UBAT tradisional Cina berupa produk Lianhua Qingwen yang disenaraikan perubatan hak milik Cina di Singapura, sebagai pelega demam dan selesema, tidak disahkan kegunaannya oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk merawat Covid-19.
Berita yang tersebar di media sosial dan kumpulan sembang Telegram bahawa produk ini boleh melindungi sesiapa daripada Covid-19 adalah palsu, jelas HSA dalam kenyataannya pada Rabu (17 November).
"Sejauh ini, tiada bukti saintifik daripada ujian klinikal rambang yang menunjukkan bahawa sebarang produk herba termasuk Lianhua Qingwen boleh digunakan untuk melindungi atau merawat Covid-19," tambah HSA.
Ia menambah semua produk herba yang dihasilkan buat selesema dan demam termasuk perubatan tradisional Cina hanya boleh digunakan untuk mengurus tanda penyakit seperti sakit kepala, hidung berair atau sumbat, sakit tekak dan batuk.
HSA berkata orang awam tidak harus mempercayai berita palsu yang tidak disertakan dengan bukti nyata atau menyebar khabar angin bahawa produk herba boleh digunakan untuk mencegah atau merawat Covid-19.
"Sebarang produk yang mendakwa boleh merawat Covid-19 harus bersandarkan bukti saintifik daripada kajian klinikal dikawal yang menunjukkan produk ini selamat dan berkesan menentang Covid-19," katanya sambil menambah setiap dakwaan harus dinilai terlebih dahulu dan produk itu didaftar oleh HSA.
Jika didapati bersalah kerana secara palsu mengiklankan produk sebagai mencegah atau merawat Covid-19, penjual boleh dipenjara hingga dua tahun, didenda hingga $5,000 atau kedua-duanya sekali.