SYARIKAT yang didapati tidak mencapai piawaian keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sekarang akan menghadapi hukuman lebih berat, termasuk tempoh minimum lebih panjang apabila mereka diarah menghentikan kerja.
Arahan menghentikan kerja kini akan berjalan sekurang-kurangnya tiga minggu, meningkat daripada dua minggu sebelum ini.
Syarikat yang dikenakan arahan itu atau mempunyai kemalangan maut di tempat kerja juga menghadapi risiko keistimewaan pas kerja mereka disekat buat sementara, lantas mereka tidak dapat mengambil pekerja asing baru sehingga mereka telah menyelesaikan isu-isu keselamatan itu.
Mengumumkan perubahan tersebut pada Khamis (12 Mei), Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Sam Tan, berkata ia sebagai respons kepada beberapa kes kematian di tempat kerja baru-baru ini: Terdapat 28 dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, enam lebih banyak daripada tempoh sama tahun lepas.
Encik Tan, yang bercakap semasa satu pemeriksaan mengejut di tapak binaan di Geylang Road, berkata arahan menghentikan kerja lebih panjang adalah satu hukuman kewangan "keras" bagi syarikat, tetapi menegaskan bahawa keselamatan kekal paling utama.
"Jika syarikat tidak mengambil keselamatan dengan serius, kita tidak boleh mengambil kepentingan komersial mereka dengan serius," katanya.
Bagi syarikat yang menggajikan seratus pekerja, arahan menghentikan kerja seminggu lebih panjang boleh menyebabkan kos puluhan ribu gaji dibayar tetapi tiada sembarang kerja dilakukan, dan ini tidak termasuk kos yang dikenakan oleh pemaju kerana tidak menepati tarikh akhir.
Tapak kerja di Geylang Road antara Lorong 19 dan 21 itu dikenakan arahan menghentikan kerja selepas pemeriksaan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
MOM enggan mendedahkan nama syarikat tersebut.
Syarat baru bagi menarik balik arahan menghentikan kerja kini termasuk latihan ulang kaji wajib bagi semua kelemahan, serta penilaian semula sistem pengurusan kesihatan dan keselamatan tapak kerja oleh juruaudit luaran yang diluluskan.