Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:08
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Setempat

BUNUH DIRI, ISU MENTAL: SALAH SIAPA?

Ibu rasa bersalah, bimbang pandangan serong masyarakat

Dec 02, 2019 | 05:30 AM

KERACUNAN makanan.

Itulah penceritaan 'rasmi' yang digunakan ibu Cik Sasha (bukan nama sebenar) apabila berdepan dengan pertanyaan bagaimana anaknya, yang juga adik bongsu Cik Sasha, meninggal dunia dengan mendadak.

Namun, kisah sebenar bukan disebabkan keracunan makanan.

Sebaliknya, arwah mengambil pil racun kerana mahu bunuh diri.

"Sehingga sekarang, ibu rasa seolah-olah beliau yang bersalah, kerana beliau penjaga utama adik saya. Ibu saya bimbang apakah pandangan orang daripada generasinya... dan beliau masih belum dapat teruskan kehidupan setelah pemergian adik saya. Yang tahu tentang hal sebenar ialah rakan dan keluarga terdekat saja," luah Cik Sasha, 30 tahun.

Meskipun selesa mendedahkan identitinya, Cik Sasha terpaksa menyelindung nama sebenar beliau kerana ibunya masih belum terbuka mahu berkongsi kisah adiknya yang bunuh diri setelah sekian lama berjuang melawan kemurungan sejak di bangku sekolah menengah.

Berkongsi cerita, Cik Sasha berkata sudah empat kali adiknya, jika hidup akan berusia 23 tahun, cuba bunuh diri.

Sebelum ini, ia dengan makan dos pil berlebihan.

"Ibu bapa saya simpan ubat adik saya dan berinya apabila tiba waktu makan... adik saya mungkin cari cara simpan ubat itu atau pura-pura makannya," kata Cik Sasha.

Namun, pada kali kelima adiknya bunuh diri, ia berupa pil racun yang meragut nyawanya, Februari lalu.

Menyingkap pengalaman, Cik Sasha berkata adiknya didiagnosis semula dengan gangguan personaliti pinggiran, atau borderline personality disorder, dua tahun lalu.

Sejak itu, Cik Sasha berkata keluarganya cuba sedaya upaya menangani keadaan adiknya.

"Ibu bapa saya hadiri kursus bagaimana menjaganya. Saya dan adik saya yang nombor dua bawanya jalan-jalan, ke terapi seni... perjalanannya amat mencabar. Satu detik kami rasakan beliau sedang pulih, detik seterusnya, kami dapati beliau nak bunuh diri," kata kakak sulung itu.

Menyifatkan keadaan kesihatan mental sebagai "penyakit yang tidak boleh dilihat mata kasar", Cik Sasha berkata sukar mengenal pasti apakah faktor yang membuatkan adiknya bunuh diri.

Menurutnya, ia mungkin disebabkan pelbagai faktor: kucing kesayangannya mati, teman lelakinya putus dengannya, beliau gagal lanjutkan pelajaran ke universiti, dan beberapa rakannya daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) turut bunuh diri.

"Adik saya cuba sedaya upaya mahu pulih, dengan bekerja dan berjalan-jalan dengan keluarga saya dan rakannya, tetapi penyakitnya membuatkan beliau rasa sepi dan mempunyai fikiran negatif yang perit untuk ditangani setiap hari. Banyak kali juga beliau sukar bangun daripada katil kerana terlalu penat atau tidak mampu berpura-pura bahawa semua baik-baik sahaja," katanya.

Sepanjang proses berusaha memulihkan adiknya, Cik Sasha berkata mereka sekeluarga menjadi lebih rapat, malah mereka memberi perhatian yang lebih kepada arwah.

"Kami telah cuba sedaya upaya... tetapi perasaan yang kami tidak melakukan secukupnya, tetap ada. Jadi, perasaan inilah yang perlu kami tanggung dan tangani sebagai satu keluarga sejak pemergian adik saya," ujarnya.

Namun, memandang ke depan, Cik Sasha berhasrat membukukan tulisan dan jurnal arwah adiknya sewaktu arwah berjuang melawan keadaan mental yang dialami.

Katanya: "Halangannya kini adalah ibu bapa saya. Mereka masih khuatir tentang budaya gosip masyarakat Melayu.

"Saya harap masyarakat lebih terbuka, dan tidak menghukum mereka yang bunuh diri. Sebaliknya, bantu mereka yang mengalami keadaan mental sebelum ia terlambat. Dengan lebih perbualan, lebih ramai yang akan tampil mendapatkan bantuan."


"Sehingga sekarang, ibu rasa seolah-olah beliau yang bersalah, kerana beliau penjaga utama adik saya. Ibu saya bimbang apakah pandangan orang daripada generasinya... dan beliau masih belum dapat teruskan kehidupan setelah pemergian adik saya. Yang tahu tentang hal sebenar adalah rakan dan keluarga terdekat saja."
- Cik Sasha (bukan nama sebenar), tentang keadaan ibunya setelah adik bongsunya meninggal dunia akibat bunuh diri.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian