PEMILIK flat yang ingin mendapatkan flat dua atau tiga bilik di sebuah estet baru kini boleh memilih untuk membayar separuh daripada wang pendahuluan dahulu dan bakinya kemudian.
Skim wang pendahuluan secara berperingkat itu telah dilancarkan hari ini, menyusuli pelancaran Bina Ikut Tempahan (BTO) yang terbaru.
Menjelaskan skim tersebut, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berkata pemilik yang tidak mengambil pinjaman atau mempunyai pinjaman HDB hanya perlu membayar lima peratus wang pendahuluan berbanding 10 peratus kini.
Pemilik yang mengambil pinjaman daripada institusi kewangan pula hanya perlu membayar wang pendahuluan sebanyak 10 peratus berbanding 20 peratus sekarang.
Pemilik hanya perlu membayar baki wang pendahuluan bersama baki harga pembelian flat baru apabila mereka mengambil kunci rumah baru, kata HDB.
"Aturan bayaran pendahuluan secara berperingkat ini bertujuan membantu pemilik flat yang ingin mencari saiz sesuai bagi sebuah flat baru namun mempunyai dana mereka terikat pada flat yang sedia ada," kata HDB.
Pemilik flat tidak perlu memohon bagi skim tersebut. HDB akan melanjutkannya kepada mereka yang layak.