HIP, VERS beri kesegaran, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:38
Syuruk
6:54
Zuhur
12:59
Asar
4:00
Maghrib
7:01
Isyak
8:10
Suatu Ketika di Singapura
Berita Harian SoSedap: Sokong kedai makan halal tempatan kita dan menangi baucar $100 Takashimaya!
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

HIP, VERS beri kesegaran

* Flat lama lebih 'laku' dan dapat dijual pada harga lebih tinggi selepas jalani peningkatan * Redakan kebimbangan warga yang khuatir flat lama mereka akan kehilangan nilai
Sep 02, 2018 | 05:30 AM

Isu rumah merupakan antara isu yang hangat dibincangkan selepas Perdana Menteri Lee Hsien Loong membentangkan beberapa langkah baru bagi meredakan kebimbangan warga setempat mengenai flat-flat matang HDB. Apakah kelebihan inisiatif baru itu dan jangkaan kesannya bagi flat-flat matang? Apakah isu lain yang menjejas pemilik flat? BERITA MINGGU mengupas isu itu .

APABILA flat tiga bilik Cik Robaiyah Napiah dan suaminya di Ang Mo Kio Avenue 1 selesai menjalani Program Peningkatan Rumah (HIP) lebih setahun lalu, lebih ramai ejen datang mengetuk pintu rumahnya menanyakan jika mereka bercadang menjual flat itu.

Namun, pasangan itu bertekad mahu meniti hari senja di flat itu yang telah dijadikan mahligai mereka sepanjang tiga dekad lalu.

Lebih banyak flat akan menjalani HIP setelah Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan dalam Rapat Hari Kebangsaan (NDR) baru-baru ini bahawa skim itu akan diluaskan kepada lebih 230,000 flat yang dibina hingga 1997 di estet-estet di Pasir Ris, Yishun, Tampines dan Jurong.

Sebelum ini, skim-skim itu hanya dikhususkan kepada flat-flat lama yang dibina sehingga 1986.

Halal Home Based Business
Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

OKathira!

Air kathira luar biasa. Banyak inti, tak rugi!

Ms Lid's Packed Bento

Set bento untuk sumbangan atau delivery ke rumah

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Peningkatan kedua di bawah skim baru, HIP II, akan dilancarkan sedekad daripada sekarang apabila flat-flat itu berusia 60 hingga 70 tahun.

Ini bermakna setiap flat akan menjalani peningkatan sebanyak dua kali sepanjang tempoh pajakan selama 99 tahun - pertama melalui HIP atau Program Peningkatan Utama (MUP), dan kali kedua melalui HIP II.

Pengumuman PM Lee itu sekali gus meredakan kebimbangan pemilik flat matang bahawa flat-flat mereka akan terus diperbarui agar flat itu terus menjadi aset penting bagi warga setempat.

"Selepas jalani HIP, bilik air mak cik sudah diubah-elok. Lif juga kini terletak di depan rumah mak cik. Tak perlu lagi mak cik naik ke tingkat enam untuk naik lif. Ramai ejen yang datang tanya jika makcik hendak jual flat ini tapi makcik dan pak cik tak bercadang nak jual. Kami dah selesa tinggal di sini. Walaupun flat ini dah 'tua', nilainya masih tinggi,'' kata Cik Robaiyah, 61 tahun, seorang suri rumah.

PERMINTAAN LEBIH TINGGI SELEPAS HIP

Flat-flat yang sudah pun menjalani HIP dan kosnya sudah dibayar biasanya menarik permintaan lebih tinggi, kata para pengamat.

Pertama, warga yang membeli flat itu tidak perlu mengeluarkan kos ubah elok yang besar apabila berpindah ke flat itu kerana kerosakan dialami flat lama seperti kebocoran siling, konkrit yang pecah dan bilik air lama, telah pun dibaiki dan diperbarui.

Kedua, penduduk tetap (PR) juga gemar dengan flat yang sudah menjalani HIP dan kosnya sudah dibayar pemilik lama.

"Oleh kerana PR tidak mendapat subsidi bagi HIP, mereka perlu membayar kos HIP yang tinggi. Jadi, mereka lebih suka membeli flat yang sudah menjalani HIP dan kosnya dibayar pemilik flat sebelum mereka,'' kata Pengarah Divisyen Kanan ERA Realty, Encik Noor Haidi Abdul Malek, atau lebih dikenali sebagai Adi Mesti Jadi.

