HERING hitam atau 'Cinereous Vulture' yang jarang ditemui dan dipercayai merupakan yang pertama dalam kalangan spesiesnya terbang ke Singapura, akhirnya meninggalkan sangkarnya di sini tengah hari Isnin lalu.
Ini setelah dua percubaan untuk melepaskan burung seberat 7 kilogram itu.
Ia telah diselamatkan dan diletakkan di bawah jagaan supaya dapat pulih hampir dua minggu lalu.
Dalam satu kenyataan pagi semalam, Mandai Wildlife Group dan Lembaga Taman Negara (NParks) berkata hering itu dibenarkan terbang sekitar tengah hari Isnin lalu sebagai sebahagian pemulihannya, di mana burung itu kemudian terbang ke ladang berdekatan.
Menurut mereka, Mandai Wildlife Group secara rutin menjalankan ujian penerbangan bagi burung yang sudah sembuh untuk menguji kemampuannya terbang dan otot untuk terbang sebagai sebahagian latihan sebelum dilepaskan.
Sebelum ia terbang, hering itu makan dengan baik dan kembali sihat, kata mereka.
Akhbar Lianhe Zaobao melaporkan bahawa hering itu diserang sekumpulan gagak setelah terbang tetapi dapat mengatasi gagak tersebut.
Ia kali terakhir dilihat terbang jauh di atas kanopi hutan, kata Mandai Wildlife Group dan NParks.
Lokasi yang dipilih untuk pemulihan hering itu Isnin lalu adalah pada altitud lebih tinggi berbanding tempat "ujian penerbangan" sebelum ini, tambah mereka.
NParks akan terus memantau hering itu bagi memastikan ia dapat meneruskan perjalanannya ke tempat perlindungannya sewaktu musim sejuk.