Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Harungi getir 12 tahun untuk dakap anak pertama

Jul 01, 2018 | 05:30 AM



MENANTI kelahiran anak merupakan antara detik puncak kegembiraan mana-mana pasangan yang berumah tangga.



Penyanyi tempatan, Elfee R. Ismail, dan isterinya, Fauziah Mohamad, telah menunggu selama 12 tahun untuk menikmati detik bahagia menimang cahaya mata pertama.



Mereka melalui pelbagai dugaan berat dalam usaha mendapatkan anak, termasuk kehilangan kembar tiga yang sudah cukup sifat tetapi meninggal dunia ketika kandungan berusia lima bulan.



Namun, suratan tetap menentukan, Elfee dan Fauziah akhir dapat bergelar ayah dan ibu.



Bayi comel mereka, seorang puteri yang diberi nama Eshaal Falisha akhirnya dilahirkan pada Selasa lalu di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dengan berat 3.1 kilogram.



"Apabila kali pertama mendakap bayi, saya macam tak percaya... sebak... Ya Allah... Kau kabulkan doaku selama ini agar mendapat zuriat. Terlalu banyak dugaan, tetapi apabila Allah nak beri, semuanya dipermudahkan," kata anak bongsu penyanyi veteran R. Ismail itu.



Mengimbas kembali gelombang dugaan yang ditempuhi sepanjang proses mendapatkan anak, Elfee, 36 tahun, yang ditemui di flatnya di Sengkang, berkata selepas lima tahun berumah tangga dan gagal mendapat zuriat, beliau dan isterinya, juga 36 tahun, berusaha secara tradisional seperti berurut.



Guna kaedah IUI



Elfee, ketika berusia belasan tahun pernah dilaporkan akhbar kejadian beliau ditikam seorang anggota kumpulan samseng yang keliru identiti mangsa sehingga menyebabkan satu bahagian ginjalnya rosak.



"Pernah juga terlintas dalam fikiran, apakah kecederaan lalu menyebabkan saya tak boleh dapatkan zuriat. Tetapi doktor kata kehilangan ginjal dan kecederaan itu tidak ada kena-mengena dengan soal nak dapat anak," ujar Elfee, juara Bintang Klasik Nusantara 2007 terbitan stesen televisyen Malaysia, RTM.



Kemudian pada 2016, mereka mengambil keputusan cuba mendapatkan anak menerusi kaedah persemanian dalam rahim, intrauterine insemination (IUI). Selepas setahun menjalani rawatan kesuburan di KKH, Fauziah akhirnya disahkan hamil - mengandung kembar tiga sekali gus. Setelah ditolak subsidi, pasangan itu membayar sekitar $2,000 bagi kos IUI.



Kembar tiga



Hati mana yang tidak gembira dengan berita bonus yang dinanti-nantikan selama ini, sehingga Elfee terus berkongsi berita di media sosial - "Nombor 3 adalah kegembiraan saya..." - sekali gus beliau dihujani ribuan ucapan tahniah daripada teman dan peminat.



Namun, ketika kandungan berusia lima bulan pada Mei tahun lalu, Fauziah mengalami pendarahan sehingga keguguran anak pertama daripada kembar tiga itu, bayi lelaki.



"Uri-uri bayi pecah, hingga menyebabkan bakteria menular kepada bayi," jelas Fauziah.



Dua minggu kemudian, ketika Elfee sedang melalui latihan untuk rakaman rancangan khas Hari Raya saluran Suria, Sinar Lebaran, beliau menerima berita kedua-dua puterinya sudah meninggal dunia di dalam kandungan.



"Saya terduduk, sampai terlepas telefon bimbit daripada genggaman ketika terima berita itu daripada ipar saya... tak tahu macam mana nak gambarkan kesedihan... cukup pedih. Dah 11 tahun kami tunggu... bayi yang kami harapkan tetap pergi," cerita Elfee, sebak.



Hampir murung



Pada hari rakaman Sinar Lebaran di teater MediaCorp itu, Elfee cuba menenangkan diri tetapi beliau tidak dapat menahan sebak tatkala mengalunkan lagu Lambaian Aidilfitri. Ramai penonton turut mengalirkan air mata merasakan kesedihannya.



Fauziah, yang ketika itu masih bertugas sebagai pegawai pendaftaran di sebuah hospital, mengakui hampir jatuh murung. Mujur anggota keluarga dan teman rapat sering memberi kata-kata semangat.



Lima bulan kemudian sekitar Oktober tahun lalu, beliau merasakan perubahan pada dirinya.



"Saya tertidur selepas solat zuhur, dan bermimpi saya mendukung bayi. Saya terkejut, berdebar dan tertanya-tanya apakah erti mimpi itu," kongsinya.



Penawar rindu



Beliau turutkan bisikan hatinya dengan membuat pemeriksaan - menggunakan alat uji kehamilan.



"Apabila saya lihat hasilnya positif, saya menangis. Saya tunjukkan Elfee pregnant test kit itu, dan dia juga menangis dan kami berpelukan. Doktor kemudian sahkan saya hamil lima minggu. Siapa sangka saya hamil lagi, kali ini secara alami, bukan IUI,' kata Fauziah.



Walaupun tidak mengalami alahan, Fauziah, atas nasihat suaminya, pada Januari lalu mengambil keputusan berhenti kerja dan berehat sepenuhnya di rumah.



Elfee bekerja sepenuh masa di bahagian pentadbiran sebuah syarikat perkapalan.



Kehamilan kali ini juga mengalami pendarahan ketika kandungan lima bulan, menambah debaran kebimbangan.



Berita kehamilan isterinya kali ini tidak dikongsi Elfee dengan sesiapa, kecuali keluarga terdekat. Hanya seminggu sebelum tarikh bersalin, pasangan itu berkongsi berita gembira mereka di media sosial. Fauziah telah dirangsang (induced) bagi memulakan proses bersalin dan melahirkan penawar rindunya secara normal.



Berfikir secara positif



"Semasa menatap wajah bayi saya, saya menangis lagi kerana teringatkan kembar tiga ... kami rindukan mereka. Saya bayangkan kegembiraan kalau dapat memeluk mereka lagi," kata Elfee.



Ditanya apakah nilai pengajaran yang boleh dijadikan pedoman hasil pengalaman yang dilalui, Fauziah berkata amat penting pasangan suami isteri yang berusaha mendapatkan anak agar bersikap terbuka untuk mencuba rawatan sedia ada dan berada dalam kalangan mereka yang bersikap positif.



"Selagi kita tak ada anak, macam-macam cerita keluar. Baik hindarkan mereka yang selalu menakut-nakutkan atau bersikap negatif. Kita kena tabah, usaha dan jangan putus berdoa. Kalau dah buat macam-macam tetapi tetap tak dapat zuriat, itu ertinya sudah ketentuan Allah dan kita kena reda," kata Fauziah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >