LEMBAGA Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah mengagihkan Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG) berjumlah $1.56 bilion kepada 49,500 pembeli flat kali pertama sejak geran itu diperkenalkan pada 2019.
Sekitar 18,000 isi rumah itu telah menerima EHG berjumlah $564 juta pada 2022, kata HDB dalam satu kenyataannya pada Rabu.
Bilangan isi rumah dan jumlah geran yang diberikan telah meningkat setiap tahun sejak EHG diperkenalkan pada September 2019, sejajar dengan lebih banyak flat dijual dan lebih banyak pembeli yang layak menerima geran itu, kata HDB.
EHG memberi hingga $80,000 kepada keluarga berpendapatan lebih rendah dan pertengahan yang membeli flat baru atau flat jualan semula pertama mereka.
Dari September hingga Disember 2019, sekitar 1,500 isi rumah menerima $42 juta EHG.
Bilangan itu naik ke 14,000 isi rumah yang menerima $454 juta pada 2020 dan ke 16,000 isi rumah yang menerima $499 juta pada 2021.
"EHG adalah sebahagian daripada rangkaian sokongan yang pemerintah sediakan untuk memastikan flat HDB kekal mampu dimiliki di tengah-tengah permintaan yang kukuh," kata HDB dalam kemas kininya itu sedang kemampuan flat HDB kekal menjadi isu hangat selepas harga flat jualan semula melonjak ekoran pandemik Covid-19.
Menurut HDB, isi rumah yang telah menerima EHG sejauh ini terdiri daripada sekitar 28,400 yang membeli flat baru dan baki sekitar 21,100 membeli flat jualan semula.
"Dengan EHG dan diskaun pasaran yang disediakan oleh HDB, sekitar 90 peratus pembeli flat yang mengambil kunci flat baru mereka di estet tidak matang, dan lebih 80 peratus pembeli flat yang mengambil kunci flat baru mereka di estet matang pada 2022, menggunakan 25 peratus atau kurang daripada pendapatan bulanan mereka untuk membayar ansuran pinjaman HDB mereka. Ini bermakna mereka boleh membayar pinjaman HDB mereka menggunakan sumbangan CPF bulanan mereka, dengan sedikit atau tiada perbelanjaan tunai," kata HDB.
Ia menambah, mereka yang mahu membeli flat jualan semula boleh memanfaatkan Geran Perumahan Berhampiran (PHG) yang menyediakan hingga $30,000 dan $15,000, masing-masing untuk keluarga dan golongan bujang yang mahu membeli flat jualan semula untuk tinggal bersama atau dalam lingkungan empat kilometer dengan ibu bapa atau anak-anak mereka.
Keluarga yang membeli flat dua hingga empat bilik jualan semula juga boleh mendapat $80,000 daripada Geran Perumahan CPF, manakala mereka yang membeli flat lima bilik atau lebih besar boleh mendapat $50,000.
Dengan pelbagai geran perumahan, hampir 80 peratus pembeli kali pertama yang mengambil kunci flat jualan semula mereka pada 2022 menggunakan satu perempat atau kurang daripada pendapatan isi rumah bulanan mereka untuk membayar pinjaman HDB mereka, kata HDB.
Kini lebih mudah untuk pembeli flat membeli rumah mereka selepas HDB memperkemas proses dengan memperkenalkan surat Kelayakan Flat HDB (HFE) pada 9 Mei. HFE menggantikan surat Kelayakan Pinjaman HDB, dan memaklumkan bakal pembeli flat terlebih dahulu jika mereka layak untuk membeli flat baru atau jualan semula, jumlah geran perumahan CPF dan jumlah pinjaman perumahan HDB yang mereka layak terima.