HUJAN lebat melanda Singapura hari ini, dan agensi air negara PUB mengeluarkan amaran risiko banjir yang tinggi di Tampines Road, yang sering dilanda banjir.
PUB menyiarkan amaran melalui akaun sosial medianya pada 4.22 petang bahawa hujan lebat dijangka melanda beberapa kawasan di Singapura dari 4.50 hingga 5.50 petang.
Menurut laman Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), hujan ribut dijangka melanda seluruh Singapura dari 5.30 hingga 7.30 petang.
PUB mengeluarkan amaran banjir yang tinggi untuk Tampines Road pada 5.52 petang.
Paras air dalam saluran pengukur meningkat kepada 100 peratus sebelum surut dalam masa beberapa minit.
PUB juga mengeluarkan amaran tinggi risiko banjir bagi Jalan Arumugam di Ubi pada 6.10 petang.
Dalam satu video yang tersebar dalam talian pula, tiga bot putih kelihatan berterbangan ditiup angin kencang di Pusat Layar Nasional, East Coast Park.
Singapura kini mengalami musim tengkujuh timur laut, yang dijangka berterusan sehingga Mac.
Banjir kilat melanda Seletar North Link kelmarin.
Hujan air batu juga dilaporkan di beberapa kawasan di Singapura termasuk Yishun dan Seletar.
“Kami menggesa orang ramai untuk berhati-hati dan tidak berjalan atau memandu di kawasan banjir,” menurut kenyataan PUB.
“Semasa musim tengkujuh ini, orang ramai digalakkan mendengar siaran radio dan mengawasi laman Facebook PUB atau aplikasi MyWaters untuk mendapatkan maklumat terkini tentang banjir.