Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Hilang kerja, jadi penghantar makanan, kini jurutera projek

Oct 30, 2020 | 05:30 AM



Ketahui bagaimana pembimbing kerjaya agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) membantu Encik Hairul Firdaus Md Yusof mengenal pasti hala tuju kerjaya, minat dan kemahirannya. IRMA KAMARUDIN (irmak@sph.com.sg) melaporkan.




DESAS-DESUS mula berkeliaran pada awal tahun ini bahawa banyak syarikat audio visual (AV) terpaksa memberhentikan pekerja mereka disebabkan cabaran perniagaan akibat pandemik Covid-19.



Ketika itu, Encik Hairul Firdaus Md Yusof yakin beliau tidak akan terjejas.



Ini lebih-lebih lagi kerana syarikatnya sendiri telah mengadakan mesyuarat sebelum tempoh pemutus rantaian jangkitan pada April lalu untuk memberi jaminan kepada kakitangan bahawa mereka tidak akan memberhentikan pekerja.



Namun, khabar tidak diduga sampai ke kuping telinganya pada Jun lalu - penolong pengurus projek itu diberitahu beliau antara kakitangan yang dilepaskan syarikatnya.



Seperti majikan lain dalam industri AV, syarikatnya juga mengalami perniagaan lemah dek Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.



Ekoran itu, Encik Hairul, 36 tahun, terpaksa bekerja sebagai pekerja penghantaran makanan selama lebih sebulan demi menampung kos kehidupan keluarganya.



Namun, bapa seorang anak perempuan berusia empat tahun itu tidak berputus asa dalam mencari peluang pekerjaan baru.



Beliau menghantar resumenya (maklumat ringkas tentang diri) di beberapa laman pekerjaan dan menerima sehingga lima panggilan temu duga kerja.



Dengan bantuan Anggota Parlimen (AP) di kawasannya, Encik Hairul diperkenalkan kepada pembimbing kerjaya daripada agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), Encik Tony Ong.



Encik Ong membantu memberi bimbingan kepada Encik Hairul supaya beliau dapat mempertingkat peluangnya mendapat pekerjaan baru.



"Encik Ong meneliti resume saya. Menurut beliau, resume saya baik dan hakikat bahawa lima syarikat menghubungi saya untuk temu duga kerja menunjukkan bahawa resume saya mengandungi maklumat penting yang diperlukan.



"Beliau juga kerap memberikan maklumat tentang peluang pekerjaan dan pameran kerjaya yang sedia ada," kata Encik Hairul.



Apabila tidak dapat memutuskan pekerjaan manakah yang harus dipilih antara lima temu duga yang dilalui, beliau berkata Encik Ong memperkenalkan alat profil kerjaya dan memberi bimbingan yang membantunya membuat keputusan.



Akhirnya, beliau memilih menyertai syarikat khidmat prasarana teknologi maklumat (IT) dan telekomunikasi Red Technologies sebagai jurutera projek pada Julai lalu.



Meskipun tiada pengalaman dan kemahiran dalam teknologi, Encik Hairul berkata beliau memasuki bidang baru itu kerana percaya ia merupakan industri yang mempunyai permintaan tinggi, lebih-lebih lagi dengan dunia kini dalam era digital.



Lebih menggembirakan, Encik Hairul menerima gaji lebih tinggi berbanding pekerjaan lamanya.



"Industri teknologi ini amat relevan dan itulah sebabnya saya masuk industri ini tanpa teragak-agak," kata beliau.



Sebagai jurutera projek, tugasnya termasuk membuat penyelarasan antara klien dengan kontraktor, melakukan kerja pentadbiran dan mengadakan mesyuarat konsultan.



Untuk meraih pengetahuan lebih mendalam dalam dunia IT, Encik Hairul turut mengikuti kursus pengurusan projek IT selama empat minggu menerusi platform Coursera dan berura-ura menyertai kursus lain pada masa depan.



Walaupun baru saja menyertai syarikat itu sekitar dua bulan lalu, banyak pencapaian telah beliau raih, dengan beliau diberi kepercayaan mengendalikan projek di rantau Asia seperti Jepun, Malaysia, Vietnam dan Indonesia.



"Skop projek merangkumi peranan menubuhkan pusat komunikasi baru bagi rangkaian dan telekomunikasi hingga ke peningkatan suis rangkaian untuk menyediakan sokongan dari jauh bagi klien jurutera menyusun peralatan mereka," kata beliau.



Bagi mereka yang mengalami nasib serupa seperti dirinya, Encik Hairul menasihatkan mereka supaya jangan pernah putus asa.



"Ada banyak pihak seperti WSG yang bersedia membantu anda tetapi anda juga perlu bersedia mengubah pemikiran, lihat daripada lensa perspektif yang berbeza dan belajar menghargai peluang pekerjaan yang ada," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >