HARGA makanan laut dan sayur-sayuran telah melonjak lebih 20 peratus berikutan banjir yang melanda Semenanjung Malaysia.
Malah, para peniaga yang ditemui di pasar Geylang Serai semalam berkata kenaikan harga itu akan berpanjangan dan boleh mencecah lebih 50 peratus terutama dalam musim perayaan Tahun Baru Cina pada akhir Januari depan.
Bagi memastikan bekalan jualan mencukupi, para peniaga telah mula menyimpan stok barangan bagi memenuhi permintaan yang tinggi bagi bulan-bulan mendatang ini.
Pemilik Aliya Maria Enterprise, Encik Kamal Samsudin, berkata beliau mengimport sekitar 60 peratus produk sayur-sayuran dari Malaysia.
"Dari Malaysia, kami import seperti sayur bayam, kangkong, sawi dan lain-lain lagi. Sekarang harga sudah naik 20 peratus, dari $1.80 ke $2.50 hingga $2.80.
"Apabila kami jual kepada pelanggan, kami juga terpaksa naikkan harga sedikit," kata Encik Kamal yang telah 32 tahun berkecimpung dalam perniagaan di pasar.
Menjelang Tahun Baru Cina, Encik Kamal jangkakan harga sayur-sayuran akan meningkat hingga 50 peratus.
"Harga akan naik hingga 50 peratus disebabkan kekurangan bekalan serta banyak pembekal yang tutup semasa sambutan tersebut," ujar Encik Kamal.
Beliau telah mula mengumpul dan menyimpan stok sayur-sayur bermula minggu depan untuk membuat persiapan bagi penjualan perayaan Tahun Baru Cina.
Ini kerana akan ada lebih permintaan menjelang sambutan itu, katanya yang berkata bekalannya daripada India juga tidak dipenuhi.
"Saya memesan 200 kilogram bawang kecil tetapi hanya menerima 80 kilogram kerana tidak banyak hasil tuaian pada musim tengkujuh ini," rintih Encik Kamal.
Pemilik bersama jualan makanan laut One Word Seafood di pasar Geylang Serai, Encik Mohammad Hazim Mohammad Raffee, hanya mendapatkan bekalan makanan laut dari Indonesia.
Meskipun begitu, beliau kongsi bahawa akibat musim tengkujuh, harga ikan tetap naik sekurang-kurangnya 30 peratus.
"Harga ikan dari $6 satu kilogram kini naik ke $8. Sebagai penjual, kami juga perit dengan kenaikan harga ini kerana kami beli jumlah yang besar. Kami juga jangka harga ikan akan naik Januari depan memandangkan sambutan Tahun Baru Cina," kongsi Encik Hazim.
Menurutnya, harga ikan selalunya naik pada musim tengkujuh iaitu daripada tempoh November hingga Mac.
"Menjelang Tahun Baru Cina ini, kami jangka beberapa jenis ikan yang lebih popular akan naik harga tapi belum pasti berapa. Tahun lalu, ikan kerapu merah berharga $68 satu kilogram," ujar Encik Hazim yang telah berniaga jualan ikan sekitar enam tahun.
Seorang pelanggan, Cik Mariani Sidin, 47 tahun, berkata beliau juga perasan bahawa harga makanan laut telah meningkat.
"Dua minggu lalu, saya lihat udang $9 sekilo. Tetapi hari ini, yang paling murah saya dapat ialah $10 sekilo tapi saiznya lebih kecil dari hari itu," ujar ibu tiga anak itu.
Selain itu, pasar raya Giant setempat pula menyebut bahawa mereka akan tetap mengekalkan harga yang rendah bagi menyokong rakyat Singapura dalam masa sukar ini.
Apabila dihubungi Berita Harian, jurucakap Dairy Farm International, pemilik Giant, berkata:
"Di sebalik tekanan kos komoditi dan pembekal yang semakin meningkat, serta turun naik harga, Giant tetap komited dalam menyokong rakyat Singapura mengharungi masa-masa mencabar ini.
"Kami terus memantau keadaan dengan teliti, dan bekerjasama rapat dengan pembekal dan mempelbagaikan sumber untuk menyediakan pelanggan dengan pelbagai jenis dan bekalan produk, semua pada harga yang kompetitif untuk pelanggan kami.
"Di Giant, kami terus mengekalkan harga kami pada paras yang rendah. Baru-baru ini kami telah mengumumkan pelanjutan kempen kami Lower Prices That Last yang mempunyai harga-harga rendah produk popular dan barangan keperluan harian kami hingga tahun depan."