Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ibu kongsi pengalaman lahirkan kembar tiga

May 08, 2021 | 05:30 AM



BUKAN satu, bukan dua, tetapi tiga sekali gus.



Rezeki datang bergolek bagi keluarga Cik Nur Halimahtullah Abdul Halim tatkala beliau dikhabarkan hamil dengan kembar tiga - cahaya mata sulungnya - pada 2017.



Berita itu tentu sekali menggembirakan beliau dan suaminya, Encik Muhsin Muttaqin Ibnu Adam, meskipun ia sesuatu yang amat mengejutkan mereka.



"Kami berdua sangat terkejut. Kalau kembar dua, tak mengapa juga. Tetapi ini kembar tiga. Kami pun tak kenal sesiapa yang ada kembar tiga. Memang tak disangka langsung," kata beliau, yang bertugas sebagai pekerja sosial.



Namun, kehamilan Cik Halimahtullah, 34 tahun, tidak begitu mudah.



Sejak awal lagi, beliau telah diberitahu oleh doktornya bahawa terdapat kemungkinan salah seorang bayinya mungkin tidak dapat bertahan sehingga sembilan bulan, dan juga kemungkinan antara daripada mereka boleh dilahirkan dengan keperluan khas.



Disebabkan kehamilan risiko tingginya itu, beliau perlu berulang-alik ke hospital setiap dua minggu bagi pemeriksaan demi memastikan beliau dan kandungannya dalam keadaan sihat.



Bagaimanapun, ketika hadir bagi pemeriksaan semasa 31 minggu hamil, Cik Halimahtullah diberitahu berita tidak diduga oleh doktornya.



"Doktor sakit puan saya kata bayi saya telah berhenti membesar kerana tidak ada cukup ruang. Dan jika ditangguhkan lagi, saya mungkin akan mengalami kerumitan. Beliau kata saya perlu lakukan pembedahan Caesarean keesokannya juga.



"Saya rasa bimbang, rasa macam terlalu cepat kerana mereka belum sempat membesar sepenuhnya. Namun, pada masa yang sama, saya boleh rasa yang perut saya ini tak dapat kandung mereka lebih lama lagi. Perut saya rasa besar dan ketat sangat," kata beliau.



Pada 1 Jun 2018, Cik Halimahtullah melahirkan kembar tiga seiras - Ahmad Faqih, Ahmad Nasir dan Ahmad Salih - menerusi pembedahan Caesarean.



Ketiga-tiga bayinya, yang dilahirkan dengan berat antara 1.2 kilogram dengan 1.4 kilogram, dimasukkan ke unit rawatan intensif neonatal (NICU) kerana pramatang dan mempunyai berat badan yang amat rendah.



Oleh sebab anak-anaknya berada di dalam NICU dan beliau juga perlu berehat kerana kehilangan banyak darah, Cik Halimahtullah hanya dapat bertemu anak-anaknya empat hari selepas bersalin.



"Saya nangis apabila saya melihat mereka. Saya rasa sedih saya tak dapat bawa mereka pulang. Mereka diletakkan dalam inkubator berasingan, dengan tiub pada tubuh mereka," kata beliau, sambil menambah ketiga-tiga anaknya itu berada di hospital selama sekitar sebulan.



Kini, anak-anaknya hampir berusia tiga tahun dan semuanya sihat dan aktif.



Malah, mereka juga seperti selebriti mini di estet kejiranan mereka, seloroh Cik Halimahtullah.



"Kalau saya ke pasar dan bawa seorang saja, ada saja orang yang akan bertanya mana yang lagi dua?," kongsi beliau.



Oleh sebab mereka kembar seiras, Cik Halimahtullah dan suaminya akan memakaikan mereka baju berlainan warna semasa mereka kecil dahulu supaya tidak keliru.



Kini dengan mereka sudah besar sedikit, pasangan ibu bapa itu dapat mengenal pasti anak-anak mereka menerusi minat mereka yang berbeza.



Cik Halimahtullah dan suaminya juga mempunyai rutin harian dalam penjagaan anak-anak mereka. Mereka juga disokong ibu Cik Halimahtullah yang datang ke rumah mereka setiap hari untuk membantu dengan kerja rumah.



"Selepas kerja setiap hari, kami akan ambil anak-anak di pusat penjagaan kanak-kanak satu per satu kerana mereka kini lebih aktif dan mahu jalan sendiri atau berlari. Apabila tiba di rumah, memang kecoh. Mana yang nak main dengan mainan dan sebagainya.



"Saya dan suami akan aturkan beg sekolah mereka, siapkan makan malam kami dan makan malam mereka. Ia rutin yang tetap untuk kami berdua," jelasnya.



Sebagai seorang ibu yang bekerja sepenuh masa, Cik Halimahtullah berkongsi beliau rasa prihatin sama ada dapat memberikan perhatian dan waktu yang mencukupi kepada setiap anaknya, memandangkan beliau perlu mengimbangi komitmen tugas dan juga tanggungjawab peribadi.



"Saya selalu bergurau dengan rakan kerja saya bahawa saya ada syif pagi dan syif malam, dan saya dan suami bekerja sepanjang hari sepenuh masa," kata beliau, yang juga seorang mentor bersama Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF).



Kos juga antara keprihatinan pasangan itu, dengan perbelanjaan mereka adalah tiga kali lebih tinggi demi memastikan segala keperluan ketiga-tiga putera mereka, seperti makanan, pakaian dan persekolahan, dapat dipenuhi.



Meskipun terdapat cabarannya membesarkan kembar tiga, semuanya berbaloi bagi Cik Halimahtullah.



"Hanya dengan melihat mereka, mendengar tawa riang mereka apabila anda bangun tidur dan mendengar mereka memanggil anda dan mahu memberitahu segala-galanya, melihat bagaimana mereka telah membesar daripada bayi dalam inkubator kepada kanak-kanak aktif yang suka berlari dan memanjat, membuat saya rasa gembira," kata beliau.



"Perjalanan kehamilan dan keibuan tidak mudah…tetapi kita harus menghargai setiap detik yang kita ada bersama anak-anak kita. Meskipun kadang kala agak mencabar apabila mereka tidak mahu dengar kata kita, tetapi mereka darah daging kita. Ia mungkin mencabar dan sukar, tetapi ia juga sama, jika tidak lebih, mendatangkan kepuasan," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >