Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Harga COE dijangka terus naik: Pengamat

Dasar pertumbuhan sifar bagi kereta, pendapatan kukuh, Singapura kembali sebagai hab niaga dorong kenaikan dalam bulan-bulan mendatang
Jul 08, 2022 | 05:30 AM



HARGA Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dijangka terus meningkat beberapa bulan mendatang di tengah-tengah kekurangan bekalan COE, kata pengamat industri semalam.



Beberapa faktor lain juga akan memberi tekanan terhadap harga COE, tambah mereka.



Ini seperti dasar pertumbuhan kereta sifar, pertumbuhan pendapatan yang kukuh bagi golongan berkemampuan, dan kebangkitan semula Singapura sebagai hab perniagaan serantau dan antarabangsa menyusuli pandemik Covid-19 yang akan terus mendorong permintaan bagi pengangkutan privet.



Kelmarin, harga COE mencecah paras rekod tertinggi sepanjang masa sebanyak $110,524 bagi kategori Terbuka, yang biasanya digunakan untuk kereta lebih besar.



Ini satu kenaikan 5.9 peratus daripada $104,400 pada tender lalu. Rekod sebelum ini ialah $110,500, yang dicatat pada 1994.



Harga juga meningkat merentas semua kategori lain.



COE untuk kereta dengan enjin lebih kecil daripada 1,600cc dan 130bhp, dan kenderaan elektrik (EV) penuh dengan kuasa hingga 110 kilowatt meningkat daripada $74,989 kepada $78,001 - peningkatan sebanyak 4 peratus.



Bagi kereta dengan enjin lebih besar serta EV yang lebih berkuasa, harga COE-nya ialah $107,800, naik 1.7 peratus daripada $106,001.



Pengasas syarikat kereta Gynacarlogist, Encik Farehan Hussein, berpendapat harga COE akan terus meningkat atau kekal dalam julat harga tersebut bagi sekurang-kurangnya dua tahun lagi.



"Disebabkan dasar pertumbuhan kereta sifar, tumpuan pada kenderaan elektrik dan prasarana bagi kenderaan sedemikian, adalah semula jadi bagi harga COE kekal tinggi. Ia juga bersifat kitaran.



"Ia mungkin mengambil masa bagi harga COE turun, tetapi saya tidak menjangkakan ia turun di bawah $80,000. Meskipun jika ia turun kepada sekitar $80,000 atau $90,000, ia tetap masih tinggi," kata beliau.



Penganalisis pengangkutan, Penolong Profesor Dr Terence Fan, dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pula menambah terdapat trend meningkat individu yang cenderung mendapatkan pengangkutan privet sendiri di tengah-tengah Covid-19.



Beliau juga menarik perhatian tentang kemasukan warga asing ke Singapura, contohnya kakitangan syarikat dan pengurus kekayaan yang berpindah ke sini, yang membeli kereta.



"Ini terutamanya menarik kerana sewa di kawasan tertentu seperti Sentosa dan Bukit Timah berdekatan sekolah antarabangsa mencatatkan peningkatan besar dalam tempoh setengah tahun yang lalu.



"Jumlah keseluruhan warga bukan tempatan yang membeli kereta mungkin masih kecil, tetapi ia mewakili permintaan baru dan sebelum ini tidak dikira, yang kelihatan agak harga tidak anjal (apabila permintaan bagi barang tidak berubah meskipun harganya berubah)," kata beliau.



Ditanya bilakah harga COE dijangka turun, pakar ekonomi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Dr Walter Theseira, berkata ini sebahagian besarnya adalah hasil kitaran COE.



Apabila terdapat bekalan COE yang besar disebabkan pembatalan pendaftaran kitaran COE yang dikeluarkan sedekad lalu, harga cenderung menjadi sederhana, tambah beliau.



"Namun begitu, kemungkinan juga tahap purata harga COE akan tetap lebih tinggi daripada kitaran bekalan terakhir, kerana pendapatan rakyat Singapura telah meningkat dengan ketara sejak itu dan bekalan COE bagi kereta kekal tidak berubah disebabkan dasar pertumbuhan kereta sifar," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >