MASJID-MASJID di Singapura mengumpul hampir $10 juta melalui laman web OurMasjid.SG sejak ia dilancarkan pada April 2020, manakala pungutan sumbangan masyarakat melalui kotak derma fizikal di masjid pula telah kembali mencapai paras sebelum pandemik, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Muis berkata sehingga September lalu, lebih $9.84 juta telah dikumpulkan melalui OurMasjid.SG sejak ia dilancarkan dua tahun lalu bagi masyarakat menyumbang kepada masjid melalui kaedah digital di tengah-tengah pandemik Covid- 19.
Laman itu membolehkan masyarakat menyumbang melalui pelbagai kaedah pembayaran digital seperti PayNow, kad debit atau kredit, eNETS dan Giro.
Dalam pada itu, Muis kini sedang menjalankan usaha untuk mempertingkatkan derma secara digital melalui laman itu dengan sokongan gerakan SalamSG.
"Derma kepada masjid pada 2020 amat terjejas disebabkan pandemik Covid-19. Dengan penutupan sementara kesemua masjid pada Mac 2020, masyarakat tidak dapat menderma secara fizikal kepada masjid-masjid kita, terutamanya melalui kotak derma, yang mana masjid bergantung kepada bagi pembiayaan operasi dan tenaga kerja," kata Muis.
"Untuk mengurangkan isu ini semasa pandemik, Muis melancarkan OurMasjid.SG - sebuah inisiatif crowdfunding atau pendanaan awam untuk menghimpunkan masyarakat menyediakan sokongan pendanaan bagi masjid-masjid kita melalui kaedah digital, sementara memastikan semua orang selamat semasa pandemik," tambahnya.
Muis berkata kesemua kos operasi masjid seperti tenaga kerja dan bil api air, sebahagian besarnya masih bergantung pada sumbangan derma jemaah.
Masjid-masjid di sini menggajikan lebih 2,000 kakitangan termasuk pegawai keagamaan masjid, pegawai pembangunan sosial, guru aLIVE, imam, muazin, pegawai pentadbiran dan juga noja, yang memainkan peranan penting dalam menghidupkan agama dan memastikan jemaah kekal selamat di masjid.
Sebelum pelancaran OurMasjid.SG, masyarakat Islam di sini sudah pun terdedah kepada amalan menyumbang secara elektronik, contohnya bayaran zakat yang boleh dibuat secara dalam talian.
Semasa waktu pascapandemik ini, Muis berkata ia terus mengekalkan amalan baik demi memastikan aliran pendapatan yang mampan untuk sektor masjid.
Justeru, usaha kini sedang dilakukan melalui laman OurMasjid.SG untuk mempertingkat amalan menderma secara digital.
"Platform OurMasjid.SG akan dipertingkat untuk merangkumi kempen utama bagi masjid-masjid yang secara aktif mendapatkan derma untuk membiayai projek peningkatan mereka.
"Bagi masjid-masjid yang kurang aktif mendapatkan derma dalam talian, platform itu juga akan bekerja rapat dengan gerakan SalamSG untuk memperkenalkan bayaran kod QR individu di masjid untuk memudahkan jemaah menderma secara digital - di hujung jari dari mana sahaja mereka berada," kata Muis.
Data laporan tahunan Pesuruhjaya Pertubuhan-Pertubuhan Amal (COC) 2021, yang dikeluarkan akhir bulan lalu, menunjukkan jumlah derma kepada lebih 2,000 badan amal di Singapura turun sedikit pada 2020 berbanding tahun sebelumnya meskipun di tengah-tengah kemuncak pandemik Covid-19 pada tahun itu.