Subuh
5:36
Syuruk
6:52
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
6:59
Isyak
8:07
Setempat

HSA: Tiada kesan asbestos dalam bedak Johnson & Johnson di Singapura

Oct 29, 2019 | 02:54 PM

TIADA kesan asbestos didapati di dalam bedak Johnson & Johnson yang dijual di Singapura, kata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) awal hari ini (29 Oktober).

Pada 18 Oktober, syarikat gergasi itu berkata bahawa mereka akan menarik balik 33,000 botol bedak bayi di Amerika Syarikat, setelah salah satu botol didapati mengandungi kesan asbestos oleh Pentadbiran Makanan dan Perubatan AS.

Penarikan semula itu dihadkan kepada hanya satu kumpulan (batch) yang telah dihasilkan dan dihantar di Amerika pada 2018. Ini pertama kali syarikat itu menarik semula bedak bayi atas kemungkinan pencemaran asbestos.

HSA memberitahu The Straits Times bahawa botol-botol terjejas tidak diimport ke Singapura dan hanya dijual di Amerika.

Penggunaan asbestos dalam produk kosmetik seperti bedak bayi dilarang di Singapura di bawah undang-undang produk kosmetik, kata HSA.

Asbestos dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti barah paru-paru.

HSA juga berkata bahawa Johnson & Johnson telah menghantar laporan ujian yang menunjukkan bahawa tiada asbestos dalam produk mereka di Singapura.

“Hingga kini, HSA belum lagi menerima laporan mendadak berkaitan dengan penggunaan produk bedak, termasuk bedak bayi Johnson & Johnson,” tambah HSA.
 

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian