Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Helah Brochez hambat siasatan

Feb 13, 2019 | 05:30 AM



Menyampaikan Kenyataan Menteri di Parlimen semalam, Menteri Kesihatan Encik Gan Kim Yong memberi perincian lanjut tentang siasatan ke atas kes pendedahan maklumat pesakit HIV di Singapura dan tindakan yang sedang diambil pemerintah untuk mencegah perkara ini daripada berulang. Berikut sedutan kenyataan Encik Gan.



ADUAN BROCHEZ TERHADAP LER (2012 HINGGA 2013)



Sesetengah orang telah bertanya sama ada MOH tahu (Mikhy Farrera) Brochez mungkin mempunyai akses kepada maklumat Daftar HIV pada 2012 apabila beliau membuat aduan buat kali pertama kepada MOH.



Saya ingin jelaskan bahawa isunya ketika itu bukan tentang akses Brochez kepada maklumat Daftar HIV tetapi isu lain.



Ketika itu, Brochez merupakan pasangan Dr Ler Teck Siang yang merupakan Ketua Unit Kesihatan Awam Nasional (NPHU) dan mereka tinggal bersama.



Pada November 2012, Brochez mendakwa bahawa Ler telah mendedahkan maklumat tentang Brochez kepada orang lain.



Beliau juga mendakwa Ler telah berkongsi beberapa tangkap layar yang menunjukkan status HIV beliau dengan orang lain.



Meskipun MOH cuba mendekatinya beberapa kali, Brochez tidak memberi bukti untuk menyokong dakwaannya.



Beliau enggan bekerjasama dan cuba mengelak, selain menolak untuk bertemu dengan MOH atau menunda pertemuan itu beberapa kali.



Malah, beliau pernah memberitahu pegawai MOH bahawa beliau akan meninggalkan Singapura dan tidak mahu meneruskan siasatan berhubung dakwaannya itu.



Akibat sikapnya yang enggan bekerjasama itu, siasatan itu tidak mencapai sebarang kemajuan.



Bagaimanapun, (MOH) memindahkan Ler untuk memainkan peranan lain pada Mei 2013 dan terus menyiasat.



Akses Ler kepada Daftar HIV itu dibatalkan selepas dia dipindahkan.



Semasa siasatan itu, MOH mendapati pada Disember 2013 bahawa Brochez mungkin telah memberi (hasil) ujian darah HIV yang palsu kepada Kementerian Tenaga Kerja (MOM) agar dapat mengekalkan pas pekerjaannya.



MOH memberitahu MOM dan juga membuat laporan polis.



Ler meletak jawatan sebulan kemudian.



Siasatan yang dijalankan MOH pada 2012 dan 2013 adalah berkaitan dakwaan Brochez bahawa Ler telah mendedahkan status HIV Brochez kepada orang lain.



Pada 2012 dan 2013, MOH tidak mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa Brochez mempunyai akses kepada maklumat dalam Daftar HIV atau memiliki maklumat tersebut.



SIASATAN POLIS DAN MOH ANTARA 2014 DENGAN 2016



Antara 2014 dengan 2016, polis dan MOH menyiasat sama ada Brochez telah memberi (hasil) ujian darah yang palsu dan sama ada Ler telah bersubahat dalam proses ini serta memberi maklumat palsu kepada penyiasat.



Siasatan ini rumit kerana Brochez terus enggan bekerjasama dan pada mulanya tidak mahu memberi kenyataan kepada polis.



Polis bagaimanapun merakam kenyataan daripada Brochez pada Mei 2014 selepas beliau tidak dibenarkan keluar Singapura.



Apabila diwawancara, Brochez menipu kepada polis bahawa darahnya sendiri yang digunakan semasa satu ujian HIV yang dijalankan pada November 2013.



MOH kemudian mengarahkan Brochez menjalani ujian darah HIV yang baru bagi mengesahkan dakwaannya tetapi Brochez enggan bekerjasama.



APA YANG BERLAKU PADA 2016



Pada lewat April 2016, Brochez ditangkap kerana berulang kali enggan mengikut arahan MOH untuk menjalani ujian darah.



Beliau kemudian memberi polis dan pihak berkuasa 75 nama dan butiran daripada Daftar HIV.



Ini merupakan kali pertama MOH mempunyai bukti bahawa Brochez mungkin mempunyai akses kepada maklumat berkaitan HIV yang rahsia.



MOH membuat laporan polis pada 16 Mei 2016.



Polis menyerbu tempat tinggal Ler dan Brochez secara serentak dan merampas semua barang yang relevan.



Ini termasuk komputer dan alat simpanan elektronik yang mengandungi fail dengan maklumat rahsia daripada Daftar HIV, fail berkaitan khidmat hospital dan penyakit berjangkit lain serta maklumat lain yang mungkin digunakan Ler bagi kerjanya termasuk e-mel serta laporan dan kajian HIV.



Polis turut memeriksa akaun e-mel Brochez dan mendapati bahawa Brochez telah menghantar tangkap layar sama yang dihantarnya kepada pihak berkuasa serta satu fail PDF yang mengandungi 46 lagi rekod daripada Daftar HIV kepada ibunya.



Polis kemudian menghubungi ibu Brochez yang bersetuju membenarkan polis memasuki akaun e-mel beliau dan menghapuskan semua rekod tersebut.



Ketika itu, polis telah merampas semua barang milik Ler dan Brochez serta telah melakukan yang terbaik untuk memastikan bahawa mereka berdua tidak lagi memiliki maklumat rahsia, termasuk dalam akaun dalam talian mereka yang diketahui.



Namun, turut disedari bahawa terdapat risiko bahawa Brochez mungkin masih menyorok beberapa maklumat.



Malangnya, seperti apa yang berlaku baru-baru ini, Brochez masih mempunyai beberapa maklumat yang didedahkannya baru-baru ini dan kami tidak boleh mengecualikan kemungkinan beliau mempunyai lebih banyak maklumat.



Ler dan Brochez didakwa di mahkamah pada Jun 2016.



Ler didakwa di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).



Menurut kertas pertuduhan, Ler didakwa mempunyai akses kepada Daftar HIV semasa memegang jawatan sebagai Ketua NPHU di MOH dan dia gagal menjaga maklumat dalam Daftar HIV itu sewajarnya dengan gagal menyimpan maklumat dalam thumbdrive yang mengandungi Daftar HIV tersebut.



Brochez pula menghadapi tuduhan bagi kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), Kanun Keseksaan dan Akta Penyakit Berjangkit (IDA).



Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan tuduhan tersebut.



AGC tidak mendakwanya di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana menurut penilaian mereka, beliau mungkin hanya akan didenda sahaja atau dipenjara maksimum beberapa minggu.



Ini kerana ketika itu, maklumat yang didedahkannya tidak tersebar luas dan maklumat itu hanya digunakan untuk mengadu kepada agensi pemerintah.



Beliau juga menghadapi pelbagai tuduhan lain berhubung penipuan dan dadah, yang membawa hukuman yang jauh lebih berat.



Menurut penilaian AGC juga, sebarang hukuman penjara di bawah OSA mungkin akan diarahkan untuk dijalankan serentak dengan hukuman penjara lain yang akan dikenakan bagi kesalahan lain.



Oleh itu, Brochez diberi amaran tegas bagi kesalahan OSA itu.



Brochez kemudian didapati bersalah pada Mac 2017 dan dijatuhi hukuman penjara 28 bulan.



Semasa menjatuhkan hukuman, mahkamah mendapati bahawa Brochez telah sengaja melanggar undang-undang bagi manfaatnya sendiri dan tiada sedikit pun rasa kesal.



APA YANG BERLAKU PADA 2018



Pada April 2018, Brochez diarah meninggalkan Singapura selepas selesai menjalani hukuman penjara dan (Singapura) tiada sebab untuk terus membiarkannya berada di sini.



Pada Mei 2018, selepas beliau meninggalkan negara ini, Brochez menghantar tangkap layar yang mengandungi 31 rekod daripada Daftar HIV kepada beberapa pihak berkuasa di sini.



Kesemua 31 rekod itu bukan baru. Rekod itu merupakan sebahagian 75 rekod yang didedahkan Brochez kepada pihak berkuasa pada Mei 2016.



MOH membuat satu lagi laporan polis.



MOH mempertimbang lagi sama ada untuk memberitahu individu yang terjejas dan orang awam.



Faktor yang relevan serupa dengan apa yang berlaku pada 2016.



Namun terdapat satu kelainan. Kali ini, MOH tidak dapat memperoleh tangkap layar 31 rekod yang dimiliki Brochez itu.



Oleh itu, MOH memutuskan untuk menghubungi 31 individu yang terjejas itu dan memberitahu mereka tentang hal tersebut.



Kami tidak membuat pengumuman awam kerana tiada bukti tertentu bahawa Brochez mempunyai lebih banyak maklumat daripada 31 rekod tersebut.



Lagipun, seperti sebelum itu, Bochez hanya berkongsi maklumat itu dengan pihak berkuasa di sini dan bukan dengan orang ramai.



Pengumuman awam hanya akan menimbulkan kebimbangan bukan sahaja di kalangan 31 individu tersebut tetapi juga pesakit HIV lain yang tidak tersenarai dalam Daftar HIV itu.



