PEMILIK flat yang menghadapi kesukaran menjual flat mereka disebabkan had kuota di bawah Dasar Integrasi Etnik (EIP) yang sudah dicapai, kini boleh menjual balik flat mereka kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Untuk layak, pemilik flat perlu memiliki flat itu sekurang-kurangnya 10 tahun dan telah cuba menjual flat itu dalam tempoh enam bulan pada harga yang berpatutan dalam pasaran terbuka, menurut Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pembangunan Negara (MND) semalam, beliau juga mengumumkan peningkatan geran yang bertujuan membantu keluarga yang tinggal di flat sewa awam untuk membeli flat HDB kedua mereka.
Geran Perumahan Permulaan Baru akan dinaikkan daripada $35,000 kepada $50,000.
Menjelaskan bantuan bagi mereka yang menghadapi kesukaran disebabkan EIP, Encik Lee berkata langkah yang diumumkan ini melengkapi langkah lain yang sudah pun disediakan.
"Kami sedar sesetengah pemilik flat mungkin menghadapi kesukaran menjual flat mereka apabila had EIP sudah dicapai.
"Misalnya, ada yang mungkin perlu menurunkan harga yang mereka tetapkan untuk jual flat mereka atau mengambil masa lebih lama untuk menjual.
"Kami membantu keluarga ini dengan cara berbeza termasuk memberi mereka lebih masa untuk menjual flat mereka dan mengetepikan had EIP dalam situasi luar biasa," ujar Encik Lee.
Namun tambahnya, langkah untuk sentiasa mengetepikan had EIP bagi mereka yang terjejas tidak berdaya tahan.
EIP, yang diperkenal pada 1989, menetapkan kuota kaum bagi pemilikan flat di setiap blok dan kejiranan HDB ketika ia dibeli dan dijual kemudian untuk memastikan terdapat campuran kumpulan etnik yang seimbang dalam estet HDB.
Beliau menyatakan EIP membolehkan penduduk dari latar belakang etnik berbeza berinteraksi di kemudahan seperti pasar, pusat penjaja dan sekolah.
"Ia menyediakan ruang bagi memupuk toleransi dan pemahaman, dan menghalang kuasa sosial yang kuat yang boleh memecahbelahkan... jadi, EIP kekal relevan dan penting dalam mempromosikan keharmonian bangsa,'' katanya.
Beliau menambah, keputusan berhubung langkah Bantuan Beli Balik EIP itu tidak mudah dibuat kerana ia memerlukan sumber yang besar dari pemerintah.
"Namun, kami yakin ia langkah yang betul kerana EIP memberi manfaat kepada kita semua dan bantu kita membangunkan masyarakat yang lebih padu," ujar Encik Lee.
Semasa membuat penilaian, HDB antara lain mempertimbang sama ada pemiliknya telah memasarkan flat mereka pada harga yang berpatutan bagi tempoh enam bulan.
Pemilik flat juga harus menyimpan rekod usaha mereka memasarkan flat itu seperti tarikh ia dipasarkan dan harga yang ditetapkan untuk dijual, untuk dikemukakan kepada HDB.
Meskipun pemilik perlu memiliki flat sekurang-kurangnya 10 tahun, mereka yang menghadapi kesukaran akibat EIP dan perlu berpindah lebih awal disebabkan keadaan tertentu boleh meminta pertimbangan khas dari HDB.
ANTARA PERUBAHAN DIPERKENAL MND
HDB beli balik flat pemilik yang sukar jual flat disebabkan had kuota etnik
- Pemilik miliki flat sekurang-kurangnya 10 tahun
- Cuba jual bagi tempoh enam bulan pada harga berpatutan dalam pasaran terbuka
Skim Perumahan Permulaan Baru
- Geran dinaikkan kepada $50,000, daripada $35,000 bagi bantu keluarga tinggal di flat sewa beli flat kedua
- Keluarga punya pilihan beli flat tiga bilik dengan tempoh pajakan lebih pendek, selain flat fleksi dua bilik
- Flat fleksi dua dan tiga bilik ditawar tempoh pajakan 45-65 tahun