Hubungan suami isteri cermin hidup anak-anak, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:30
Syuruk
6:48
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:53
Isyak
8:02
Suatu Ketika di Singapura
Berita Harian SoSedap: Sokong kedai makan halal tempatan kita dan menangi baucar $100 Takashimaya!
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

PANDANGAN

Hubungan suami isteri cermin hidup anak-anak

Dec 21, 2020 | 05:30 AM

DALAM masyarakat kosmopolitan Singapura kini, institusi keluarga adalah tunggak kestabilan dan kemaslahatan masyarakat.

Bagi masyarakat Melayu-Islam khususnya, kita lazim dengan ucapan seperti "anak itu amanah dari Allah" dan "anak itu pembawa rezeki".

Malah, dalam bahasa Melayu, seorang anak itu merupakan 'cahaya mata' bagi ibu bapanya.

Lantas, keinginan membina keluarga sering menjadi fokus awal pasangan yang berumah tangga.

Bagaimanapun, pasangan perlu sedar bahawa persediaan sebelum mendapat anak itu juga perlu untuk menjamin kesejahteraan anak yang bakal dilahirkan nanti.

Halal Home Based Business
OKathira!

Air kathira luar biasa. Banyak inti, tak rugi!

Uncle Big's Kitchen

Shellout Platter Besar...dan banyak lagi!

SpicyLoverKitchen

Lemang Set dengan Rendang & Serunding!

Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Terutama sekali, pasangan perlu tahu bahawa hubungan kukuh antara suami isteri dalam sesebuah keluarga itu amatlah penting kerana ia akan membuat anak mereka rasa disayangi, stabil dan yang penting sekali, selamat.

Bila seseorang anak itu merasakan keadaan yang selamat dan disayangi, mereka akan membesar menjadi anak yang berjaya dalam kehidupan mereka.

Kehidupan dan kejayaan ibu bapa mereka dalam mengharungi masalah dan cabaran juga boleh menjadi cerminan bagi mereka dalam berinteraksi bersama rakan-rakan mereka.

Kemahiran kehidupan seperti ini amat perlu untuk anak-anak bila mereka membesar dan juga bila mereka membina keluarga mereka sendiri.

Antara ciri-ciri keluarga yang kukuh adalah wujudnya interaksi dan komunikasi yang positif antara suami dan isteri dan juga bersama anak-anak.

Ini akan menyebabkan terjalinnya hubungan yang rapat antara anak dan ibu bapa kerana mereka senang dengan cara komunikasi sebegini, terutama sewaktu anak-anak masih kecil.

Anak-anak senang belajar dengan melihat dan meniru cara ibu bapa dan orang di sekeliling mereka.

Dalam lingkungan usia kecil, perangai dan perwatakan mereka lebih senang dibentuk dan dipupuk dengan nilai-nilai positif dan murni.

Menanam nilai positif seperti kejujuran, keberanian, bertanggungjawab, keihsanan, amanah, berbaik sangka, ramah, bertolak ansur dan hormat menghormati selalunya lebih berkesan bila anak-anak masih kecil berbanding bila mereka sudah remaja.

Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajak anak-anak melawat datuk dan nenek mereka secara kerap atau membantu dalam kerja harian. Ibu bapa juga boleh menziarah anggota keluarga yang sakit atau yang memerlukan dan membantu mereka dari segi kewangan ataupun keperluan harian.

Rumah tempat paling sesuai untuk ibu bapa membesarkan anak-anak yang berwibawa dan berakhlak mulia. Untuk menerapkan akhlak yang baik dalam anak-anak, ibu bapa tidak perlu mencapai tahap seorang pakar psikologi atau pakar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Setiap ibu bapa memerlukan sikap yang terbuka, ikhlas, positif dan optimis, tidak kira apa jua tahap pendidikan mereka.

Ibu bapa harus sedar bahawa guru ataupun pendidik yang paling utama untuk anak-anak mereka adalah ibu bapa sendiri.

Pasangan suami isteri perlu sedar bahawa anak-anak bukan hanya belajar dengan cara diberitahu, tetapi mereka banyak belajar nilai-nilai kehidupan melalui pemerhatian serta meniru cara ibu bapa dan orang yang paling dekat dengan mereka.

Jadi cara terbaik untuk ibu bapa mengajar anak-anak mereka adalah menjadi contoh terbaik mereka. Pasangan harus sedar bahawa kelakuan, percakapan, budi bahasa dan juga pemikiran anak-anak selalu mencerminkan ibu bapa mereka.

Kita selalu mendengar contoh di mana ibu bapa diberitahu bahawa cara anak-anak mereka berbual tidak ubah seperti diri mereka.

Pasangan yang ingin berumah tangga dan mempunyai zuriat harus membuat persiapan bukan hanya untuk hari perkahwinan mereka, tapi juga bersiap untuk menjadi ibu bapa yang berkesan agar dapat melahirkan anak-anak yang mempunyai akhlak yang baik.

Sebaiknya, mantapkan hubungan antara suami isteri dengan menghadiri kursus-kursus rumah tangga.

Selanjutnya bila sudah bersedia, hadiri juga kelas-kelas bimbingan keibubapaan agar dapat mempersiapkan diri untuk mendapat dan mendidik zuriat bila tiba masanya nanti.

Penulis Pengarah Pusat Hab Perkahwinan di AMP.


"Pasangan suami isteri perlu sedar bahawa anak-anak bukan hanya belajar dengan cara diberitahu, tetapi mereka banyak belajar nilai-nilai kehidupan melalui pemerhatian serta meniru cara ibu bapa dan orang yang paling dekat dengan mereka.
Jadi cara terbaik untuk ibu bapa mengajar anak-anak mereka adalah menjadi contoh terbaik mereka. Pasangan harus sedar bahawa kelakuan, percakapan, budi bahasa dan juga pemikiran anak-anak selalu mencerminkan ibu bapa mereka."

- Penulis.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map