Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ibu bapa ditinjau BH, alu-alu vaksin bagi anak meski prihatin

Pakar pula berpendapat langkah beri vaksin pada kanak-kanak lima hingga 11 tahun yang diumum MOH satu perkembangan penting dalam pembukaan semula negara
Dec 14, 2021 | 05:30 AM



BELIAU sama sekali tidak menjangkakan anaknya yang berumur tujuh tahun akan dijangkiti Covid-19.



Namun setelah mendapat tahu bahawa anak sulungnya, Adam Shakil Muhammad Adib serta pembantu rumahnya positif Covid-19 mengambil ujian antigen pantas (ART), Cik Sakinah Mohd Ali mula berasa cemas dan khuatir akan keadaan kesihatan mereka.



"Memang saya tidak sangka pada usia ini anak saya akan mendapat Covid-19. Saya tahu di sekolahnya ada beberapa murid yang pernah dijangkiti virus ini, namun tidak terlalu memikirkan tentangnya pada waktu itu.



"Namun apabila dia mula demam dan kemudian menunjukkan keputusan positif, saya terkejut dan mula berasa risau.



"Mungkin saya terlalu naif untuk memikirkan bahawa anak saya selamat. Ternyata tanggapan saya itu salah, lebih-lebih lagi apabila dia belum boleh mendapatkan vaksinasi," kata Cik Sakinah, 33 tahun.



Justeru, ibu kepada dua lagi anak kecil berusia empat tahun dan setahun itu mengalu-alukan langkah pemerintah untuk memberi vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty Covid-19 kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun pada akhir bulan ini.



Beliau merupakan antara sekumpulan 10 ibu bapa yang dihubungi Berita Harian bagi mendapatkan pandangan mereka tentang langkah terkini yang diumumkan minggu lalu.



Dalam kenyataannya minggu lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan bahawa vaksinasi buat kumpulan usia ini akan dimulakan pada hujung bulan ini dan dijangka bermula sejurus kumpulan vaksin baru diterima.



Vaksin Pfizer adalah vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan oleh Singapura bagi kegunaan kanak-kanak bagi peringkat usia itu.



Ini berikutan saranan jawatankuasa pakar vaksinasi Covid-19, yang telah diterima oleh pasukan petugas pelbagai kementerian.



Jawatankuasa itu menyatakan manfaat vaksin itu mengatasi risiko yang ditimbulkan kepada kanak-kanak kecil, terutamanya memandangkan penularan dalam masyarakat yang berterusan dan kemunculan varian Omicron.



Ia juga mengesyorkan kanak-kanak dengan keadaan perubatan kronik yang sederhana hingga teruk harus diberi keutamaan untuk menerima suntikan.



Kanak-kanak akan diberi dos lebih kecil - sepertiga daripada yang digunakan buat individu 12 tahun ke atas - dan suntikannya pula dijarakkan pada sekurang-kurangnya 21 hari, menurut MOH.



Meskipun anaknya itu telah sembuh sepenuhnya setelah menjalani program pemulihan di rumah selama 10 hari, Cik Sakinah tidak mahu keadaan cemas itu berulang lagi.



Beliau yang bekerja sebagai seorang jururawat berkata: "Saya akan pastikan anak saya mendapatkan vaksinasi agar dapat melindungi diri mereka, lebih-lebih lagi dengan kehadiran virus Omicron ini."



Seorang lagi ibu yang turut menyambut baik langkah terbaru itu ialah Cik Hanna M Tabii.



Ibu kepada lima orang anak berusia antara tiga bulan dengan 18 tahun berkata beliau telah lama menantikan berita baik itu dan gembira akhirnya ia telah diluluskan di sini.



Bagi Cik Nur Diana Mazlan, 29 tahun, beliau sudahpun merancang untuk membawa dua anaknya yang layak mendapatkan vaksinasi itu.



"Saya akan menghantar mereka untuk mendapatkan suntikan sebaik mereka dibenarkan… lagi cepat lagi bagus," ujar ibu empat orang anak berusia antara 17 bulan dengan sembilan tahun.



Namun begitu, rata-rata ibu bapa yang dihubungi akhbar ini berkata mereka tidak akan terburu-buru untuk memastikan anak mereka mendapatkan vaksinasi terhadap Covid-19.



Cik Hanna berkata: "Saya tidak tergesa-gesa tetapi saya pasti akan menghantar mereka untuk mendapatkan vaksinasi.



