Hamed Ismail terima Anugerah Tun Seri Lanang, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

ANUGERAH PERSURATAN

Hamed Ismail terima Anugerah Tun Seri Lanang

Penulis skrip drama radio, pentas, televisyen, puisi, cerpen dan esei selama lebih 30 tahun dinobat anugerah paling berprestij persuratan Melayu Singapura
Apr 11, 2021 | 05:30 AM

PENULIS skrip dan novel mapan, Encik Hamed Ismail, telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah paling berprestij persuratan Melayu Singapura - Anugerah Tun Seri Lanang.

Encik Hamed, 73 tahun, telah berkecimpung dalam bidang penulisan selama lebih 30 tahun. Selain menulis untuk televisyen, cerpen dan sajaknya juga sering disiarkan di Berita Minggu.

Mantan penyelia kanan skrip di TV Eaglevision, Mediacorp itu, yang masih lagi berkhidmat sebagai penasihat skrip drama televisyen, menerima anugerah itu dalam Majlis Anugerah Persuratan ke-14 yang diadakan di Muzium Tamadun Asia (ACM) semalam.

Acara dwitahunan anjuran Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) itu memberi pengiktirafan kepada penulis dan tokoh yang membuat sumbangan dalam seni persuratan dan menghasilkan karya bermutu dan bernilai.

Encik Hamed berkata beliau rasa terharu dan terkejut menerima anugerah itu kerana ia merupakan anugerah yang besar dan berat untuk dirinya.

Discover Malay Home Based Businesses

"Ia membuatkan saya berfikir: "Apakah saya layak menerimanya?". Namun saya pasti pihak panel tentu ada kriteria yang tersendiri memilih saya untuk anugerah tersebut.

"Kedua, saya rasa anugerah sedemikian membuatkan saya lebih berhati-hati semasa berkarya. Saya pastikan sentiasa ada pendekatan yang bersungguh-sungguh untuk menghasilkan karya yang lebih baik," kata beliau.

Encik Hamed telah menghasilkan pelbagai skrip drama radio, drama pentas dan puluhan skrip drama televisyen serta menulis puisi, cerpen dan esei.

Antaranya, kumpulan puisinya yang berjudul Suara Dalam terpilih dalam senarai pendek untuk Hadiah Sastera Singapura pada 2014 manakala novel beliau berjudul Bunga Tanjong telah memenangi Hadiah Merit di Hadiah Sastera Singapura pada 2018.

Sementara itu, aktivis seni, penggubah lagu dan penulis lirik, Allahyarham Zaidy Nandir, pula diberikan Anumerta Tun Seri Lanang tahun ini.

Allahyarham Zaidy dikenali bagi bakat mendalamnya dalam bidang muzik dan penulisan lirik, yang terutamanya terserlah dalam bidang dikir barat di mana beliau telah menghasilkan lebih 200 naskhah dan membimbing para pendikir setempat.

Turut diiktiraf ialah penulis mapan, Encik Jamal Ismail, yang memenangi Hadiah Persuratan untuk dua kategori - cerpen dan novel - bagi karyanya bertajuk GOD(A) dan Tunjuk Langit.

Terdapat dua lagi pemenang Hadiah Persuratan lain yang diiktiraf.

Mereka ialah Encik Farihan Bahron bagi karyanya bertajuk Tukang Tunjuk Telunjuk untuk kategori sajak, dan Cik Rilla Melati Bahri bagi karyanya bertajuk Si Pencuri Ketawa - Kisah Di Dalam Taman Di Persisiran untuk kategori sastera kanak-kanak.

Majlis Anugerah Persuratan itu diuruskan Majlis Buku Singapura (SBC), dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Warisan Kebangsaan (NHB) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Turut hadir bagi memeriahkan acara ialah tetamu terhormat, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, dan Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga pengerusi MBMS.

Dalam ucapannya di majlis itu, Encik Tong berkata bahasa ibunda, seperti bahasa Melayu, memainkan peranan penting dalam membina ikatan masyarakat, dan menghubungkan generasi rakyat Singapura kepada budaya mereka.

Tambahnya, MBMS adalah bahagian penting dalam usaha negara ini membina sokongan masyarakat dan pemilikan bahasa dan sastera Melayu.

"Menerusi bahasa dan sastera, kami belajar untuk lebih memahami warisan dan identiti rakyat Singapura kita, menghargai isu-isu rentas budaya dan masyarakat, dan kekal penuh harapan, terutamanya dalam waktu sukar ini," kata beliau.

Dr Faishal pula berkata para penerima anugerah di majlis itu akan menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak muda yang mahu berjinak-jinak dalam dunia penulisan dan mereka yang mahu meneruskan usaha menulis.

"Kita mahu meneruskan usaha untuk membangunkan sistem ekologi persuratan di Singapura, bukan saja dari aspek penerbitan, perkaryaan, malah daripada aspek bagaimana kita boleh menyalurkan kerja-kerja ini kepada pembaca kita, terutama anak-anak kita kerana adanya pendekatan dari aspek kesusasteraan yang kita akan terus bangunkan di sekolah.

"Sumber-sumber ini dan kerja-kerja ini boleh menjadi wadah bagi anak-anak kita menggunakannya dan mendapatkan inspirasi bagi proses pembelajaran mereka dan juga inspirasi untuk menulis," kata beliau.


PEMENANG LAIN

"Saya bersyukur kepada Allah swt kerana dianugerahkan bakat, selain menulis karya-karya sastera juga menerbitkan rancangan-rancangan TV, iaitu drama dan dokumentari. Dua ruang lingkup ini saling berkait dan bahu-membahu dalam kehidupan kreatif saya."
- Encik Jamal Ismail, yang memenangi Hadiah Persuratan untuk dua kategori cerpen dan novel bagi karyanya bertajuk 'GOD(A)' dan 'Tunjuk Langit'.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map