PASUKAN Polis Singapura (SPF) akan menubuhkan ibu pejabat divisyen di Woodlands untuk meningkatkan khidmat polis di kawasan utara Singapura.
Ibu Pejabat Divisyen (DHQ) Woodlands itu akan dibina di persimpangan Woodlands Avenue 3 dan Woodlands Street 12.
Dijangka siap menjelang hujung 2018, DHQ itu akan memaparkan sebuah lobi layan diri, kawasan sambut tetamu yang dipertingkat serta kemudahan lain untuk memenuhi keperluan masyarakat.
Ibu pejabat divisyen itu merupakan yang ketujuh bagi SPF.
Majlis pecah tanah bagi ibu pejabat itu hari ini dihadiri oleh Speaker Parlimen, Cik Halimah Yacob, yang juga Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, sebagai tetamu terhormat.
Turut hadir ialah Setiausaha Parlimen (Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin.
Di acara itu, Cik Halimah turut melancarkan projek Kenderaan Pengawal (Vehicle on Watch), sebuah inisiatif yang memanfaatkan kamera dalam kenderaan untuk mengesan dan menghalang jenayah.
Projek itu menggalak dan melibatkan penduduk yang telah memasang kamera dalam kenderaan mereka untuk memainkan peranan memelihara keselamatan di kejiranan mereka.