Hidupkan semangat korban, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:12
Isyak
8:28

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

Hidupkan semangat korban

Sep 01, 2017 | 05:30 AM

MEREKA masih muda lagi tetapi sudah berpengalaman menyembelih kambing bagi ibadah korban.

Bagi Ustaz Muhammad Tamliikhaa Khamsani, 26 tahun, dan Encik Luzman Azrin, 18 tahun, ia satu peluang amat baik bagi belia seperti mereka terus terlibat dalam ibadah korban ini semasa Hari Raya Aidiladha.

Tahun ini, kededua belia itu akan menghulurkan tangan bantuan sebagai penyembelih di Masjid Assyafaah di Sembawang.

Menurut Ustaz Tamliikhaa, sejak kecil lagi, beliau telah sibuk menjaga kambing korban di Masjid Naval Base pada setiap Aidiladha.

Bapanya, Haji Khamsani Karim, 60 tahun, pula merupakan tukang sembelih. Dari situ, beliau belajar daripada orang tuanya itu mengenai cara terbaik menjaga kambing korban serta menyembelih mengikut syarat dan tatatertib Islam.

Halal Home-based Businesses
We want to help Halal Home-based Business owners during these tough times. See the link below.
Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Pada usia 20 tahun, Ustaz Tamliikhaa buat kali pertamanya merasakan sendiri pengalaman menjadi tukang sembelih.

"Saya tidak dapat jelaskan perasaan saya. Saya lakukan ini kerana ibadah. Kalau kita anak muda buat, ia menjadi satu dorongan untuk anak muda lain kerana saya percaya dalam menerapkan ilmu kepada generasi seterusnya.

"Bapa saya telah melakukannya untuk bertahun-tahun lamanya. Siapa yang akan ganti orang seperti bapa saya kalau kita tak melakukannya? Jika kita ada kemahiran, kita perlu bantu masyarakat," kata penuntut program sarjana dalam pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.

Bagi Encik Luzman pula, ini tahun kedua beliau berkhidmat sebagai penyembelih untuk ibadah korban.

Menceritakan pengalamannya, pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej West dalam jurusan latihan kesihatan itu berkata sejak kecil lagi beliau tidak akan melepaskan peluang menjaga kambing di masjid setiap kali tibanya Aidiladha.

Dengan bimbingan daripada Haji Khamsani dan pegawai lain, beliau menjadi penyembelih pada usia 17 tahun di Masjid Jamiyah Ar-Rabitah tahun lalu.

"Saya amat bersyukur kerana diberi peluang ini pada usia muda... Saya berkhidmat kepada mereka membuat korban. Itu juga satu sumbangan kepada ibadah itu sendiri," kata beliau.

Di Singapura, semua sukarelawan yang memikul tugas sebagai penyembelih perlu mengikuti dua sesi latihan bagi mempelajari peraturan dan piawaian yang perlu dipatuhi dalam proses penyembelihan. Sesi latihan itu dijalankan jurulatih yang diiktiraf Penguasa Pertanian-Makanan dan Ternakan (AVA).

Kesemua 3,700 kambing biri-biri yang ditempah bagi ibadah korban tahun ini telah tiba di Singapura dari Australia Isnin lalu dan kelmarin.

Ia dihantar ke 25 masjid yang telah diluluskan bagi menjalankan ibadah korban dan memenuhi syarat rangka kerja pengawalan Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) pemerintah Australia.

Di Masjid Assyafaah, sebanyak 111 kambing telah ditempah tahun ini.

Haji Khamsani, yang mempunyai pengalaman 20 tahun sebagai penyembelih, berkata beliau gembira melihat ramai belia hari ini berminat melibatkan diri menjadi sukarelawan untuk ibadah korban.

"Kita lihat mereka terlibat dalam satu kegiatan yang sihat. Secara fitrahnya, belia memang suka pada haiwan. Jadi ini satu cara dalam berdakwah kepada belia hari ini.

"Kita beri mereka tanggungjawab supaya mereka rasa mereka juga boleh buat kerja yang biasanya dilakukan imam atau pak haji. Ini agar mereka rasa dihormati dan dapat rasa bangga mereka juga mampu melakukan tugas itu," kata beliau.

Laporan lanjut:


Berita Harian/ Berita Minggu mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di Singapura

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map