Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Harga barang pasar naik; peniaga buat penyesuaian

Jan 27, 2022 | 05:30 AM



BAGI memastikan harga makanan laut kekal dimampui, penjual ikan di pasar basah Gangsa Road, Ustaz Abdul Syakur Halid akan menawarkannya sebagai satu pakej yang menggabungkan ikan dan daging.



Beliau turut menjual ikan itu dengan memotong isinya berbanding menjualnya seekor, demi memenuhi keperluan keluarga yang kecil.



"Dengan cara ini, pelanggan tidak begitu terasa harga makanan laut yang kian meningkat menjelang Tahun Baru Cina dan ia juga lebih berbaloi," ujarnya yang kerap memasarkan barangannya dengan melakukan penjualan di dalam Instagramnya, Ini.Berapa, secara langsung.



Menurutnya, harga ikan bawal Cina kini melonjak dua kali ganda kepada sekitar $70 sekilo.



Ikan merah ponggok kini juga berharga $60 untuk dua ekor berbanding $30 sebelum ini.



Namun harga bagi ikan bawal hitam, ikan pari dan ikan siakap kekal pada harga sama atau naik sedikit sahaja.



Harga ayam bagaimanapun meningkat sekitar $1 terutama bagi ayam kampung, tambah Ustaz Syakur lagi.



Pasaraya dalam talian, OurPasar Essential turut memperkenal pembelian secara pakej bagi pelanggannya.



Pengarah pembangunan perniagaan dan pemasaran syarikat Ourpasar Essentials, Encik Qamarul Solihien Daud, berkata bekalan kini lebih rendah dan kenaikan harga juga disebabkan banjir di Malaysia bulan lalu.



Bekalan ikan Singapura datang daripada Malaysia, Indonesia dan Vietnam.



Presiden Persatuan Awam Peniaga Ikan Singapura, Encik Ang Jwee Herng berkata ikan bawal Cina dan ikan kerapu memang merupakan dua jenis ikan yang harganya kerap meningkat sekitar 50 peratus menjelang Tahun Baru Cina setiap tahun ekoran pemintaan yang tinggi.



Selain makanan laut, Encik Qamarul turut berkata keadaan di Malaysia juga telah menyebabkan harga telur melonjak daripada sekitar $5 bagi 30 biji kepada sekitar $8.



"Ada pelanggan yang enggan membeli dalam talian dengan kami, tetapi mereka dapati apabila ke pasar, harganya tetap sama dengan apa yang kami jual," ujarnya.



Harga sayur-sayuran turut menyaksikan kenaikan.



Peniaga sayur-sayuran di Pasar Geylang Serai, Encik Anwardeen Sulaiman, 65 tahun, berkata harga sayur-sayuran sudah melambung sejak sebulan lalu disebabkan banjir di Malaysia yang menyebabkan barang basah rosak.



Sekitar 64 peratus daripada 80,434 tan sayur-sayuran Singapura yang diimport pada 2020 datang dari Malaysia, dengan bakinya dari China dan Thailand.



Menurut Encik Anwardeen, barang dari China seperti brokoli dan kobis bunga yang biasanya $4 sekilo kini $7.



Sayur-sayuran lain seperti terung dan kacang panjang yang biasanya $2 sekilo sekarang berharga $4.50.



Bende, sawi, tomato, kangkung yang sebelum ini $1.50 sekilo naik ke kira-kira $4 sekilo.



Namun, Encik Anwardeen berkata jualannya kini "senang laku" memandangkan barang tidak banyak.



"Selalunya saya letak satu bakul sayur, boleh tahan sampai petang. Sekarang dalam dua jam cepat habis," ujarnya.



Begitupun, keuntungan peniaga sepertinya merosot lebih 50 peratus kerana beliau tidak mahu naikkan harga terlalu.



Jika dahulu beliau boleh meraih keuntungan $1 bagi sekilo sayur-sayuran, kini untungnya hanya dalam 30 hingga 40 sen.



Pelanggan Cik Sumiati Kassim, 36 tahun, seorang suri rumah berkata beliau kini akan lebih berjimat apabila berbelanja dan cuba membeli pada harga promosi.



"Saya akur harga sekarang pun meningkat kerana kurangnya bekalan dan juga inflasi.



"Jadi saya akan memantau jika ada promosi menarik agar dapat berjimat apabila membeli," ujarnya. - LAPORAN TAMBAHAN NUR HUMAIRA SAJAT




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >