Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Hanya nenek tempat bergantung anak istimewa

Ibu bapa dipenjara sejak kelahirannya dengan palsi serebrum, pembangunan lewat
May 20, 2021 | 05:30 AM



DILAHIRKAN pramasa pada 34 minggu, Rayyan Sukri tidak pernah merasa kasih sayang seorang ibu mahupun ayah sepanjang dia membesar.



Ibunya terjerat dalam kancah dadah dan tidak menghadiri ujian air kencing dan ditangkap pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) setelah melahirkan Rayyan di hospital.



Bapanya pula sudah di dalam penjara, juga kerana dadah. Mereka berkali-kali keluar masuk penjara.



Terpaksalah neneknya, Cik Sakinah Hassan, mengambil Rayyan dari hospital dan membawanya pulang. Sejak itu, beliau penjaga utama Rayyan, yang akan berusia lima tahun November ini.



Ketika Rayyan berusia dua tahun, Cik Sakinah, 65 tahun, membelikannya walker bayi.



"(Dalam hati saya) 'kenapa budak ini dah dua tahun tapi tak tahu bergerak, diam sahaja'," cerita nenek 16 cucu dan enam anak itu.



Apabila membawa Rayyan bagi pemeriksaan doktor, barulah mereka mendapat tahu dia mengalami palsi serebrum dan kelewatan pembangunan global (GDD).



"Anak saya (pak cik Rayyan) tanya doktor dan doktor kata ia adalah kesan sampingan dadah yang terlalu banyak. Otaknya pun rosak," ujar Cik Sakinah, sambil berkata ibu Rayyan terus menghisap dadah ketika hamil.



Hingga kini Rayyan perlu ke Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) setiap bulan bagi pemeriksaan doktor, mata, telinga dan pertumbuhannya.



Semuanya dilakukan Cik Sakinah seorang diri, turun naik bas dan MRT dari flat sewa satu biliknya di Toa Payoh. Semakin hari semakin sukar baginya. Rayyan yang membesar bertambah berat sedangkan Cik Sakinah, yang kecil dan kurus, kian meningkat usia.



Mujur ada kereta sorong khas yang diberi agensi perkhidmatan sosial AWWA, yang memudahkan neneknya itu membawa Rayyan ke mana-mana. Rayyan menghadiri Pusat Intervensi Awal (EIC) AWWA di Kim Keat tiga kali seminggu.



"Nekad sajalah. Kadang saya buat muka selamba dan minta tolong penumpang lain angkat kereta sorong keluar dan masuk bas," kata Cik Sakinah, yang menambah ada pemandu bas tidak sedar kereta sorong itu bagi kanak-kanak berkeperluan khas.



Menjaga Rayyan juga tidak mudah dan keperluannya berubah dengan meningkat usianya. Oleh itu, pasukan AWWA yang terdiri daripada pakar terapi, guru dan pekerja sosial mengunjungi Cik Sakinah, yang tinggal berdua dengan Rayyan, untuk mengajarnya cara memandikan kanak-kanak itu.



Ditemui di AWWA EIC @ Kim Keat, ketua guru yang menjaga Rayyan, Cik Fazlinda Mohd Affendi Nasir, berkata: "Bila kali pertama Rayyan menyertai kami, dia tak mempunyai kesedaran yang banyak, dia pun tak dapat melakukan perkara yang dapat dilakukan kanak-kanak biasa, misalnya duduk, berdiri, menggenggam sesuatu.



"Itu sebabnya kami memberikan neneknya teknologi bantuan seperti kereta sorong, kerusi aktiviti dan juga kerusi mandi bagi Rayyan."



Kini, Rayyan menunjukkan kemajuan seperti memberi respon bukan verbal apabila orang bercakap kepadanya, mengawal kepalanya dengan lebih baik dan memandang ke arah orang berinteraksi dengannya, tambah Cik Fazlinda.



Pekerja sosial yang membantu Rayyan, Cik Nurharyati Mohamed Sa'at, pula berkata: "Sebagai pekerja sosial, saya juga selalu bertanya khabar Cik Sakinah kerana beliau sering mengadu tentang kepenatan menghantar Rayyan ke hospital dan menjaganya.



"Setidak-tidaknya beliau ada tempat mengadu kerana beliau saja menjaga Rayyan 24 jam."



Beliau turut membantu Cik Sakinah, yang tidak bekerja, mendapatkan bantuan tambahan dalam bentuk susu dan lampin bagi cucunya.



Ditanya tentang sambutan Aidilfitrinya, Cik Sakinah menjawab: "Hari Raya tak Hari Raya, sama saja".



Sejak menjaga cucunya itu, tidak banyak dilakukannya kerana "jaga anak istimewa, penatnya lain", kata beliau. Anak-anaknya yang lain menghantar juadah Hari Raya dan menziarahinya setiap tahun.



"Apa nak buat, dia cucu saya. Takkan bila dengar dia ada palsi serebral saya nak buang dia kan? Agaknya kalau dia boleh bercakap, dia cakap, 'nenek, Rayyan tak nak jadi macam gini'. Kita terima sajalah, dia kan anugerah," ujar Cik Sakinah.



"Kadang, saya nangis juga. Saya cakap dengan Rayyan, 'tak apalah Rayyan, nenek sabar, Rayyan doakan supaya nenek sihat dan kuat jaga Rayyan.



"Kalau nenek dah tutup mata tak tahu siapa lagi yang nak jaga Rayyan'," tambah beliau, bergenang air mata.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >