Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Hampir $1b bakal dibelanja bantu 100,000 warga bekerja sendiri

* Lebih 16,000 kerja kosong ditawarkan * 1,800 individu raih manfaat Skim Sokongan Latihan Individu Bekerja Sendiri * Keadaan di dormitori pekerja asing sebahagian besar stabil
May 05, 2020 | 05:30 AM



MENJELANG akhir bulan Mei, Skim Pelepasan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (Sirs) dijangka membelanjakan hampir $1 bilion dalam bentuk wang tunai kepada lebih 100,000 warga yang bekerja sendiri.



Ini merupakan antara perangkaan yang dikongsi Menteri Tenaga Manusia, Cik Josephine Teo di parlimen semalam (4th May) dalam kenyataan kementeriannya selain memberi perkembangan terkini berhubung pelbagai skim sokongan yang telah dibentangkan di tengah-tengah kelembapan ekonomi ekoran pandemik koronavirus.



Menurutnya, sejak Kementerian Tenaga Manusia (MOM) melancarkan inisiatif SGUnited pada Mac lalu, lebih daripada 16,000 kerja kosong serta-merta telah ditawarkan - melebihi sasaran awal sebanyak 10,000 kerja kosong.



Misalnya, seorang pramugari telah berjaya mendapat kerja sebagai juruwang sambilan di pasaraya Prime.



Sektor awam telah bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Pekerjaan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), kesatuan dan majikan untuk menempatkan lebih 3,000 orang daripada sektor terjejas dalam pekerjaan seperti duta jarak selamat dan duta jagaan hospital



Dalam pada itu, Workforce Singapore juga akan mempertingkat keupayaan Program Pertukaran Profesional (PCP) dalam sektor yang sedang mengambil pekerja seperti sektor keselamatan, tambahnya.



Menerusi pakej Bantuan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture, majikan akan mendapat insentif pengambilan pekerja dengan sokongan gaji sebanyak 20 peratus, dihadkan pada $6,000 selama enam bulan bagi pekerja baru berusia 40 tahun ke atas yang diambil bekerja melalui program latihan kemahiran yang layak.



"Sama ada untuk individu yang bekerja sendiri atau pekerja tetap, mencari pekerjaan pada masa ini tidak mudah," kata Cik Teo.



Sekitar 1,800 individu yang bekerja sendiri telah meraih manfaat daripada Skim Sokongan Latihan Individu Bekerja Sendiri, yang dikendalikan NTUC dan menawarkan elaun latihan $10 sejam atau $400 bagi kursus sepanjang seminggu.



Jumlah ini mungkin rendah berbanding dengan pendapatan yang mungkin mereka raih sebelum ini, kata Cik Teo, tetapi akan tetap dapat membantu mengurangkan perbelanjaan harian sedang mereka mempelajari kemahiran baru semasa kelembapan ekonomi ini.



Memberikan respons kepada pertanyaan anggota parlimen (AP) seperti Cik Denise Phu (GRC Jalan Besar, Encik Liang Eng Hwa (GRC Holland-Bukit Timah) dan Cik Rahayu Mahzam (GRC Jurong) yang telah melahirkan keprihatinan tentang siswazah yang baru memasuki pasaran tenaga kerja, Cik Teo berkata pemerintah telah melancarkan Program Pelatih SGUnited.



Kini ada lebih 4,000 peluang pelatih daripada 280 pertubuhan ditawarkan menerusi program ini, yang bertujuan untuk membantu siswazah meraih pengalaman industri, membina resume mereka dan meningkatkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan di masa hadapan.



Siswazah boleh mula memohon bermula 1 Jun depan.



Pemerintah akan membiayai 80 peratus elaun latihan bulanan sehingga tempoh 12 bulan.



Cik Teo turut menggariskan skim bantuan sedia ada bagi majikan dan firma, dan menyatakan lebih $7 bilion telah dibayar kepada majikan pada bulan lalu menerusi Skim Sokongan Pekerjaan, yang akan membiayai bersama gaji lebih 1.9 juta pekerja setempat.



Lagi $4 bilion akan dibayar lewat bulan ini.



Sementara itu, lebih 62,000 majikan yang menggajikan pekerja asing akan menerima $675 juta secara keseluruhan pada Mei ini sebagai sebahagian daripada pengecualian levi dan rebat untuk membantu majikan agar terus menyokong pekerja mereka.



Mereka juga dijangka mendapat lagi $675 juta secara keseluruhan menjelang Julai.



Situasi Pekerja Asing



Dalam pada itu, Cik Teo turut memberi perkembangan terkini berhubung situasi Covid-19 di 43 asrama pekerja asing yang dibina secara khusus.



Menurutnya keadaan di asrama sedemikian "sebahagian besarnya stabil."



Tetapi di asrama kecil yang diubah daripada kilang serta tempat tinggal binaan sementara, yang jumlahnya melebihi 1,000, gambarannya "lebih bercampur-campur", kata Cik Teo.



