Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

CEKAL HARUNGI CABARAN

Ibu jadi mangsa dera, cari ceria Ramadan...

May 25, 2019 | 05:30 AM



Sedang kebanyakan kita beruntung menjalani Ramadan ini dalam keselesaan, sesetengah di kalangan kita pula mengharunginya dalam suasana 'serba baru'. Ada terpaksa mengharungi lautan gelora, ada pula sebatang kara ataupun sebagai orang baru memeluk Islam. BERITA HARIAN menemui tiga individu yang cekalkan semangat dalam menjalani ibadah puasa.



SEDANG keluarga lain merebut peluang Ramadan ini untuk mempereratkan silaturahim, bersahur dan berbuka puasa bersama, Cik Zahidah (bukan nama sebenar) hanya boleh mengimpikan detik sebegitu bersama keluarganya.



Ramadan kali ini tidak seperti tahun- tahun lalu.



Beliau buat julung-julung kalinya menjalani bulan mulia ini 'sebatang kara' - tanpa keluarga di sampingnya.



"Rasa sedih sebab tidak dapat sambut Ramadan bersama keluarga dan anak-anak," luahnya semasa dihubungi Berita Harian baru-baru ini.



Sejak Februari lalu, Cik Zahidah ditempatkan di Rumah Wanita Casa Raudha oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) kerana menjadi mangsa penderaan daripada anggota keluarganya.



Ditubuhkan secara rasmi pada 2008, Rumah Casa Wanita bermatlamat menyediakan tempat perlindungan sementara dan permulaan baru bagi wanita yang menjadi mangsa penderaan dan keganasan rumah tangga serta anak-anak mereka.



Sejauh ini, ia telah menghulurkan bantuan kepada lebih 1,000 mangsa.



Rumah yang terletak di daerah barat Singapura itu dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan dan boleh menampung sehingga 50 wanita dan kanak-kanak pada satu-satu masa.



Cik Zahidah merupakan antara 34 penghuni yang kini tinggal di rumah itu.



"Tapi alhamdulillah, ada juga teman-teman di sini untuk sahur dan berbuka puasa bersama. Merekalah yang berikan saya semangat," ujarnya yang kini berusia lingkungan 40-an tahun.



Meskipun ditemani penghuni lain yang senasib, Cik Zahidah tidak lepas daripada merasakan detik-detik kesunyian, sentiasa memikirkan tentang kebajikan empat anak-anaknya yang berusia antara 14 hingga 28 tahun.



Ditanya apa yang beliau sangat merindui ketika Ramadan dan menjelangnya Hari Raya ini, Cik Zahidah berkata beliau ingin sekali menyediakan hidangan masakannya untuk keluarga.



"Apabila masak lauk untuk sahur atau berbuka, ada kalanya teringat anak-anak dan suami sebab ia adalah lauk kegemaran mereka. Kadang-kadang sampai menangis dengan teman-teman.



"Walaupun sedih dan rindukan keluarga, saya terpaksa tahan dan redha sahaja dengan keadaan saya ini," katanya.



Sepanjang Ramadan ini, Cik Zahidah dan rakan penghuni yang lain sedang sibuk membuat biskut Raya bagi projek Biskut Ramadan yang dikendalikan oleh Casa Raudha setiap tahun.



Biskut tersebut akan dijual kepada orang ramai dan hasil kutipan jualan itu akan disalurkan sepenuhnya untuk manfaat penghuni di rumah itu.



Ini antara cara yang dilaksanakan rumah itu untuk mengumpulkan dana bagi menyara kehidupan penghuninya.



Orang ramai boleh juga menghulurkan sumbangan kepada mereka.



Projek tersebut bertujuan melatih penghuni mengenai cara menguruskan perniagaan kecil-kecilan agar mereka dapat memulakan perniagaan sendiri apabila mereka meninggalkan rumah itu nanti.



Menyifatkan dirinya kini sebagai "lebih tenang" dan "bersemangat", Cik Zahidah meletakkan niat untuk kembali ke pangkuan anak-anaknya tidak lama lagi.



"Saya memang ada harapan untuk pulih dan keluar dari rumah ini tapi saya mahu mempersiapkan diri dahulu.



"Saya mahu dapatkan pekerjaan yang baik dan kalau ada rezeki, saya mahu kembali dan sumbang semula kepada Casa Raudha," tambahnya.




"Tapi alhamdulillah, ada juga teman-teman di sini untuk sahur dan berbuka puasa bersama. Merekalah yang berikan saya semangat... apabila masak lauk untuk sahur atau berbuka, ada kalanya teringat anak-anak dan suami sebab ia adalah lauk kegemaran mereka. Kadang-kadang sampai menangis dengan teman-teman. Walaupun sedih dan rindukan keluarga, saya terpaksa tahan dan redha sahaja dengan keadaan saya ini. "
– Cik Zahidah (bukan nama sebenar), yang sejak Februari lalu dapat ditempatkan di Rumah Wanita Casa Raudha kerana menjadi mangsa penderaan keluarganya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >