DALAM masa dua minggu mendatang hujan berserta guruh dijangka bagi kebanyakan hari, jelas kenyataan Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS).
Bagi beberapa hari di awal tempoh dua minggu ini, kehadiran sistem tekanan rendah di Laut China Selatan mungkin akan mendorong wujudnya ribut Sumatra di Selat Melaka dan membawa pada hujan berserta guruh dengan angin kencang bertiupan ke arah Singapura dan kawasan sekeliling antara waktu sebelum subuh dan pagi.
Pada bahagian penghujung dua minggu ini, hujan berguruh diramalkan turun pada kebanyakan hari dengan hujan ini berlarutan hingga ke petang bagi beberapa hari.
Bagi beberapa hari pula, hujan berguruh yang sederhana hingga lebat mungkin akan turun kerana tumpuan angin berskala besar di Singapura dan rantau sekeliling.
Secara keseluruhan, hujan yang turun pada Oktober 2022 dijangka melebihi kadar purata di kebanyakan kawasan di Singapura.
Menurut MSS, bagi keseluruhan Oktober 2022, suhu harian bagi kebanyakan hari diramalkan adalah antara 24 hingga 33 darjah Celsius.
Walaupun hujan dijangka bagi kebanyakan hari pada dua minggu mendatang, suhu maksimum harian boleh sampai hingga 34 darjah Celsius dalam masa beberapa hari.
Sebagai tambahan, cuaca lembap mungkin membawa suhu harian cecah antara 23 hingga 32 darjah Celsius bagi beberapa hari.