Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Hakim tangguh keputusan kes Lee Suet Fern berhubung peranan dalam wasiat Lee Kuan Yew

Aug 13, 2020 | 11:24 PM



 



ADAKAH Cik Lee Suet Fern memainkan peranan sebagai peguam atau menantu dalam menguruskan wasiat bapa mentuanya Lee Kuan Yew pada 2013?


Inilah pertanyaan di tengah-tengah penghujahan yang dibuat oleh peguam yang mewakili Persatuan Guaman dan Cik Lee pada Khamis (13 Ogos) dalam perbicaraan tatatertib di hadapan Mahkamah Tiga Hakim.


Persatuan Guaman memberi hujah bahawa Cik Lee telah bertindak sebagai peguam Encik Lee, setelah mendapat arahan daripadanya, dan juga tidak melibatkan peguam biasanya, Cik Kwa Kim Li, dalam persiapan dan pelaksanaan wasiat.


Dengan berbuat demikian beliau telah memikul tanggungjawab peguamnya, kata peguam persatuan itu, Cik Koh Swee Yen dari WongPartnership.


Selain itu, terdapat konflik kepentingan yang jelas, kerana suaminya, Encik Lee Hsien Yang, anak lelaki Encik Lee dan adik Perdana Menteri Lee Hsien Loong, adalah benefisiari wasiat tersebut, tambahnya.


Beliau meminta mahkamah itu, badan tatatertib tertinggi profesion undang-undang, untuk menegakkan penemuan sebuah tribunal tatatertib yang mendapati Cik Lee bersalah atas salah laku profesional pada Februari, satu tuduhan yang dapat melihatnya dipecat sebagai peguam jika beliau didapati bersalah.


Menentang hal ini, Peguam Kanan Kenneth Tan dan Walter Woon, yang mewakili Cik Lee, berhujah bahawa beliau bertindak sebagai menantu dan bukan sebagai peguam dan hanya menjalankan peranan pentadbiran.


Dalam menolong Encik Lee dengan wasiatnya, beliau menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan dan membantunya dalam urusan perundangan yang beliau harap untuk selesaikan, kata Encik Tan.


Prof Woon juga berhujah bahawa memandangkan Encik Lee bersetuju Cik Lee bertindak untuknya, ini membatalkan sebarang konflik kepentingan.


Mereka menggesa mahkamah agar menggugurkan semua tuduhan terhadap Cik Lee.


Peguam daripada kedua-dua pihak membuat penghujahan tersebut dalam perbicaraan hampir enam jam yang diadakan melalui persidangan video melibatkan hakim, peguam dan pihak yang terlibat, dan orang ramai serta wartawan menonton prosiding di televisyen di mahkamah.


Dengan berhujah bahawa Cik Lee telah melanggar Seksyen 832 (B) Akta Profesion Undang-Undang dan Peraturan 46 dalam Peraturan Profesion Undang-Undang (Kelakuan Profesional), Cik Koh berkata Cik Lee telah memegang peranan sebagai peguam Encik Lee, walaupun tahu suaminya akan meraih manfaat daripada wasiat itu.


Beliau mengemukakan hujah bahawa Cik Lee, seorang peguam berpengalaman 37 tahun, seharusnya tahu untuk menyuruh Encik Lee mendapatkan nasihat bebas.


Tetapi sebaliknya, beliau telah memberinya apa yang dikatakannya adalah salinan draf wasiat pertamanya pada 2011 untuk menandatangani dan mengatur agar peguam dari firmanya menyokongnya, menjadikannya wasiat undang-undang terakhirnya.


Ini berlaku setelah Encik Lee menyatakan hasratnya kepada Cik Kwa untuk kembali memberi pembahagian estet yang sama rata kepada anak-anaknya melalui kodisil, setelah menandatangani enam wasiat dalam masa beberapa tahun sebelum itu.


Dengan berbuat demikian, Cik Lee juga tahu bahawa Cik Kwa tidak ada dan beliau memikul tanggungjawab bagi isi wasiat terakhir itu, kata Cik Koh.


Wasiat terakhir berbeza dengan yang sebelumnya dan juga tidak mengandungi beberapa perubahan yang beliau mahukan dan bincangkan dengan Cik Kwa empat hari sebelumnya.


Antara perbezaannya adalah wasiat terakhir mengandungi klausa perobohan - berkaitan dengan perobohan rumahnya di 38 Oxley Road setelah kematian Encik Lee Kuan Yew - yang telah ditulis bagi versi wasiat terdahulu, tetapi dipadamkan dalam versi yang kemudiannya, termasuk yang kedua terakhir.


Ia juga berbeza dalam pembahagian estet yang diwariskan kepada setiap anak Encik Lee.


Dalam wasiatnya yang keenam dan kedua terakhir, anak perempuannya, Dr Lee Wei Ling, sepatutnya mempunyai bahagian estet yang lebih besar, tetapi dalam wasiat terakhir, ketiga-tiga anaknya mendapat bahagian yang sama.


Cik Koh berkata Cik Lee tidak menasihatkan Encik Lee mengenai perbezaan antara draf wasiat terakhir dan wasiat kedua terakhir.


Beliau menambah Cik Lee telah bertindak dengan tidak betul, mengakibatkan Encik Lee tidak menerima nasihat undang-undang bebas walaupun beliau tahu suaminya akan menjadi penerima "hadiah yang besar ".


Membantah hujah-hujah ini, Encik Tan berkata Persatuan Guaman belum membuktikan bahawa Cik Lee telah bertindak sebagai peguam Encik Lee dan bahawa beliau tidak layak didenda.


Beliau berhujah bahawa Cik Lee bertindak sebagai menantu dan bukan peguam dan menunjukkan bahawa e-melnya kepada Encik Lee, di mana beliau mengirimkan salinan wasiat draf itu, telah disalin kepada Cik Kwa untuk versi terakhir wasiat.


Beliau kemudian mendapatkan peguam-peguam dari syarikatnya sendiri, Morgan Lewis Stamford, untuk melakukan versi terakhir wasiat itu kerana Cik Kwa tidak ada, kata Encik Tan.


Cik Kwa juga diberi salinan wasiat terakhir setelah Encik Lee menandatanganinya, tambah Encik Tan.


Encik Tan berkata Encik Lee jelas tentang keinginannya untuk kembali ke wasiat yang lebih awal, bukan untuk mengarang yang baru.


Beliau juga membaca dengan teliti wasiat yang dihantar kepadanya oleh Cik Lee dan berpuas hati dengannya.


Oleh itu, peranan Cik Lee harus dilihat sebagai pentadbiran semata-mata, kata Encik Tan.


Prof Woon berhujah bahawa Cik Lee tidak melanggar tugasnya walaupun beliau telah bertindak sebagai peguam Encik Lee.


Beliau berkata Encik Lee waras dan dapat mengawal fikirannya tidak seperti gambaran yang diberi tribunal tentangnya sebagai "orang tua yang terketar-ketar" yang diambil kesempatan oleh anak lelaki dan menantunya.


Prof Woon juga berkata tidak akan ada konflik kepentingan jika Encik Lee memilih Cik Lee sebagai peguamnya, walau apa pun hubungan mereka.


Beliau mengakui bahawa Cik Lee mungkin telah melakukan pelanggaran teknikal terhadap peraturan dalam melakukan demikian, tetapi beliau berhujah bahawa masih tidak ada kes bermakna untuk denda  dikenakan kerana keputusan Encik Lee untuk kembali ke wasiat yang sebelumnya dibuat sebelum penglibatan Cik Lee, dan Cik Lee juga tidak sedar yang ia akan meningkatkan bahagian harta warisan suaminya.


Beliau menambah bahawa adalah satu penghinaan terhadap kepintaran Encik Lee untuk Cik Lee tidak membantu dan menyarankan beliau harus mendapatkan nasihat bebas kerana ia akan "membayangkan beliau tidak tahu apa yang beliau lakukan".


Tiga hakim itu - Ketua Hakim Sundaresh Menon, Hakim Rayuan Judith Prakash dan Hakim Woo Bih Li - menangguhkan keputusan. Keputusan mereka akan dikeluarkan pada tarikh akan datang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >