Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Himpunan lebih 300 sajak, puisi karya 124 penulis setempat dilancar

Tulisan Suratman papar pembangunan politik serta sosio-budaya masyarakat Melayu S'pura sepanjang 85 tahun
Jan 05, 2020 | 05:30 AM



PENANTIAN empat tahun bagi himpunan lebih 300 sajak dan puisi karya 124 penulis berakhir kelmarin dengan pelancaran buku Kesusasteraan Melayu Singapura: Kumpulan Puisi Melayu (1930-2015).



Buku 376 muka surat itu ditulis oleh sasterawan mapan Suratman Markasan dan mencerminkan pembangunan politik serta sosio-budaya masyarakat Melayu Singapura sepanjang 85 tahun, iaitu dari zaman sebelum Perang Dunia Kedua hingga kini.



Tidak sekadar mengandungi puisi dan sajak, buku itu turut memuatkan analisis serta pandangan Encik Suratman mengenai tema dan tajuk yang telah menarik perhatian penulis, seperti pengalaman orang Melayu sebagai masyarakat minoriti yang bergelut dengan isu penyesuaian sedang mereka melalui proses pemodenan, serta cabaran yang dihadapi seperti penempatan semula dan peluang pendidikan.



Buku itu, yang antara lain memaparkan tulisan Nadiputra dan Sapiee Ahmad Razaly, dilancarkan di Taman Warisan Melayu dan dihadiri tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan dan Pembangunan Sosial dan Keluarga), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.



"Kekhuatiran generasi pramerdeka dan pascamerdeka serta cabaran masa kini yang begitu bersangkut paut dengan perkembangan teknologi telah menghasilkan luahan kreatif yang begitu rencam.



"Saya pasti buku ini bakal menjadi bahan rujukan penting dan bermakna kepada sesiapa sahaja yang berminat mengetahui pemikiran dan perkembangan masyarakat kita dari kaca mata kita sendiri," kata Dr Faishal dalam ucapannya.



Encik Suratman, 89 tahun, berkata beliau membahagikan penyair ke dalam empat kumpulan iaitu angkatan sebelum perang, angkatan '50, angkatan pramerdeka dan angkatan pascamerdeka.



"Harus diingat bahawa tulisan sastera bukan tulisan sejarah dan tulisan sastera bukanlah bertujuan memberi moral kepada pembaca.



"Tetapi harus ada hal-hal yang bersangkutan dengan kehidupan kerana sastera bagi saya adalah transformasi daripada kehidupan. Dan kehidupan itu adalah kenyataan yang berlaku dan itu kalau tidak digambarkan, ia akan lepas begitu sahaja," katanya yang juga merancang menghasilkan himpunan cerpen bagi tempoh masa yang sama.



Bagi mendekatkan buku itu kepada masyarakat, terutama golongan muda, penerbit Yayasan Warisan Melayu (MHF) akan melancarkan siri seminar berjudul 'Bedah Buku' supaya isi dan intipati karya tersebut dapat dikongsi dan ilmunya disalurkan kepada golongan pelapis.



MHF juga akan menterjemahkan bahagian pencerahan kepada bahasa Inggeris supaya maklumat tersebut dapat disebarkan dengan lebih meluas.



"Ini kali pertama ulasan sebegitu mendalam mengenai sastera Melayu Singapura didokumentasikan dan disatukan dalam sebuah naskhah yang menyeluruh.



"Kami berharap, ia akan mengilhamkan renungan lanjut, kaji diri dan mendorong generasi penulis akan datang agar meneruskan dan menyumbang kepada bidang berkaitan sastera dan bahasa di Singapura pada masa akan datang," kata MHF.



Buku yang merupakan karya kelima dalam siri penerbitan 'Melayu Singapura: Warisan dan Pusaka Kita' itu dijual pada harga $25 senaskhah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >