SEBANYAK 3,385 kambing dan anak kambing telah dijual bagi ibadah korban Aidiladha pada 24 September ini, namun masih terdapat 315 ekor anak kambing lagi yang masih ditawarkan di tujuh masjid di sini.
Ini dinyatakan Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS) dalam satu kenyataan.
Sebanyak 3,700 kambing dan anak kambing ditawarkan tahun ini - 200 ekor lebih banyak berbanding tahun lalu.
Sementara kesemua 2,000 kambing dari Australia telah dijual, 315 daripada 1,700 anak kambing dari Ireland masih belum dijual.
Berusia lebih setahun, kambing dari Austraila berharga $490 seekor sementara anak kambing berusia kurang setahun dari Ireland berharga $570 seekor.
Kali ini, kambing dari Australia berharga $9 lebih murah, sementara harga kambing dari Ireland $5 lebih rendah.
Ini adalah kali kedua anak kambing dari Ireland ditawarkan kepada masyarakat Melayu/Islam setempat.
Anda masih boleh mendapatkan anak kambing di masjid berikut: Assyafaah, Ahmad Ibrahim, Hang Jebat, An-Nahdhah, Omar Salamah, Malabar dan Jamiyah Ar-Rabitah.
JKMS menggesa sesiapa yang ingin menunaikan korban mendaftar dan melunaskan bayaran di masjid-masjid ini selagi stok masih ada.