Ibu *Valedictorian

Guru jaya sambung rancangan tertangguh buru ijazah Sarjana Pendidikan selepas 23 tahun

KEINGINAN menyambung pengajian dalam bidang pendidikan sudah tersemat dalam hatinya sejak beliau masih memburu ijazah lagi.

Namun pelan itu tertangguh setelah Cik Intan Salwah Badiuzzaman mendirikan rumah tangga sejurus tamat pengajian pada usia 23 tahun.

Selang 23 tahun kemudian, ibu empat anak itu kembali menaiki pentas bukan sahaja untuk menggenggam segulung ijazah Sarjana Pendidikan, malah menyampaikan ucapan selaku valedictorian (pelajar terbaik).

"Saya tak sangka. Saya hanya mahu melakukan yang terbaik sahaja. Untuk dipilih sebagai valedictorian adalah penghormatan yang amat besar dan merendah diri...

"Saya bersyukur dapat sampai sejauh ini pada usia tua sebegini," kata wanita berusia 46 tahun itu sambil tertawa.

Menceritakan kembali pengalamannya, Cik Intan berkongsi bahawa beliau berhenti kerja sebagai Ketua Jabatan (HOD) Bahasa Inggeris di Sekolah Rendah Teck Whye buat sementara waktu untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Pendidikan di Institut Pendidikan Nasional (NIE) secara sepenuh masa selama setahun.

Meskipun dapat 'berehat' daripada pekerjaannya, penerima biasiswa itu berkata menggalas tanggungjawab sebagai pelajar sepenuh masa dan ibu bukanlah suatu yang mudah.

"Tidur adalah sesuatu yang saya serba kekurangan kerana saya cenderung menghabiskan tugasan sekolah sepanjang waktu malam kerana itulah masa yang aman," kata beliau, yang mempunyai empat anak berusia antara 13 dengan 22 tahun.

Oleh kerana jadual sekolahnya adalah pada sebelah petang hingga malam, Cik Intan berkata bahawa beliau akan tidur sekitar tiga atau empat jam pada sebelah pagi setelah menghantar anaknya ke sekolah.

Kemudian, beliau akan memasak dan meluangkan masa bersama mereka.

Tambahan pula, anak bongsu beliau ketika itu sedang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

"Saya pernah menangis kerana saya kesuntukan masa menghabiskan tugasan sekolah...lebih-lebih lagi kerana waktu itu, ibu saya sakit dan dimasukkan ke hospital dan saya perlu mengimbangi banyak tanggungjawab... sehingga saya tertanya diri saya kenapalah saya memilih untuk sambung belajar.

"Namun, suami saya mengingatkan saya agar terus cekal untuk anak-anak dan untuk diri saya kerana di akhir perjalanan ini saya akan lihat kembali dan sedar bahawa usaha saya berbaloi," jelas anak bongsu dalam empat adik beradik itu.

Selain sokongan daripada suami dan anak-anak, Cik Intan berkata bahawa sumber inspirasinya adalah kedua ibu bapanya sendiri, yang percaya teguh dengan pendidikan sepanjang hayat.

Justeru, beliau berhasrat sambung belajar ke peringkat Doktor Dalam Pendidikan (EdD) jika ada kelapangan dan keadaan mengizinkan.

* Valedictorian bererti pelajar terbaik


"Kita bukan setakat kaum ibu sahaja. Tugas kita lebih daripada sekadar melahirkan anak dan membesarkan mereka. Kita juga adalah contoh bagi mereka. Jangan gentar bercita-cita dan mempunyai matlamat tinggi. Perlu siapkan mental kita dan terima bahawa perjalanannya tidak akan mudah, dan usah takut bertanya orang di sekeliling untuk bantu memberi anda sokongan kerana sistem sokongan kuat itu penting."
- Cik Intan Salwah Badiuzzaman.