HUKUMAN terhadap bekas ketua eksekutif firma makanan dan minuman The Prive Group yang menyerang seorang remaja telah ditangguhkan selepas doktornya mengatakan bahawa budak itu telah membangkitkan kemarahan penyerangnya.
Warga Perancis, Vu Han Jean-Luc Kha, kini 44 tahun, pada asalnya dijangka dijatuhkan hukuman semalam, tetapi kes itu ditangguhkan ke Februari selepas mahkamah diberitahu bahawa menurut laporan doktor Kha, budak lelaki yang berusia 13 tahun pada ketika itu telah memprovokasinya.
Ini bertentangan dengan fakta yang diakui Kha sebelum ini, yang menyatakan bahawa serangan itu tidak diprovokasi.
Peguam bela, Cik Teh Ee-Von kemudiannya mengubah dokumennya untuk menyatakan bahawa Kha sebaliknya "memperhatikan" mangsa berkata "sesuatu yang menjengkelkan" kepada kliennya, tetapi Kha tidak dapat mengingati apa yang telah dikatakan.
Selepas itu, Hakim Daerah, Encik Lim Tse Haw, memberitahu Cik Teh untuk memberikan penjelasan ini kepada doktor serta dokumen mahkamah yang diterima Kha ketika dia mengaku bersalah pada Oktober.
Ini supaya doktor tersebut dapat memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini.
Kha kini dijangka dijatuhkan hukuman pada 9 Februari tahun depan.
Cik Teh sebelum ini merayu agar hakim meminta laporan untuk menilai kesesuaian kliennya bagi perintah rawatan mandatori (MTO) kerana Kha telah didiagnosis dengan gangguan bipolar.
Pesalah yang diberi MTO akan menjalani rawatan untuk keadaan mental mereka sebagai ganti hukuman penjara.
Menentang permintaan pihak pembelaan dalam prosiding mahkamah sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Encik Goh Yong Ngee, berkata:
"Pemulihan tidak sepenting hukuman lain, khususnya mengenai pencegahan umum dan pembalasan... Dalam kes ini, pembalasan jelas juga merupakan pertimbangan penting, memandangkan kecederaan psikologi yang dialami mangsa."
Mahkamah diberitahu kejadian pada November 2019 menyebabkan kecederaan mental yang teruk pada mangsa sehingga dia masih takut untuk menaiki lif untuk kira-kira setahun kemudian.
Remaja warga Singapura itu, yang tidak boleh didedahkan namanya atas arahan mahkamah, turut mengalami imbasan kembali serangan dan mengalami kesukaran untuk tidur malam.
Dalam prosiding mahkamah sebelum ini, DPP Goh berkata mangsa dan adik lelakinya ketika itu berusia 12 tahun berada di dalam lif di Pusat Beli-belah Parklane di Selegie Road pada 22 Nov 2019, apabila ia berhenti di tingkat lima kira-kira 8.15 malam.
Kha yang mabuk dan seorang lelaki Singapura, 41 tahun, menyertai dua budak lelaki itu di dalam lif tidak lama kemudian. Kha kemudiannya mengarahkan komen lucah kepada mangsa, yang berasa cemas.