Pada September 2018, Ler didapati bersalah bersubahat dengan Brochez untuk menipu dan memberi maklumat palsu kepada polis dan MOH. Dia dipenjara 24 bulan.



Ler telah mengemukakan rayuan dan kesnya dijadual didengar lagi di mahkamah bulan depan.



Tuduhan yang dihadapi Ler di bawah OSA kini telah diketepikan tetapi... akan ditangani selepas prosiding bagi tuduhan lain yang dihadapinya sudah selesai.



AGC telah memutuskan untuk mengadakan perbicaraan terhadap Ler bagi tuduhan menipu dan maklumat palsu itu dahulu kerana ini lebih serius dan membawa hukuman yang lebih berat.



Perbicaraan bagi tuduhan berkaitan dadah akan diadakan selepas itu kerana ini juga melibatkan hukuman yang lebih berat, termasuk sebat.




DILEMA MOH: BROCHEZ MUNGKIN MILIKI DATA LAIN



Pada 2016, MOH perlu menentukan sama ada untuk memaklumkan individu yang terjejas dan sama ada mahu membuat pengumuman awam tentang kejadian itu (pendedahan data pesakit HIV).



Ini bukan keputusan yang jelas dan mudah.



Di satu pihak, terdapat keperluan untuk bersifat telus. Di satu lagi pihak, kami perlu mempertimbangkan impak sebuah pengumuman terhadap individu yang terjejas yang mempunyai HIV - adakah ia memberi faedah atau membahayakan mereka?



Saya membincangkan perkara ini bersama rakan perubatan saya di MOH. Mereka menekankan keperluan memberi perhatian khusus terhadap keprihatinan dan keperluan pesakit HIV.



Status HIV seseorang adalah perkara yang amat emosi dan peribadi. Sesetengah pesakit akan mengalami kebimbangan yang tinggi dan kesedihan akibat pendedahan atau pengumuman.



Ada yang akan rasa terpaksa mendedahkan status HIV mereka kepada ahli keluarga atau rakan. Hubungan boleh terganggu; kehidupan boleh berubah.



Kami perlu berhati-hati dan membuat penilaian dalam membuat keputusan kami, dan kesejahteraan individu yang terjejas diambil berat dalam pertimbangan kami.



Satu faktor utama ialah ketika itu masih tidak ada bukti bahawa maklumat rahsia itu telah disebarkan kepada orang awam.



Brochez telah menghantarkan maklumat itu kepada pihak berkuasa pemerintah. Pencarian polis yang terperinci dibuat dan semua bahan relevan yang ditemui telah dirampas atau dipadamkan.



Walau tidak ada jaminan, MOH mempunyai sebab baik untuk percaya bahawa maklumat itu telah dilindungi dan risiko pendedahan pada masa depan telah dikurangkan secara ketara.



Pada asasnya, ia satu keputusan yang dibuat berdasarkan maklumat yang kami ada, pertimbangan untuk dan terhadap sebuah pengumuman, dan risiko pendedahan maklumat kepada orang awam pada masa depan yang dinilai.



MOH menilai bahawa dengan mengambil kira semua faktor, sebuah pengumuman ketika itu tidak akan memberi faedah kepada individu yang terjejas apabila dipertimbangkan terhadap kebimbangan yang tidak dapat dielakkan dan kesedihan yang mereka akan alami.



Perbezaan kes Januari 2019



Kejadian terkini pada Januari 2019 adalah berlainan daripada kejadian sebelum ini.



Ia menunjukkan bahawa Brozhez mungkin masih memiliki seluruh Daftar HIV di luar 31 rekod itu. Dia juga telah memuat naik maklumat itu dalam talian dan memberikan pautan kepada sebuah pihak bukan pemerintah.



Situasi baru itu bererti kemungkinan identiti individu yang terjejas didedahkan kepada orang awam oleh Brochez telah meningkat dengan ketara.



Justeru, MOH memutuskan untuk membuat pengumuman awam pada 28 Januari meskipun kami amat prihatin tentang impaknya terhadap individu yang terjejas.



Dalam membuat keputusan itu, MOH memikul tanggungjawab untuk mengimbangi pertimbangan-pertimbangan yang menentang dan membuat pertimbangan mengenai apa yang paling sesuai untuk kepentingan mereka yang terlibat dan orang awam.



MOH membuat keputusan, mengimbangkan pelbagai pertimbangan. Mungkin ada hujah supaya MOH membuat keputusan yang berbeza. Tetapi saya menolak sebarang tuduhan bahawa MOH berusaha untuk menutup kejadian itu.



Hari ini, kita masih menghadapi dilema yang sama seperti yang kita hadapi pada 2016 dan 2018. Kini kita tahu bahawa Brochez masih menyimpan beberapa data selepas polis merampas semua fail yang dapat mereka temui pada 2016. Mungkin, dia masih mempunyai lebih banyak data dalam simpanannya.




LANGKAH DIAMBIL ELAK INSIDEN DARIPADA BERULANG



DEMI memberi lebih tumpuan kepada penggunaan dan perlindungan data, (Kementerian Kesihatan atau MOH) juga telah menubuhkan Kumpulan Analisis Data pada April 2018.



Di bawah kumpulan itu, sebuah Divisyen Tadbir Urus Data ditubuhkan untuk menggubal dasar, amalan dan garis panduan untuk MOH dan agensinya.



Matlamatnya adalah untuk melindungi akses kepada data sektor kesihatan, sejajar dengan keperluan perlindungan data dalam Manual Arahan Pemerintah dan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), serta perundangan sektor MOH.



Memandangkan insiden baru-baru ini, dan peningkatan penggunaan data di seluruh sektor penjagaan kesihatan, adalah penting untuk memastikan dasar keselamatan data dan tadbir urus dipatuhi dengan tegas.



MOH akan memperluaskan peranan dan sumber unit ini. Kami akan menyediakan mandat dan pasukan khusus untuk memantau aspek pematuhan serta audit penggunaan dan akses data.



Beberapa anggota (Parlimen) telah menggesa agar stigma berkenaan HIV diatasi, dan bertanya mengenai cara melindungi orang yang mempunyai HIV daripada diskriminasi. Stigma tentang HIV adalah satu perkara yang menjadi keprihatinan semua.



Usaha meniadakan stigma itu memerlukan kerjasama seluruh masyarakat. Orang yang hidup dengan HIV memerlukan rawatan seumur hidup. Oleh itu, HIV terus menjadi penyakit berjangkit serius yang dipantau MOE secara dekat dan diurus dengan aktif bagi tujuan kesihatan awam.



Tetapi dari segi klinikal, rawatan HIV telah banyak dipertingkat sejak tahun-tahun lalu, dan rawatan awal boleh melambatkan perkembangan penyakit itu dan meningkatkan kualiti hidup.



Dalam beberapa tahun lalu, MOH telah meningkatkan sokongan kewangan dan mengurangkan rintangan kewangan untuk mendapatkan rawatan HIV, melalui MediSave dan MediFund.



Sejak 2014, pesakit memerlukan boleh mendapatkan ubat anti-retroviral HIV di bawah Dana Bantuan Ubat (MAF).



MAF menyediakan subsidi untuk pesakit berpendapatan rendah dan pertengahan (iaitu dua pertiga pesakit Singapura), yang meliputi sehingga 75 peratus daripada kos rawatan anti-retroviral.



Pada 2015, dengan adanya MediShield Hayat, orang yang hidup dengan HIV kini dilindungi skim insurans kesihatan nasional tersebut jika mereka dimasukkan ke hospital.



Kami juga telah menyediakan lebih banyak perkhidmatan ujian dan kaunseling HIV.



Sebagai contoh, ujian HIV secara rahsia (anonymous) kini boleh didapati di 10 lokasi di serata Singapura.



Pelbagai usaha juga telah dilakukan untuk mendekati kumpulan tertentu. Sebagai contoh, ujian HIV ialah sebahagian daripada ujian standard semasa hamil di hospital awam kami.



Memang mudah untuk menjadikan sesuatu yang tidak kita fahami sebagai satu stigma. Oleh itu, MOH bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit ini dan mengurangkan stigma.



Pada 2017, Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Hospital Tan Tock Seng dan Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) bekerjasama untuk memperkenalkan 'Garis Panduan Mengurus HIV dan AIDS di Tempat Kerja" untuk membantu syarikat mewujudkan persekitaran tempat kerja yang membolehkan pesakit HIV untuk bekerja.



MOH akan terus bekerjasama dengan pertubuhan rakan kerja untuk meningkatkan usaha dalam pendidikan awam, pengurangan stigma, pencegahan, ujian, rawatan dan sokongan kaunseling.



Lebih daripada itu, cara setiap individu melayan orang yang mempunyai HIV juga penting. Saya ingin merayu kepada warga Singapura untuk menyokong individu yang terjejas, serta usaha kami untuk melawan stigma terhadap orang yang hidup dengan HIV.



Saya ingin menggesa orang ramai dan media untuk tidak berkongsi maklumat yang diperoleh secara haram dan memaklumkan kepada Polis atau MOH dengan segera.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >