Hilang daya pendengaran tidak halang semangat sukarelawan , Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:44
Syuruk
7:02
Zuhur
1:07
Asar
4:19
Maghrib
7:10
Isyak
8:20
Setempat0

Membina masyarakat prihatin, kohesif dan berkeyakinan

Hilang daya pendengaran tidak halang semangat sukarelawan 

Dalam persekitaran dunia yang semakin mencabar, Singapura tidak terkecuali daripada ancaman yang wujud. Demi memastikan perpaduan dan daya tahan menghadapi cabaran ini, tidak kira dari segi ekonomi, politik mahupun sosial, fabrik sosial negara harus diperkukuh. Usaha tersebut dapat dipermudah dengan membentuk masyarakat yang prihatin, bersatu dan yakin dengan kebolehan Singapura. Kisah-kisah yang dipaparkan ini merupakan hasil kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Mar 10, 2019 | 05:30 AM

SETELAH daya pendengarannya hilang sedikit demi sedikit 10 tahun lalu, Encik Amalus Barakna terjerumus dalam kemurungan.

Ini terutama sekali apabila beliau melihat rakan sebayanya cemerlang dalam kerjaya dan meraih pencapaian membanggakan.

Namun, pada satu hari, terdetik di hatinya sesuatu yang akan mengubah perspektif hidup beliau buat selama-lamanya.

Beliau mula bertanya pada diri sendiri mengapa beliau harus berasa demikian sedangkan ada orang lain yang mengalami musibah yang lagi teruk.

"Saya dapat lihat orang lain yang mengalami kehilangan atau kecacatan teruk tapi masih bersemangat mahu hidup dan masih membantu orang lain.

Berita Popular

"Daripada situ, dengan tiga 'sauh' saya dalam hidup - tuhan, keluarga dan teman rapat - saya mencabar diri saya supaya keluar, walaupun saya tak boleh mendengar demi membuat sesuatu yang ada manfaat buat orang lain, walau sekecil mana sekalipun," katanya, semasa ditemui baru-baru ini.

Pada 2013, Encik Amalus memutuskan menyertai program anjuran badan sukarelawan The Volunteer Switchboard (VSB) dan mula serasi dengan sukarelawan lain yang bersikap inklusif dan memastikan beliau selesa.

"Biasanya sukarelawan perlu berbual dan mendengar perbualan dengan penerima bantuan, tak kiralah kanak-kanak atau warga emas, tetapi ini agak susah untuk saya.

"Saya minat dalam bidang fotografi, jadi saya memutuskan ini cara saya boleh menyumbangkan tenaga dengan menawarkan khidmat sebagai jurugambar acara yang VSB anjurkan," ujarnya.

Foto-foto yang dipetik Encik Amalus akan dimuatnaik ke laman Facebook VSB buat tatapan umum.

"Saya mengambil foto-foto ini supaya orang lain dapat lihat keadaan mereka yang kurang bernasib baik untuk tunjukkan apa yang mungkin mereka dapat lakukan demi menghulurkan bantuan," kata Encik Amalus, 44 tahun, yang bekerja sebagai penyelaras keselamatan di sebuah syarikat minyak.

Namun, beliau akui langkah pertama yang perlu diambil untuk menjadi sukarelawan agak 'berat' baginya.

"Hari pertama saya ke program VSB, saya memang gementar. Saya berasa janggal kerana tak mahu membebankan mereka (dengan kekurangan saya), tapi pada masa yang sama, saya mahu tawarkan diri saya untuk membantu.

"Tapi anggota VSB sambut saya dengan tangan terbuka dan bantu saya sesuaikan diri," ujarnya yang sudah menjadi sukarelawan di VSB selama enam tahun.

VSB badan sukarelawan yang diterajui Cik Li Woon Churdboonchart, bekas pegawai bank yang baru-baru ini meletak jawatan untuk menguruskan badan tersebut sepenuh masa.

VSB dimulakan dengan lima orang teman disebabkan kesukaran mencari program sukarelawan ringkas yang sesuai untuk golongan dewasa yang sibuk bekerja dan juga menggalas tanggungjawab lain.

Kini, selepas enam tahun ditubuhkan, jumlah sukarelawan yang berdaftar meningkat daripada enam kepada 1,000 orang.

"Matlamat saya ialah VSB menyediakan peluang sukarelawan menawarkan khidmat di mana sahaja dan pada waktu pilihan mereka sendiri," kata Cik Li.

Menurut Encik Amalus, wujudnya badan sukarelawan seperti VSB serta sokongan yang diterimanya mengukuhkan lagi kepercayaan beliau bahawa rasa ihsan itu wujud dalam diri setiap warga Singapura dan mereka prihatin terhadap anggota masyarakat lain.

"Warga Singapura prihatin terhadap anggota masyarakat yang lain, cuma mungkin mereka tidak tahu bagaimana menghulurkan bantuan.

"Ada yang mungkin tak mempunyai wang untuk didermakan, tapi mereka mungkin mempunyai ilmu atau pengalaman yang boleh disumbang," katanya.

Beliau turut menekankan rasa ihsan harus bermula dari hati kerana ia tidak dapat diajar.

"Saya ingin mendorong warga Singapura lain supaya turut menyumbang, menjadi sukarelawan, kerana dengan melakukan perkara tersebut, ia dapat membuka mata mereka kepada masalah yang dihadapi orang lain," katanya.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map