Hospital Tan Tock Seng (TTSH) telah memperluas jabatan kecemasan untuk membolehkannya menampung lebih ramai orang, dengan kes harian Covid-19 terus melonjak.
Dalam video yang disebar di Faacebook pada Khamis (@3 September), kakitangan hospital yang memakai peralatan perlindungan peribadi boleh dilihat berjalan di kawasan menunggu sementara di sebuah bangunan.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) seorang jurucakap hospital berkata:
“Disebabkan bilangan kes dalam masyarakat yang melonjak, kawasan itu adalah lanjutan jabatan kecemasan untuk menyediakan ruang pemeriksaan lebih besar, sebahagian usaha kami menangani Covid-19 secara selamat.”
Beliau tidak memberikan butiran lain mengenai pelanjutan itu.
Isnin lalu, TTSH berkata ia sedang menambah jabatan kecemasan untuk mengadakan lebih banyak ruang untuk pemeriksaan orang. Ia juga menerbitkan gambar sekumpulan pekerja yang sedang membuat persiapan untuk mengubah sebahagian tempat letak kereta bagi operasi.
“Minggu lalu adalah sukar. Kami telah menerima lebih banyak kes Covid-19 yang disyaki dan yang positif menerusi ambulans dan orang yang datang sendiri ke jabatan kecemasan,” kata hospital itu di Facebook pada hari sebelumnya.
“Jika keadaan anda bukan satu kecemasan, harap dapatkan bantuan doktor di klinik keluarga atau poliklinik,” kata TTSH.