IBU bapa budak lelaki lima tahun yang berulang kali menyimbah air panas kepadanya hingga dia meninggal dunia daripada kecederaan itu, setiap seorang, dihukum penjara seumur hidup, selepas si ibu terlepas daripada hukuman gantung pada Selasa (18 Oktober).
Azlin Arjunah dan suaminya Ridzuan Mega Abdul Rahman, kededuanya 30 tahun, menyimbah air panas berkenaan pada budak lelaki itu dalam empat peristiwa berasingan pada 2016, di flat sebilik di Toa Payoh.
Awalnya, mereka diberi hukuman penjara 27 tahun setiap seorang pada 2020 kerana menyebabkan kesakitan yang teruk dengan cara berbahaya.
Namun, Mahkamah Rayuan menambah hukuman Ridzuan kepada penjara seumur hidup dan mensabitkanAzlin atas kesalahan membunuh pada Julai, berikutan rayuan oleh pendakwa.
Bagi Ridzuan pula, pihak mahkamah telah membatalkan hukuman roton 12 sebatan berkaitan dengan salah satu daripada lapan tuduhan yang didakwa ke atasnya.
Sedang Ridzuan dan Azlin didakwa atas tuduhan berbeza, mahkamah agung berkata kededuanya berkongsi tahap kesalahan yang sama dalam kes ini.
“Peranan mereka dan keadaan sekeliling sama dan kebanyakan daripada tuduhan ini dilakukan oleh kededuanya sebagai lanjutan daripada niat asal mereka yang serupa.
“Kededuanya juga berkongsi tanggungjawab sebagai ibu bapa anak yang meninggal dunia itu.
“Justeru, selanjutnya sebagai menetapkan keadilan, kedudukan awal kes ini adalah Ridzuan tidak seharusnya dihukum dengan hukuman yang lebih membebankan daripada Azlin,” jelas mahkamah itu lagi.
Pasangan ini menyimbah air panas ke tubuh anak mereka itu dalam empat kejadian antara 15 Oktober dengan 22 Oktober 2016.
Mereka hanya menghantar budak ini ke hospital beberapa jam selepas dia pengsan menyusuli kejadian terakhir.
Azlin menyimbah air panas bagi tiga kejadian pertama sementara Ridzuan pula melakukannya bagi kejadian kedua dan keempat.
Kes ini disifatkan pihak pendakwa sebagai ‘salah satu kes penderaan kanak-kanak paling teruk’ yang pernah berlaku sehingga budak lelaki ini meninggal dunia daripada kelecuran yang menyelaputi 75 peratus tubuhnya pada 23 Oktober 2016.
Pasangan ini juga melakukan penderaan lain kepada budak ini termasuk mengurungnya dalam sangkar haiwan peliharaan.
Mereka yang mempunyai anak lain awalnya berdepan dengan tuduhan membunuh dengan niat serupa mengenakan kelecuran yang membawa maut buat budak itu.
Mangsa dan adik-beradiknya tidak boleh didedahkan identitinya atas perintah mahkamah.