"Ini terutama sekali dengan kemunculan varian Omicron dan juga anda tidak akan tahu sama ada langkah pembezaan vaksinasi akan diperluaskan kepada kanak-kanak yang tidak divaksinasi pada masa hadapan."



Suri rumah berusia 44 tahun itu terlebih dahulu mahu mendapatkan kepastian tentang kesan sampingan vaksinasi Covid-19 terhadap kanak-kanak dalam kumpulan usia ini dan ingin menunggu laporan kajian vaksin Covid-19 yang dilakukan terhadap kumpulan kanak-kanak berbeza.



Sentimen itu turut dikongsi seorang lagi suri rumah, Cik Nurhuda Mohd Nor, 40 tahun yang mempunyai tiga orang anak berusia antara empat dengan lapan tahun.



"Walaupun kesan sampingan yang teruk hanya membentuk peratusan kecil, saya masih berasa curiga kerana belum cukup kajian dilakukan," ujarnya.



Dalam menangani kebimbangan itu, Dr Zainol Muttakin, pakar pediatrik, The Cheery Child Clinic, berkata kajian yang telah dilakukan sejauh ini menunjukkan bahawa kesan sampingan daripada vaksin hanya yang ringan sahaja ke atas kanak-kanak kecil antara lima dengan 11 tahun.



Mengongsi dapatan kajian itu ketika webinar kesihatan yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA) bulan lalu, Dr Zainol berkata kesan sampingan yang ditunjukkan seperti lesu, sakit kepala, sengal otot serta demam dan tanda-tanda itu berlangsung selama beberapa hari saja.



Beliau menambah: "Sehingga kini tiada laporan kes miokarditis atau radang otot jantung dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang menerima vaksin Pfizer- BioNTech.



"Dari segi keberkesanan vaksin tersebut berjaya menghasilkan antibodi tindak balas yang berkesan dengan lebih kurang 90 peratus daripada kanak-kanak yang dikaji."



Memberi contoh perkembangan di Amerika Syarikat, pakar penyakit berjangkit dari Rophi Clinic, Dr Leong Hoe Nam, berkata sejauh ini program vaksinasi bagi kanak-kanak berusia antara lima dengan 11 tahun yang disediakan pada dua minggu pertama bulan lalu sedang berjalan lancar.



Beliau berkata: "Kita dapat melihat sekitar lima juta kanak-kanak di Amerika Syarikat yang sudah mendapat vaksinasi mereka terlebih dahulu. Setakat ini tiada isu yang dilaporkan - jadi saya harap perkara ini juga sama di sini nanti." - Laporan tambahan SITI AISYAH NORDIN




"Sehingga kini tiada laporan kes miokarditis atau radang otot jantung dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech.



Dari segi keberkesanan vaksin tersebut berjaya menghasilkan antibodi tindak balas yang berkesan dengan lebih kurang 90 peratus daripada kanak-kanak yang dikaji."
- Dr Zainol Muttakin, pakar pediatrik, The Cheery Child Clinic.



"Memang saya tidak sangka pada usia (tujuh tahun) ini anak saya akan mendapat Covid-19. Saya tahu di sekolahnya ada beberapa murid yang pernah dijangkiti virus ini, namun tidak terlalu memikirkan tentangnya pada waktu itu. Namun apabila dia mula demam dan kemudian menunjukkan keputusan positif, saya terkejut dan mula berasa risau.



Mungkin saya terlalu naif untuk memikirkan bahawa anak saya selamat. Ternyata tanggapan saya itu salah, lebih-lebih lagi apabila dia belum boleh mendapatkan vaksinasi."
Cik Sakinah Mohd Ali, 33 tahun, yang menyaksikan anak sulung dan pembantu rumahnya dijangkiti Covid-19.



"Saya akan menghantar mereka (dua anaknya yang layak dapat vaksinasi) untuk mendapatkan suntikan sebaik mereka dibenarkan… lagi cepat lagi bagus."



Cik Nur Diana Mazlan, 29 tahun, ibu empat orang anak berusia antara 17 bulan dengan sembilan tahun.



"Walaupun kesan sampingan yang teruk hanya membentuk peratusan kecil, saya masih berasa curiga kerana belum cukup kajian dilakukan."
Cik Nurhuda Mohd Nor, 40 tahun, ibu yang mempunyai tiga orang anak berusia antara empat dengan lapan tahun.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >