Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Hukuman mati di S'pura dapat sokongan kukuh, cegah pengedaran dadah: Shanmugam

Sep 21, 2022 | 05:33 AM



TERDAPAT sokongan kukuh bagi hukuman gantung di Singapura dan kritikan antarabangsa terhadapnya telah dibesar-besarkan, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dalam satu wawancara.



Malah, satu tinjauan yang dijalankan di rantau ini menunjukkan bahawa hukuman mati telah bertindak sebagai langkah pencegahan yang kukuh bagi mereka yang merancang mengedar dadah, lantas menunjukkan bahawa pendirian tegas negara ini terhadap dadah telah menyelamatkan nyawa.



Encik Shanmugam berkata demikian semasa bercakap tentang undang-undang dadah Singapura dan Seksyen 377A dalam satu wawancara dengan akhbar The Sydney Morning Herald.



Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) mengeluarkan transkrip wawancara itu kelmarin.



Hukuman gantung yang dijalankan terhadap beberapa pengedar dadah di Singapura baru-baru ini mendapat kritikan daripada aktivis hukuman mati serta pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU).



Ditanya tentang hal itu, Encik Shanmugam berkata empat atau lima rencana akhbar yang memetik tiga atau empat aktivis tidak bermakna tekanan antarabangsa.



"Di peringkat antarabangsa, terdapat beberapa kenyataan oleh pelapor khas PBB dan terdapat beberapa rencana, tidak lebih daripada itu.



"EU mempunyai tumpuan ideologi pada hukuman mati tetapi saya juga ingin bertanya sama ada mereka mempunyai penyelesaian yang lebih baik," ujarnya.



Tambahnya, Belanda disifatkan sebagai 'negara narko' oleh ketua kesatuan polis terbesar di negara itu sementara di Sweden pula, keganasan kongsi gelap berkaitan dadah telah menjadi isu utama dalam pilihan raya.



"Tiada orang bercakap tentangnya. Bagaimana pula dengan mangsa jenayah? Jadi kalau EU boleh memberitahu kami penyelesaian yang lebih baik, kami akan dengar.



"Kami mengambil pendekatan amat tegas terhadap pengedar dadah kerana kami menganggapnya sebagai jenayah sinis dan kami ingin menyampaikan mesej dengan jelas bahawa kami tidak mahu menjadi seperti Eropah Barat.



"Kami tidak mahu menjadi seperti kebanyakan bandar Barat. Kami pastinya tidak mahu menjadi seperti banyak bandar di Asia Tenggara," kata Encik Shanmugam.



Salah satu kes yang telah menarik perhatian tentang hukuman gantung yang dilaksanakan Singapura melibatkan seorang pengedar dadah warga Malaysia, Nagaenthran K. Dharmalingam.



Terdapat beberapa pihak yang mengutuk Singapura kerana menjalankan hukuman gantung terhadapnya pada 27 April lalu kerana membawa masuk 42.72 gram heroin ke negara ini, dengan mendakwa bahawa dia mempunyai kecerdasan intelektual (IQ) 69 dan ini membuatnya kurang upaya dari segi intelektual.



Meskipun IQ Nagaenthran lebih rendah berbanding orang biasa, Encik Shanmugam berkata pakar psikiatri yang memeriksanya tidak menilainya sebagai kurang upaya dari segi intelektual.



Tambahnya, undang-undang melihat pada sama ada pesalah itu tahu apa yang dilakukannya dan mahkamah mendapati bahawa Nagaenthran sedar dan mencari alasan serta cara baru untuk menerangkan perbuatannya.



Encik Shanmugam juga menarik perhatian beberapa tinjauan setempat yang menunjukkan bahawa lebih 80 peratus warga Singapura bersetuju dengan hukuman gantung bagi pengedar dadah.



Malah, satu tinjauan yang dijalankan di rantau ini turut mendapati bahawa mereka yang berada di luar Singapura merasakan bahawa ini dapat mencegah mereka.



"Kesedaran tentang hukuman gantung kita amat tinggi. Dan kesedaran tentang kemungkinan ditangkap amat tinggi.



"Hasilnya, ramai tidak mahu mengedar dadah ke Singapura.



"Jika ini dihapuskan, ramai lagi yang akan mengedar dadah ke Singapura pastinya," ujarnya.



Dalam wawancara itu, Encik Shanmugam juga ditanya jika rancangan Singapura untuk meminda Perlembagaan demi melindungi takrif perkahwinan daripada dicabar secara perundangan apabila Seksyen 377A dimansuhkan akan menjadikan perkahwinan antara pasangan sama jantina lebih sukar untuk dicapai.



Encik Shanmugam, yang tidak setuju dengan pandangan tersebut, berkata Parlimen masih boleh mengubah takrif perkahwinan dengan majoriti mudah dan perubahan itu hanya bertujuan memastikan bahawa isu dasar sedemikian ditentukan di Parlimen.



"Di banyak tempat, Parlimen mengelak daripada isu itu dan membiarkan mahkamah menanganinya kerana tiada siapa mahu menanganinya," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >