Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Hari pertama sesi vaksinasi warga emas jalan lancar

Lebih 200 warga emas di Ang Mo Kio hadir bagi vaksinasi; PM Lee lahir keyakinan orang ramai ambil serius dan bersemangat dapatkan vaksin Covid-19
Jan 28, 2021 | 05:30 AM



LEBIH 200 penduduk warga emas di Ang Mo Kio yang telah mendaftar untuk divaksinasi hadir pada hari pertama program pemvaksinan di sana, satu daripada dua kawasan di bawah projek perintis untuk memvaksinasi warga emas.



Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang melawat Poliklinik Ang Mo Kio semalam berkata beliau gembira bahawa proses pemvaksinan bagi warga emas di sana berjalan dengan lancar.



"Sejauh ini, semua yang telah mendaftar untuk mendapatkan tempat (vaksinasi) telah hadir.



"Hanya segelintir sahaja yang tidak hadir. Jadi saya fikir, orang ramai memandang serius dan bersemangat," ujarnya.



Beliau turut menggesa rakyat Singapura agar tampil ke hadapan untuk mendapatkan suntikan apabila tiba giliran mereka.



Hampir 10,000 orang telah divaksinasi di sini sejak prosesnya bermula Disember lalu.



Singapura telah mula memvaksinasi warga emasnya terhadap Covid-19 dengan penduduk di Tanjong Pagar dan Ang Mo Kio menerima dos pertama vaksin semalam.



Ini merupakan kawasan yang menempatkan bilangan warga emas yang besar, kata Kementerian Kesihatan (MOH) minggu lalu.



Di antara 5,000 dengan 10,000 warga emas di kawasan projek perintis telah diundang bagi pemvaksinan.



Encik Lee melawat poliklinik Ang Mo Kio, satu daripada dua pusat vaksinasi di kawasan undinya.



Satu lagi pusat akan ditubuhkan di Kelab Masyarakat Teck Ghee menjelang 1 Februari.



PM Lee berkata warga emas telah memberitahunya bahawa Duta Generasi Perak telah melawat mereka untuk menawarkan maklumat tentang vaksinasi.



Mereka juga telah bertemu dan berbual dengan pemimpin akar umbi.



"Kami telah memberi mereka keyakinan, menjelaskan kepada mereka, memberi galakan kepada mereka untuk tampil ke hadapan dan mendapatkan suntikan vaksin," kata beliau.



Encik Lee sendiri, yang menerima dos vaksin pertama pada 8 Januari lalu, berkata bahawa beliau akan menerima dos kedua esok.



"Saya tidak mengalami sebarang kesan sampingan, selain lengan saya berasa lenguh sedikit pada dua hari pertama.



"Saya tidak mengalami demam, rasa sejuk, menggigil atau perlu mengambil panadol... saya rasa semua orang akan mengalami perkara yang sama seperti saya ."



Dalam Facebooknya, PM Lee berkata program pemvaksinan itu akan dilaksanakan di estet-estet lain bermula pertengahan bulan depan.



Bagi mereka yang layak, mereka akan menerima surat mengundang mereka untuk membuat temu janji divaksinasi.



Menurutnya, sukarelawan daripada Persatuan Rakyat (PA) dan Pejabat Generasi Perak akan membuat lawatan rumah ke rumah untuk menawarkan sokongan kepada warga emas.



"Saya menggalak semua orang divaksinasi secepat mungkin.



"Lebih ramai daripada kita dilindungi, lebih cepat kita semua dapat kembali kepada kehidupan biasa," katanya.



Setiap daripada 24 bandar di sini akan mempunyai sebuah pusat pemvaksinan masyarakat menjelang akhir Mac yang dapat menampung 2,000 penerima vaksin setiap hari.



Ini akan memastikan apabila lebih banyak vaksin tiba, ia dapat diagihkan kepada masyarakat dengan lebih pantas terutama warga emas.



Setiap pusat pemvaksinan masyarakat akan dapat melaksanakan 2,000 vaksinasi setiap hari dari 8 pagi hingga 10 malam, tetapi ini boleh diubah suai berdasarkan bilangan bilik yang disediakan.



Operasi di kemudahan pemvaksinan lain seperti Lapangan Terbang Changi Terminal 4 menunjukkan ia mengambil masa sekitar lima minit bagi setiap suntikan dan perancangan pusat pemvaksinan masyarakat dirancang berdasarkan tempoh itu.



PA telah mengerahkan lebih 600 sukarelawan bagi operasi pemvaksinan di Kelab Masyarakat Tanjong Pagar dan Kelab Masyarakat Teck Ghee.




SEKILAS



- Dua pusat vaksinasi masyarakat telah memulakan operasi semalam, dalam fasa vaksinasi Covid-19 terkini di negara ini.



- Dua lokasi itu, Kelab Masyarakat Teck Ghee di Ang Mo Kio dan Kelab Masyarakat Tanjong Pagar, akan menampung keperluan penduduk warga emas berusia 70 tahun ke atas dan akan memberi suntikan kepada 2,000 penduduk setiap hari.



- Proses yang akan berlaku adalah seperti berikut:



Langkah 1: Buat tempahan janji temu



Penduduk warga emas yang memerlukan bantuan membuat tempahan boleh ke kelab masyarakat di mana sukarelawan akan membantu mereka. Anda harus membawa kad pengenalan NRIC.



Langkah 2: Hari vaksinasi



Bawa kad vaksinasi dan NRIC anda ke lokasi dituju. Selepas menjawab beberapa soalan tentang sejarah perubatan anda, anda akan diarahkan ke tempat menunggu.



Langkah 3: Di kaunter vaksinasi



Seorang karyawan perubatan akan memberi suntikan vaksin. Anda perlu menyingsing lengan baju anda, dan selepas satu swab digosokkan di lengan anda, anda akan diberi suntikan.



Langkah 4: Tempoh pemerhatian 30 minit



Anda akan dibawa ke kawasan pemerhatian selama 30 minit untuk melihat sama ada berlaku sebarang tindakan negatif. Anda boleh menjangkakan sedikit sengal di lengan, tetapi jika mengalami gatal-gatal atau sakit kepala atau mabuk, anda akan dibawa ke stesen rawatan untuk dirawat oleh seorang doktor.



Langkah 5: Jangan lupa ambil suntikan kedua



Di kaunter terakhir, anda akan ditanya soalan lebih lanjut tentang pengalaman anda. Jika semuanya berjalan dengan baik, anda akan diberikan janji temu kedua, yang akan berlaku sekitar tiga minggu kemudian. Dua suntikan vaksin diperlukan untuk benar-benar berkesan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >