Subuh
5:32
Syuruk
6:55
Zuhur
12:58
Asar
4:22
Maghrib
6:58
Isyak
8:13
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ibu tunggu masa selepas anak tamat PSLE untuk dedah keadaannya yang hidap barah

Jan 14, 2023 | 08:59 PM



SELAMA hampir 10 bulan pada 2021, Cik Eryannie Mohamad merahsiakan daripada kedua-dua anak perempuannya tentang barah payu dara tahap kedua yang dikenal pasti doktor.



Beliau telah menemui benjolan di payu dara kirinya pada penghujung Disember 2020, hanya beberapa minggu sebelum beliau menjalani mamogram pertamanya pada usia 40 tahun.



Biopsi pada Januari 2021 mengesahkan ketakutan yang dirasakan selama ini dengan doktor memberitahunya benjolan itu sudah wujud selama sembilan bulan.



“Saya terdiam. Satu-satunya perkara yang saya fikirkan pada masa itu ialah yang anak kedua saya bakal mengambil Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada tahun itu dan yang bongsu baru sahaja berusia lapan tahun.



"Saya tidak mahu memberitahu mereka,” kata Cik Eryannie, 42 tahun, yang ketika itu menjadi pembantu guru di sekolah berkeperluan khas, kepada akhbar The Straits Times.



Apabila beliau terpaksa menjalani mastektomi dan pembinaan semula payu daranya pada Mac tahun itu, beliau memberitahu anak sulungnya, Danish Irfan Putra Fauzi, yang ketika itu berusia 15 tahun, mengenai diagnosis barah yang dikesan, seminggu sebelum pembedahannya.



"Apabila saya mula-mula mendengar kata-kata ibu, hati saya sayu. Ibu saya amat bermakna bagi saya,” kata Danish.



"Tetapi saya tahu saya perlu tampil ke depan dan meyelaras urusan menjaga perihal rumah kami kerana ayah saya kerap masanya bekerja," tambahnya.



Cik Eryannie memberitahu dua anak perempuannya bahawa ada sesuatu dalam dirinya yang perlu dibedah untuk dikeluarkan daripada tubuhnya tanpa menyebut tentang kekata barah atau 'cancer' itu.



Anak perempuan sulungnya, Damia Aleesya Putri Fauzi, belajar mengetahui keadaan sebenar selepas kertas peperiksaan terakhirnya.



Dia berkata dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena dan bimbang tentang ibunya, tetapi tidak menyangka ibunya dilanda barah.



“Saya bersyukur ibu berjaya mengharungi tempoh sukar ini,” kata Damia, 13 tahun.



Anak bongsunya, Dinah Qistina Putri Fauzi, yang berusia sembilan tahun pada masa itu, mengimbau kembali saat dia mengetahui ibunya menghidap barah payu dara.



“Saya berasa sedih untuknya. Pada masa yang sama, saya mahu menyokongnya melalui tempoh sukar ini supaya ibu dapat bertahan dan melihat adik-beradik saya dan saya semakin dewasa dan berumah tangga," katanya.



Dinah, kini 11 tahun, berkata ada tempoh dia begitu merindui ibunya yang dirawat di hospital.



"Saya akan memeluk sesuatu yang ibu selalu gunakan kerana ia akan mengingatkan saya kepadanya," katanya lagi.



Suami Cik Eryannie, Encik Fauzi Isnin, 44 tahun, seorang pemandu tapak keselamatan, berkata isterinya cekal dalam menguruskan barah payu daranya.



Beliau bersyukur dapat menggalakkan isterinya memeriksa benjolan itu walaupun ia tidak menyakitkan.



Di tempat kerja, bos dan rakan sekerja Encik Fauzi mencipta ruang yang selamat untuknya merungkai kebimbangannya, walaupun ketika beliau bergegas menyusun jadual untuk anak-anak dan mengatur penghantaran makanan buat anak-anaknya pada tempoh isterinya melalui pemulihan.



Sebaik sahaja beliau pulang ke rumah, Cik Eryannie akur bahawa beliau tidak dapat menjadi ibu yang aktif dan melakukan segalanya seperti dulu.



Sebanyak 16 sesi kemoterapi dijalaninya, bermula pada Jun 2021.



Ia telah menjejaskan tubuhnya dan tenaganya yang berkurangan separuh daripada asal.



Beliau masih belum pulih sepenuhnya dan tidak boleh mengangkat barangan berat dengan lengan kirinya.



Bapanya Encik Mohamad Sah Osman, 70 tahun, berpindah ke rumahnya untuk membantu.



Cik Eryannie terpaksa berhenti kerja.



Pelbagai kesan sampingan selepas kemoterapi melandanya, termasuk kekejangan kaki, pening dan hilang selera makan. Kecelaruan otak dan gejala kemurungan menyusuli.



"Jika saya tidak bercakap dengan diri sendiri secara positif, saya akan berasa sangat lemah semangat," katanya.



Beliau teringat suatu ketika di mana beliau cuba menurunkan pakaian dari rak pengering yang tinggi tetapi ia terjatuh pula.



Beliau akan memarahi dirinya sendiri kerana tidak dapat melakukan sesuatu yang semudah itu.



"Maklumlah, saya pernah melakukan semua ini sendiri dan kini saya terpaksa merayu kepada orang lain untuk membantu saya. Saya berasa sangat tidak berguna," katanya lagi.



Menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas barah juga merupakan satu pengajaran buatnya belajar untuk melepaskan dan membolehkan anak-anaknya menjadi lebih berdikari, tambahnya.



“Turunkan jangkaan anda. Jika mereka berselerakkan bilik, masuk ke dalam bilik itu, intip seketika dan keluar," katanya sambil tersenyum.



Beliau mendapati berguna untuk membincangkan masalahnya dengan rakan penghidap barah payu dara di Pusat Barah Kebangsaan Singapura (NCCS, www.nccs.com.sg), Yayasan Barah Buah Dada (BCF, www.bcf.org.sg) dan Persatuan Ain ( www.ainsociety.org.sg), sebuah pertubuhan perkhidmatan sosial dengan tumpuan pada penjagaan barah.



Dinah turut menyertai program di NCCS, yang membantunya mengatasi emosinya dan lebih memahami keadaan ibunya.



“Saya selalu beritahu mereka, awak mesti ada kawan. Jangan tinggal bersendirian untuk mengendalikan perasaan anda kerana anda tidak boleh menguruskannya seorang diri,” kata Cik Eryannie, yang melihat seorang kenalan meninggal dunia akibat kanser payu dara Tahap 3 kerana beliau menangguhkan untuk mendapatkan rawatan dan menolak sokongan.



Cik Eryannie kini menyumbang semula kepada masyarakat dengan mengambil bahagian dalam ceramah kesedaran di BCF, serta menjadi sukarelawan di prasekolah, masjid dan pusat tuisyen kerana beliau mempunyai latihan dalam pendidilkan golongan berkeperluan khas.



Walaupun Cik Eryannie masih mengunjungi doktor setiap bulan untuk pemeriksaan, perjalanannya mengharungi barah nampaknya telah mendekatkannya dengan keluarga.



Damia berkata dia kini gembira keluar dengan ibunya walaupun dia lebih suka tinggal di rumah.



Danish menghargai hubungan rapat dengan ibunya, tempatnya berkongsi kisah sehariannya.



Dia akan memberitahu kanak-kanak lain yang mengalami keadaan serupa:



"Tidak mengapa jika hati kita remuk mengenai situasi sebegini tetapi jangan memikirkannya.



"Kalau ada apa-apa, anda pasti mahu rasa gembira untuk ibu anda. Anda mahu terus membantunya dan menyokongnya mengharungi perjuangannya," jelasnya.



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >