Hakim tolak permohonan pesalah remaja untuk dipenjarakan

DUA remaja yang ingin dipenjarakan atas kesalahan yang dihadapi, sebaliknya telah dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak (RTC), menurut akhbar The Straits Times dalam laporannya hari ini.

Mereka sebelum ini telah menyamar sebagai pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB), menahan seorang lelaki dengan mengancam untuk memberkasnya dan mengarahkan mangsa membayar $8,000 sebelum dilepaskan.

Hakim Daerah Lim Keng Yeow bagaimanapun menolak rayuan mereka supaya dipenjarakan dan mengarahkan mereka ditahan di RTC untuk sekurang-kurangnya 18 bulan.

Menurutnya, ia adalah satu pemikiran yang tersasar jika beranggapan bahawa sehari di penjara dan sehari di RTC adalah serupa.

Menyatakan bahawa kesalahan-kesalahan yang dilakukan "bukan sesuatu yang remeh dalam apa cara sekalipun", hakim menyatakan ia merangkumi penipuan yang dilakukan dengan menyamar sebagai pegawai CNB dan diburukkan lagi dengan membuat ancaman terhadap mangsa, melibatkan sejumlah wang yang besar dan "tempoh yang panjang selama sembilan jam di mana mangsa diletakkan dalam kebimbangan".

Para pesalah menunjukkan "rasa kesal yang sedikit atau tiada langsung", kata hakim dalam keputusan bertulisnya yang dikeluarkan Khamis lalu.

Don Mark Ricto Fernandez dan Phil Ng Wei Long, kedua-dua berusia 20 tahun, mulanya mohon dibicarakan, tetapi merubah fikiran dan mengaku salah selepas mangsa disoal-balas di mahkamah.

Tahun lalu, kedua-dua lelaki itu bersubahat dengan seorang individu bernama 'Ryan Tan' dan menyamar sebagai pegawai CNB, dengan Ng membantu Tan membuat ancaman ke atas mangsa untuk memberkasnya atas kesalahan dadah kecuali beliau membayar mereka $16,000.

Selepas ancaman itu dibuat, Ng kekal di sisi mangsa di kawasan Tanjong Pagar untuk beberapa jam, sejak 10.30 malam, sedang mangsa menanti seorang rakannya membuat pemindahan wang ke akaun banknya.

Kira-kira 3 pagi, Ng, Tan dan mangsa menaiki teksi ke Kolam Air Lower Peirce dan menunggu sehingga rakan mangsa dapat mengeluarkan lebih banyak wang dari kaunter sebuah cawangan bank pada paginya.

Tan mengambil $2,000 dari lelaki berkenaan di kolam air itu.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Thomson Plaza, di mana dia mengeluarkan $6,000 dan memberinya kepada Tan.

Mangsa hanya dibebaskan selepas lebih sembilan jam.

Mahkamah diberitahu bahawa kedua-dua pesalah "aktif dan memberi sokongan kuat" kepada Tan, yang telahpun dikenakan hukuman ke pusat pemulihan akhlak.

Peguam kedua-dua tertuduh, Encik K Jayakumar Naidu, menghujahkan bahawa kedua-dua remaja itu harus dihantar ke penjara demi memastikan kesaksamaan dengan hukuman yang dikenakan ke atas Tan, yang memainkan peranan utama dan menghadapi kesalahan lebih serius.

Hakim bagaimanapun tidak bersetuju, menyatakan bahawa keprihatinan utama adalah pemulihan remaja itu kerana kedua-dua pesalah berusia di bawah 21 tahun.

Menurutnya, meskipun Tan dikenakan tuduhan bagi kesalahan lebih serius, ia tidak bererti Fernandez dan Ng tidak harus dihukum menjalani pemulihan akhlak.

Ini katanya akan hanya memberi tekanan berlebihan ke atas prinsip kesaksamaan dan "benar-benar mengenepikan atau salah faham terhadap rangka kerja pemulihan" yang telah ditetapkan bagi pesalah remaja.

Sedang tempoh minimum bagi latihan pemulihan adalah lebih panjang dari sebarang tempoh penjara bagi kes ini, tempoh itu "secara sendirinya" tidak menghalang daripada pesalah dikenakan latihan pemulihan, kata hakim.

Waktu Solat

Subuh
5:52
Syuruk
7:14
Zuhur
1:17
Asar
4:40
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
3 HR PSI: 13
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.