Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Hukuman maksimum tiga kesalahan seksual akan dinaikkan

Sep 14, 2021 | 05:30 AM



HUKUMAN maksimum bagi tiga kesalahan seksual akan dinaikkan untuk menandakan kepentingan membangunkan sebuah masyarakat yang merangkumi nilai-nilai asas kesamaan dan rasa hormat, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam.



Ini termasuk meningkatkan tempoh penjara maksimum bagi kesalahan mencabul kehormatan daripada dua tahun kepada tiga tahun menyusuli peningkatan dalam laporan kes yang dibuat.



Purata 1,190 kes cabul kehormatan dibuat setiap tahun dari 2016 hingga 2020, satu kenaikan 24 peratus berbanding tempoh lima tahun sebelumnya dari 2011 hingga 2015.



Hukuman dipertingkat itu adalah antara perubahan yang diusulkan di bawah Rang Undang-Undang Jenayah (Pindaan Lain), yang telah diluluskan di Parlimen semalam.



Sementara itu, tempoh hukuman penjara yang lebih lama juga akan dikenakan bagi kesalahan seksual yang dilakukan di hadapan budak berusia antara 14 dengan 16 tahun atau menyebabkan budak bawah umur melihat gambar seksual.



Tempoh hukuman penjara juga akan dinaikkan bagi kesalahan sama dilakukan terhadap budak berusia antara 16 dengan 18 tahun di mana pesalahnya dalam hubungan bersifat mengeksploitasi dengan budak itu, seperti ibu atau bapa, ibu atau bapa tiri, guru atau jurulatih sukan.



Hukuman penjara maksimum bagi dua kesalahan seksual itu akan dinaikkan daripada satu tahun kepada dua tahun.



"Ini akan menjadikan hukuman itu sejajar dengan kesalahan serupa yang melibatkan komunikasi seksual dengan budak bawah umur," kata Encik Shanmugam dalam bacaan kedua rang undang-undang itu di Parlimen semalam.



Sementara itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Desmond Tan, pula telah menjelaskan skop sesetengah kesalahan dalam bacaan kedua rang undang-undang itu.



Antaranya, definisi "bahan penderaan kanak-kanak" dan "bahan penderaan" akan dipinda untuk meliputi gambar bahagian kemaluan, punggung, atau buah dada seorang budak bawah umur, sama ada terdedah atau tertutup.



Buat masa ini, ia merangkumi bahan-bahan yang menggambarkan imej buah dada, atau bahagian kemaluan atau bahagian dubur, seorang budak bawah umur dalam keadaan yang dianggap sebagai menyinggung (offensive) oleh individu yang masuk akal.



"Ini akan mempertingkatkan perlindungan bagi budak bawah umur, dengan memastikan kesalahan relevan dikenakan bagi gambar seksual kanak-kanak yang berpakaian mendedahkan, atau gambar yang diambil dari dekat kemaluan, punggung, atau buah dada kanak-kanak itu - meskipun jika ia ditutupi pakaian - dalam keadaan yang akan dianggap sebagai menyinggung (offensive) oleh individu yang masuk akal.



"Di samping itu, rang undang-undang itu menjelaskan gambaran tersebut mesti bersifat seksual. Ini akan membuatnya jelas bahawa niatnya bukan untuk meliputi gambaran tidak seksual budak bawah umur, seperti iklan lampin," kata Encik Tan.



Semasa bahas rang undang-undang itu, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) berkata sementara beliau mengalu-alukan hukuman yang dipertingkat bagi kesalahan mencabul kehormatan, beliau bertanya mengapa hukuman lebih teruk hanya dikenakan apabila budak bawah umur berusia bawah 14 tahun.



"Secara berasingan, apakah rasional mengehadkan seksyen 354(2) kepada mangsa di bawah usia 14 tahun, dan kanak-kanak seperti bawah definisi Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (CYPA)? Kenapa tidak liputi semua budak bawah umur 16 tahun? Ini akan menjadi konsisten dengan kesalahan asuhan seksual atau eksploitasi seksual," soal beliau.



Menjawab pertanyaan itu, Encik Shanmugam berkata soalan itu telah dipertimbangkan Jawatankuasa Semakan Kanun Keseksaan (PCRC), dan kedua-dua kesalahan, sama ada mangsa berusia bawah 16 tahun atau bawah 14 tahun, ditangani secara serius.



"Kesalahan penetrasi seksual di bawah seksyen 376A Kanun Keseksaan kini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan/atau denda jika dilakukan terhadap mangsa berusia antara 14 dengan 16 tahun. Oleh itu, hukumannya serius.



"Namun, jika mangsa bawah usia 14 tahun, kesalahannya boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan terdapat juga kemungkinan hukuman sebat. Kriteria 14 tahun di bawah seksyen 354(2) adalah konsisten dengan pendekatan ini," kata beliau.



Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol) pula telah melahirkan keprihatinannya tentang asuhan seksual dalam ruang digital.



"Selain menghantar gambar dan kandungan tidak senonoh kepada individu yang mudah terjejas, saya ingin bertanya sama ada ini juga termasuk menghantar pautan gambar seksual atau pautan kepada kandungan dan laman seksual menerusi platform seperti chat di Instagram, WhatsApp, komen Tik Tok atau chat di platform permainan seperti Minecraft atau Roblox?



"Kadangkala, pautan ini juga secara keliru dibenamkan dalam chat dalam talian dan dalam bentuk apa yang dikenali sebagai 'clickbait', " kata beliau.



Encik Shanmugam berkata Kanun Keseksaan telah dipinda pada 2019 untuk memperkenalkan kesalahan khusus berkaitan kesalahan seksual yang dipermudah oleh teknologi, seperti komunikasi seksual dengan budak bawah umur dan kegiatan atau gambar seksual di hadapan budak bawah umur.



Bergantung pada fakta kes, beliau berkata perbuatan menghantar pautan kepada imej atau kandungan seksual kepada individu bawah usia 16 tahun akan diliputi kategori kesalahan itu, dan situasi serupa akan dikenakan jika individu berusia antara 16 dengan 18 tahun dan pesalahnya dalam hubungan bersifat mengeksploitasi dengan budak itu.



"Kesalahan itu akan dikenakan, meskipun jika komunikasinya berasal dari luar Singapura atau pesalahnya di luar Singapura. Namun, membawa dia masuk ke Singapura dan menghadapi keadilan tentunya satu soalan berasingan.



"Kesalahan itu juga akan dikenakan, tidak kira platform dalam talian di mana kandungan seksual disampaikan," kata Encik Shanmugam.



Selain itu, turut diluluskan di Parlimen semalam ialah Rang Undang-Undang Hak Cipta dan Rang Undang-Undang Perlindungan dan Pengurusan Persekitaran (Pindaan).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >