HARGA Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) bagi kereta kini berada di paras terendah sejak lapan tahun lalu selepas premium terus merosot dalam bidaan terkini.
Apabila bidaan ditutup petang tadi (20 Jun), harga COE bagi kereta sehingga 1,600cc dan 130bhp turun sekitar 6.4 peratus kepada $34,110, yang terendah sejak November 2010.
Bagi kereta besar melebihi 1,600cc atau 130bhp pula, harga COE turun 5.8 peratus daripada $36,000 kepada $33,900
Kali terakhir harga COE bagi kategori ini mencapai paras terendah ialah pada Mac 2010, dengan harga $26,389.
Bagi kategori terbuka – yang boleh digunakan buat sebarang jenis kenderaan kecuali motosikal – harga COE jatuh 7 peratus daripada $37,000 kepada $34,400, yang terendah sejak Mac 2010.
Sementara itu, harga COE bagi motosikal turut merosot sedikit daripada $7,001 kepada $6,889.
Bagaimanapun, COE bagi kenderaan komersial termasuk termasuk bas dan kenderaan barangan naik 7 peratus daripada $29,902 kepada $32,001.