SEORANG pesalah berulang yang disifatkan pihak pendakwa sebagai seseorang yang "cenderung berkasar dengan pekerja perkhidmatan" kembali ke penjara selepas dia melempar kata-kata menghina kaum kepada orang lain dalam tiga kejadian berasingan tahun lalu.
Peethambaran Dilip, 69 tahun, semalam dijatuhi hukuman penjara enam minggu selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengganggu.
Warga Singapura itu juga mengaku bersalah atas satu tuduhan sengaja mengeluarkan kata-kata yang menghina kaum kepada seorang lelaki, lapor The Straits Times.
Semalam, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tan Zhi Hao berkata: "(Peethambaran) memperburuk perbuatannya dalam kes ini dengan menghina kaum.
"Ini harus ditangani dengan tegas, memandangkan keperluan memelihara keharmonian kaum di Singapura."
Mahkamah dimaklumkan bahawa Peethambaran pergi ke Perpustakaan Awam Clementi di tengah-tengah wabak Covid-19 pada 9 Jun tahun lalu, membuka tong sampah dan meludah ke dalamnya.
Seorang pekerja pembersihan yang ternampak dia berbuat demikian melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan perpustakaan.
Pegawai perpustakaan, Encik Keith Lim, menghampiri Peethambaran dan menasihatkannya supaya tidak meludah ke dalam tong sampah kerana ia perbuatan tidak bersih, terutamanya semasa wabak.
Tidak berpuas hati, Peethambaran membidas Encik Lim dan melemparkan kata-kata menghina kaum kepadanya.
Pesalah itu bertindak sekali lagi pada 22 Julai tahun lalu apabila dia pergi ke poliklinik di Marine Parade untuk mendapatkan ubatnya.
Pegawai perkhidmatan pesakit, Cik Cheok Lay Yean, sedang mengendalikan stesen pemantauan kesihatan di sana apabila Peethambaran tampil lalu melemparkan tiket gilirannya ke kaunter dan mengeluarkan kata-kata menghina kepada pegawai itu.
DPP Tan berkata:
"Cheok memberitahu tertuduh supaya berhenti, tetapi dia tidak (berhenti)... Tertuduh dikenali oleh kakitangan di poliklinik itu kerana dia pernah memarahi kakitangan poliklinik dalam kejadian sebelumnya."
Peethambaran kembali ke poliklinik pada 15 Oktober tahun lalu dan pergi ke kaunter farmasi, di mana ahli farmasi, Encik Russell Lim, bertanya kepadanya jika dia mahu mengambil ubatnya.
DPP Tan memberitahu mahkamah:
"Tertuduh pada mulanya tidak menjawab, tetapi apabil a Russel mengulangi soalannya, tertuduh mengeluarkan kata-kata yang bermaksud, 'Sudah tentu, saya di sini untuk mengambil ubat saya. Jika tidak, untuk apa saya di sini?'."
Peethambaran juga menghalakan cemuhan kaum terhadap Encik Lim sebelum meninggalkan premis itu.
Ini bukan kesalahan pertamanya. Tanpa mendedahkan sebarang butiran, DPP berkata Peethambaran telah melakukan ugutan jenayah pada 2005.
Pada 2017, dia juga dijatuh hukuman penjara enam minggu kerana menyerang seorang pemandu bas.
Semalam, pihak pendakwa menggesa Hakim Daerah Jasbendar Kaur supaya menjatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya enam minggu terhadap Peethambaran, sambil menambah:
"Amat memburukkan lagi ialah kata-kata hina yang digunakan oleh tertuduh adalah bersifat perkauman dan menimbulkan imej ganas.
"Pencegahan umum wajar dilaksanakan dalam pertimbangan hukuman, memandangkan tertuduh melakukan kesalahan terhadap pekerja penjagaan kesihatan barisan hadapan semasa wabak Covid-19, sekurang-kurangnya dua kali secara berasingan."