Malah, flat yang sudah menjalani HIP juga boleh dijual pada harga lebih tinggi.

Pengarah Cawangan Bersekutu PropNex, Encik Muhammad Milhan Shah Muhammad Jasman Shah, mengongsi pengalaman pelanggannya yang memiliki flat tiga bilik jenis 3I di Blk 108 Yishun Ring Road yang sudah menjalani HIP dan dijual pada harga $265,000.

Ini berbanding flat-flat 3I di sekitar estet itu yang belum menjalani HIP yang dijual sekitar $240,000 hingga $250,000, katanya.

VERS BANGUNKAN SEMULA ESTET MATANG

Encik Lee juga mengumumkan Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (Vers) yang membolehkan pemerintah membangunkan semula estet perumahan yang mempunyai flat-flat lama yang sudah mencapai 70 tahun.

Para penduduk di kawasan itu akan mengundi bagi pemerintah mengambil balik flat-flat itu secara bertahap agar pemerintah dapat membangunkan semula estet itu.

Profesor Madya Daniel Wong dari Sekolah Rekaan dan Sekitaran Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata Vers menyediakan pilihan bagi penduduk untuk keluar dari flat lama yang tidak menarik dalam pasaran jualan semula.

Sama ada mereka mengundi memilih Vers atau tidak, penduduk dapat memanfaatkan pilihan bagi pemerintah membeli balik flat mereka sebelum tempoh pajakan berakhir, ujar pula Anggota Parlimen (AP) Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) yang juga anggota Jawatankuasa Parlimen Pemerintah Bagi Pembangunan Negara.

"Apa yang penting ialah terdapat pilihan bagi penduduk,'' katanya.

Jumlah pampasan bagi Vers tidak sebanyak Skim Pembangunan Semula Terpilih Bersama (Sers) kerana kawasan perumahan yang melalui Sers mempunyai potensi nilai pembangunan lebih tinggi. Tetapi, pemerintah akan membantu penduduk mendapatkan flat baru.

REDA KEPRIHATINAN PEMILIK FLAT LAMA

"Dengan Vers dan HIP II, pemilik flat HDB akan lebih dijamin keadaan kehidupan lebih selesa dan nilai jual beli semula flat lebih tinggi. Ia sedikit sebanyak meredakan kebimbangan mereka bahawa flat-flat lebih tua akan kehilangan nilainya,'' kata pensyarah kanan di SIM Global Education, Dr Tan Khay Boon.

Kebimbangan bahawa flat-flat itu akan mempunyai nilai sifar apabila tempoh pajakan mencapai 99 tahun menjadi keprihatinan ramai pemilik flat lama.

Perdebatan hangat dalam kalangan rakyat tercetus sejak Mac tahun lalu apabila Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong menyentuh mengenai sebilangan pembeli flat matang yang sanggup mengeluarkan harga tinggi kerana mempunyai tanggapan bahawa flat-flat itu akan terpilih bagi Sers.

Di bawah Sers, pemerintah membeli blok lama yang mempunyai nilai pembangunan tinggi untuk dibangunkan semula dan memberi pampasan pada kadar pasaran bagi flat lama mereka.

Namun, Encik Wong memberi amaran bahawa tidak semua flat layak menjalani Sers dan hanya 4 peratus dari stok perumahan dipilih bagi Sers sejak dimulakan pada 1995.

Kebanyakan flat lain akan dikembalikan kepada HDB apabila tempoh pajakan 99 tahun berakhir, kata Encik Wong.

"Perdebatan itu menimbulkan rasa panik di kalangan pemilik flat lama yang bimbang nilai flat mereka menjadi sifar apabila flat itu mencapai tempoh pajakan 99 tahun.

"Justeru, ia merupakan satu keperluan bagi Perdana Menteri menjelaskan dan memberi jaminan kepada pemilik flat lama bahawa pemerintah berpandangan jauh dan meletakkan langkah-langkah bagi memastikan aset flat mereka terus bernilai serta menyediakan lebih banyak pilihan bagi pemilik flat yang menghadapi keadaan itu,'' kata Cik Rahayu Mahzam (GRC Jurong).

Baru-baru ini misalnya, pemerintah melanjutkan skim Beli Balik Pajakan (LBS) kepada semua flat HDB termasuk flat lebih besar bagi membolehkan mereka mendapat pendapatan untuk membiayai persaraan mereka.

SEMAK PENGGUNAAN CPF BAGI BELI FLAT MATANG

Ketika ini, terdapat pemilik flat lama yang mempunyai baki tempoh pajakan kurang 60 tahun menghadapi kesukaran menarik pembeli walaupun flat telah menjalani HIP.

Ini kerana pembeli yang membeli flat lama itu tidak boleh menggunakan CPF sepenuhnya bagi membeli flat, sebaliknya perlu juga mengeluarkan wang tunai.

Jika baki tempoh pajakan kurang 30 tahun, CPF tidak boleh digunakan langsung.

Akibat baki tempoh pajakan yang berkurangan dan kesukaran menarik pembeli, flat lama ini juga terpaksa dijual pada harga rendah.

"Pernah saya menjual sebuah flat tiga bilik di Joo Seng yang sudah menjalani HIP tetapi oleh kerana baki tempoh pajakan kurang 48 tahun, ia dijual pada $240,000. Pada 2016, flat sama dijual pada $310,000-$320,000,'' kata Encik Milhan.

Oleh itu, flat-flat lama yang sukar dijual kerana pembeli tidak dapat menggunakan CPF, mungkin menarik golongan pesara yang ingin membeli flat lebih kecil dan membolehkan mereka membayar flat itu sepenuhnya tanpa CPF.

Akur dengan keprihatinan penduduk, Kementerian Pembangunan Negara (MND) berkata ia sedang menimbangkan untuk melonggarkan undang-undang menggunakan CPF bagi membeli flat lama.

KESAN POLITIK

Memandangkan isu perumahan ini amat sensitif dan sering diutarakan dalam setiap Pilihan Raya Umum, maka adalah lebih baik bagi pemerintah meredakan kebimbangan warga setempat mengenai tempoh pajakan flat HDB.

Ia akan mengambil masa sekitar dua dekad sebelum skim-skim perumahan baru dilaksanakan dan pemerintah perlu memikirkan bagaimana ia akan dibiayai tanpa memberi bebanan berlebihan kepada pembayar cukai dan menjejas kedudukan fiskal.

Jadi, adalah lebih wajar bagi isu itu diketengahkan untuk dibincangkan agar memberi masa kepada pemerintah menyesuaikannya jika perlu.

Zamil Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Mustafa Izzuddin, berkata kepimpinan politik amat prihatin lantas memberikan respons terhadap sentimen domestik kerana terdapat keprihatinan mengenai nilai rumah dengan tempoh pajakan 99 tahun.

"Pada masa yang sama, inisiatif itu juga mungkin dilaksanakan bagi memberi rangsangan politik jika pilihan raya diadakan lebih awal dari tahun 2021 yang merupakan tahun akhir di mana pilihan raya harus diadakan. Menunda pengumuman itu mungkin boleh menjejas sentimen," kata Dr Mustafa.


MENGIMBAS KATA-KATA PM LEE DI RAPAT HARI KEBANGSAAN BARU-BARU INI

"Skim ini akan berpanjangan hingga 50 tahun atau lebih. Tetapi kami menyemai benih-benihnya sekarang, melakar rancangannya, melaburkan sumbernya dan membangun institusinya... Kami tidak akan membiarkan Singapura menjadi bayangan buruk daripada zaman kegemilangan yang lalu, tetapi akan terus menjadikannya tempat yang rancak dan menarik untuk didiami. Inilah kisah Singapura sejak 50 tahun lalu. Kami telah berkata ia akan menjadi satu metropolis - dan kini ia telah menjadi nyata."


"Justeru, ia merupakan satu keperluan bagi Perdana Menteri menjelaskan dan memberi jaminan kepada pemilik flat lama bahawa pemerintah berpandangan jauh dan meletakkan langkah-langkah bagi memastikan aset flat mereka terus bernilai serta menyediakan lebih banyak pilihan bagi pemilik flat yang menghadapi keadaan itu."
- Cik Rahayu Mahzam (AP GRC Jurong).


INFOGRAFIK:

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map