MALANG tidak berbau menimpa satu pasangan suami isteri dan anak lelaki mereka yang meninggal dunia akibat satu kejadian di sebuah flat di Ho Ching Road dekat Taman Jurong kelmarin.
Lelaki berusia 80 tahun, Allahyarham Omar Manan, dikatakan tergelincir ketika mandi dan isterinya, Allahyarhamha Asmah Bujang yang berusia 66 tahun cuba membantu apabila beliau terkena kejutan elektrik dalam tandas di unit itu.
Anak lelaki mereka yang berusia 45 tahun, Allahyarham Muhamad Ashikin Omar, tiba di flat itu dan cuba membantu ibu bapanya sebelum beliau sendiri terkena kejutan elektrik.
Anak lelaki itu dibawa ke hospital dan meninggal dunia di hospital.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), pihak polis menyatakan bahawa mereka dimaklumkan mengenai kes itu petang kelmarin.
"Pada 10 Disember 2020, 4.15 petang, polis dimaklumkan kes kematian di sebuah unit di Blok 120 Ho Ching Road. Seorang lelaki berusia 80 tahun dan seorang wanita berusia 66 tahun, yang merupakan suami isteri, didapati terbaring tidak bergerak di lokasi tersebut dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh seorang anggota paramedik.
"Seorang lelaki berusia 45 tahun, anak kepada pasangan yang telah mengunjungi mereka di unit itu, tidak sedarkan diri ketika dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong dan kemudian disahkan meninggal dunia di hospital,'' ujar jurucakap polis.
Polis berkata mereka tidak mengesyaki perbuatan khianat. Siasatan polis sedang dijalankan.
Suasana hiba menyelubungi keadaan apabila tiga jenazah itu tiba di Blok 354 Kang Ching Road yang merupakan rumah anggota keluarga mereka sekitar 2.30 petang semalam.
Tiga jenazah itu dikebumikan semalam.
Ketika ditemui oleh wartawan, isteri kepada Allahyarham Muhamad Ashikin, hanya berkata:
"Saya masih rasa kehilangan dan terkejut.''
Di dalam posnya di sosial media malam kelmarin, beliau berkata suaminya merupakan seorang anak dan suami yang baik.
"Hari ini (11 Disember) merupakan hari lahir anak kami yang ke-15 tahun dan 12 Disember ialah hari lahir adik ipar. Beliau kehilangan kedua ibu bapa dan satu-satunya abang,'' katanya.
Jiran kepada pasangan Allahyarham Omar dan Allahyarhamha Asmah yang ingin dikenali sebagai Cik Rahmah, yang tinggal di tingkat 10 di Blok 120 Ho Ching Road, berkata pasangan itu amat peramah.
"Saya terperanjat mendengar berita ini. Saya melihat ramai pegawai polis yang datang ke rumah mereka petang Khamis sejak 5 petang,'' katanya.
Polis mengeluarkan mayat dari unit itu sekitar 9 malam kelmarin.
Jiran juga melihat pegawai polis memeriksa meter elektrik dan hanya meninggalkan unit itu sekitar 11.30 malam.
Laporan lanjut : Kematian tiga anak-beranak mengejutkan famili, saudara-mara