perniagaan dan cabaran hidup peribadi.

Malah sepanjang rakaman lebih dua jam itu, Hady tampak santai dan bersedia untuk menjawab soalan yang bertubi-tubi diajukan kepadanya oleh wartawan yang bertindak selaku hos dan rakan hos, selebriti Suhaimi Yusof.

Berita Popular

Setelah sekian lama melenyapkan diri daripada persada nyanyian dengan tahun lalu merupakan tahun yang paling sukar baginya - berikutan episod di mana beliau diberkas atas kesalahan dadah - Hady kini lebih matang dan kembali sibuk memenuhi pelbagai undangan nyanyian.

Tahun ini sahaja Hady telah membuat persembahan dengan antaranya termasuk konsert percuma sempena Hari Ibu di Esplanade, pelancaran penyalaan lampu di Geylang Serai, majlis perjumpaan Hari Raya Berita Harian dan konsert Gemilang Raya di Our Tampines Hub yang berlangsung hari ini.

Hady juga mendapat sambutan dan pujian menggalakkan daripada pengguna media sosial apabila filem ringkas agensi air negara PUB yang ditonton lebih sejuta kali, menjadi tular.

Semasa rakaman podcast BH itu juga, Hady sempat melantunkan suaranya dengan menyanyikan sedikit lagu Gerimis Mengundang apabila ditanyakan tentang video PUB itu.

Meminjamkan suaranya bagi mendendangkan lagu popular Gerimis Mengundang versi acapella dalam filem ringkas itu, Hady berkata beliau terharu dengan sambutan menggalakkan yang diberikan peminat.

Malah apabila video Hadi mendendangkan lagu itu dimuatnaikkan ke akaun Facebook dan Instagram peribadinya, ramai yang mengungkapkan kekata "Welcome back" atau "Selamat kembali" sebagai mengalu-alukan kepulangannya ke persada seni.

"Sebenarnya saya tidak pernah berhenti bernyanyi kerana agama. Ketika itu saya rasa ilmu akhirat saya kurang, jadi saya carilah," jelasnya.

Menurut Hady, beliau tidak boleh mengawal pandangan masyarakat yang menyifatkan perubahan dirinya termasuk daripada segi cara pemakaian sebagai satu petanda yang beliau mengundurkan diri kerana agama.

"Bagi saya mengenakan jubah pada ketika itu merupakan satu keselesaan, mudah untuk solat. Mentelah lagi, ia membantu syarikat agensi pelancongan yang membawa orang ke umrah ketika itu.

"Saya juga rasa bertuah kerana dapat peluang mengerjakan umrah dan membantu jemaah lain," tambahnya.

Hady sebelum ini pernah menjadi mentor belia di bawah FRHM Youth yang dikendalikan Fahrur Razi Travel and Services.

Di samping itu, Hady juga sempat mengongsi penglibatannya dengan beberapa syarikat sebelum ini dan cabaran yang dihadapinya di sebalik gambaran-gambaran indah yang diperkatakan.

Berkongsi pengalaman bekerja sambilan sebagai pemandu Grab kira-kira dua tahun lalu pula, Hady berkata tidak semua penumpang mengenali beliau sebagai penyanyi.

"Tetapi ada juga yang mengajak saya bernyanyi bersama!" katanya sambil tertawa.

Tambahnya kos kehidupan yang tinggi di Singapura juga mendorongnya untuk melakukan pelbagai pekerjaan selain menyanyi.

Sambil berseloroh, Hady menjawab: "Semua orang tahu tinggal di Singapura... banyak yang perlu dibayar. Sebab itu saya kahwin dengan orang Malaysia!"

Penyanyi kesayangan ramai itu telah mengakhiri zaman bujangnya, pada usia 34 tahun dengan menikahi seorang gadis dari Pontian, Johor, Cik Nor Jannah Nor Wahid, ketika itu 22 tahun, dalam satu majlis sederhana di Johor Bahru.

Walaupun beliau tiada rancangan dalam masa terdekat ini untuk menghasilkan album baru, Hady berkata beliau tetap akan cuba memenuhi segala undangan menyanyi yang ada.

"Bagi saya yang utama ialah menjadi hamba Allah. Kemudian saya juga harus memikirkan tanggungjawab saya sebagai seorang anak, seorang suami dan bersiap juga siapa tahu satu hari saya menjadi seorang ayah," kata Hady.

Berhubung soal keluarganya pula, Hady berkata video viral PUB itu secara tidak langsung menyentuh dirinya selain bersetuju dengan peribahasa yang digunakan dalam video PUB mengenai "air dicencang tidak akan putus".

"Seperti setiap pasangan adik-beradik atau dalam keluarga memang adakalanya terdapat perselisihan faham, tetapi bak kata peribahasa itu, akhirnya kita bersatu kembali.

"Ia bak satu peringatan buat saya, meskipun ada benda yang kurang memuaskan hati, tapi pada akhirnya, bila kita dalam kesusahan, yang akan tolong ialah keluarga... dia tetap kakak saya."

Beliau mempunyai hanya seorang kakak, dua tahun lebih tua daripadanya.

Hady yang tidak lagi di bawah pengurusan Hype Records, kini diuruskan selebriti, Cik Haryani Othman.

Ditanya tentang rancangan masa depannya, sambil mengukirkan senyuman manis, Hady menjawab:

"Saya kalau boleh nak menghabiskan sisa-sisa kehidupan saya dengan beramal dan melakukan ibadah. Kalau boleh saya ingin berkhidmat dengan mana-mana badan untuk membantu mereka yang memerlukan."


BERHENTI MENYANYI BUKAN KERANA AGAMA

"Sebenarnya saya tidak pernah berhenti bernyanyi kerana agama... yang utama ialah menjadi hamba Allah... memikirkan tanggungjawab saya sebagai seorang anak, seorang suami..."

HUBUNGAN ADIK-BERADIK

"... meskipun ada benda yang kurang memuaskan hati, tapi pada akhirnya, bila kita dalam kesusahan, yang akan tolong ialah keluarga... dia tetap kakak saya."

RANCANGAN MASA DEPAN

"Saya kalau boleh nak menghabiskan sisa-sisa kehidupan saya dengan beramal dan melakukan ibadah. Kalau boleh saya ingin berkhidmat dengan mana-mana badan untuk membantu mereka yang memerlukan."


'Podcast' BH bersama Hady Mirza

UNTUK mendengar lebih lanjut pandangan selebriti Hady Mirza berkenaan perkembangan terbarunya, perniagaan dan apa yang digemarinya, anda boleh mengikutinya dalam podcast Berita Harian.

Podcast #notapis Berita Harian menyelongkar isu-isu yang dekat di hati masyarakat Melayu selain mengundang artis jemputan untuk membincangkan perkembangan terbaru mereka serta isu-isu berkaitan yang lain.

Ia dihoskan selebriti Suhaimi Yusof dan wartawan Shahida Sarhid.

Podcast bersama Hady akan disiarkan tidak lama lagi.

Anda hanya perlu memuat turun aplikasi Spotify di App Store, cari #notapis dan mendengar episodnya.

Saksikan videonya di BeritaHarian.sg.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map