Dalam ucapannya, Cik Teo berkata pasukan bertindak berbilang kementerian yang ditubuhkan untuk menawarkan sokongan kepada pekerja asing dan pengendali asrama, telah menjalankan tugas mereka secara profesional dengan tumpuan jelas terhadap kesejahteraan pekerja.



Menurutnya, fasa pertama ialah memastikan asasnya betul, dan ini dilakukan menerusi langkah seperti memperkenal jarak selamat di asrama dan mengalihkan pekerja dalam khidmat penting keluar daripada asrama agar mereka dapat terus bekerja.



Dalam fasa kedua, pasukan bertindak memberi tumpuan dalam memastikan operasi perubatan dijalankan dengan baik.



Pasukan perubatan telah dikerahkan ke asrama yang dibina secara khusus ini serta membangunkan kemudahan pengasingan di tapak kerja.



Pasukan bertindak, katanya, kini perlu mempersiap bagi fasa seterusnya iaitu memastikan tahap pemulihan dijalankan dengan baik.



Cik Teo berkata ini dapat dijalankan dengan membina kemudahan pemulihan masyarakat dan menempatkan pekerja yang sudah sembuh di tempat tinggal yang sesuai untuk mengurangkan risiko dijangkiti semula.



"Kita perlu fikirkan cara untuk membolehkan pekerja yang sudah pulih dan tidak dijangkiti untuk kembali ke kerja dengan selamat," ujarnya.



Beliau bagaimanapun akur ini merupakan satu "cabaran besar" dan bukan sahaja daripada segi logistik selain menambah bahawa ramai pekerja akan ditempatkan di asrama baru dan perlu menyesuaikan diri dengan teman dan amalan baru.



Ramai majikan juga perlu menyesuaikan diri dengan pekerja mereka ditempatkan di pelbagai asrama berbeza.



Pasukan bertindak kini sedang memantau sekitar 400,000 pekerja asing dan kata Cik Teo daripada segi saiz "ia adalah lebih besar daripada dua GRC Ang Mo Kio."




"MOM sedang menyokong perjuangan di medan ekonomi, dan juga kesihatan awam. Keutamaan kami adalah melindungi kehidupan rakyat Singapura. Ia kekal begitu biarpun sedang medan perang baru muncul. Sama pentingnya sekarang adalah menjaga kesihatan pekerja migran kita."
- Menteri Tenaga Manusia Cik Josephine Teo.




APA KEPRIHATINAN AP



''Bolehkah pihak kementerian bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain daripada sektor awam, swasta dan masyarakat untuk menawarkan pekerjaan tetap, sementara atau bekerja sambil belajar bagi siswazah yang ingin memasuki pasaran buruh yang kini terjejas ekoran penularan Covid-19?''
- AP GRC Jalan Besar, Cik Denise Phua



''Apakah perkembangan terkini berhubung situasi jangkitan Covid-19 di asrama-asrama pekerja asing dan sama ada langkah dipertingkat yang dikuatkuasakan berkesan dalam membendung penularan virus itu?''
- AP GRC Holland-Bukit Timah, Encik Liang Eng Hwa



''Apakah antara langkah-langkah yang akan dilaksanakan untuk memperbaiki mutu kehidupan dalam asrama pekerja asing agar dapat terus membendung penularan Covid-19?''
- AP GRC Tampines, Cik Cheng Li Hui




SEKILAS



  • Lebih $7 bilion telah dibayar kepada majikan menerusi Skim Sokongan Pekerjaan (JSS) untuk biayai bersama gaji lebih 1.9 juta pekerja setempat pada April lalu. Lagi $4 bilion akan dibayar lewat bulan ini.

  • Lebih 62,000 majikan yang gajikan pekerja asing akan menerima sejumlah $675 juta pada Mei ini sebagai sebahagian daripada pengecualian levi dan rebat. Lagi $675 juta dijangka dibayar menjelang Julai.

  • Skim Pelepasan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (Sirs) dijangka belanja hampir $1 bilion dalam bentuk wang tunai kepada lebih 100,000 warga yang bekerja sendiri, dengan bayaran pertama diberikan hujung bulan ini.

  • Sekitar 1,800 individu yang bekerja sendiri telah raih manfaat daripada Skim Sokongan Latihan Individu Bekerja Sendiri, kendalian NTUC. Ia tawarkan elaun latihan $10 sejam atau $400 bagi kursus sepanjang seminggu.

  • Inisiatif SGUnited yang dilancarkan Mac lalu, kini tawarkan lebih daripada 16,000 kerja kosong serta-merta, lebihi sasaran awal sebanyak 10,000 kerja kosong.

  • Workforce Singapore akan tingkat upaya Program Pertukaran Profesional (PCP) dalam sektor yang sedang ambil pekerja.

  • Bagi siswazah, Program Pelatih SGUnited dilancar. Ada lebih 4,000 peluang pelatih daripada 280 pertubuhan. Ia bantu siswazah raih pengalaman industri, membina resume selain tingkat peluang mereka dapatkan pekerjaan di masa hadapan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >