JAKARTA: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menghantar pulang pada Selasa (27 Dis) seorang lelaki dan seorang wanita warga Indonesia yang didakwa mempunyai rancangan pergi ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).
Kedua-dua mereka dihantar pulang ke Batam.
Lelaki berusia 40 tahun itu berasal dari Medan, Sumatera Utara, dan dikenal pasti hanya sebagai MNA. Wanita tersebut, juga 40 tahun, hanya dikenal pasti sebagai SI dan diketahui bermastautin di Jawa Barat.
Kedua-duanya tiba di Pusat HarbourFront di Singapura pada Isnin (26 Dis) dan disoal siasat sebelum dihantar pulang esoknya, kata Leftenan Kolonel Saprono Erlangga, jurucakap polis Kepulauan Riau.
Pasangan itu meninggalkan Batam menaiki pada bot laju Queens Star pada petang Isnin. Mereka merancang meneruskan perjalanan ke Syria selepas Singapura.
"Mereka kini disoal siasat polis dan pegawai imigresen. Mereka merancang pergi ke Syria. Siasatan sedang dijalankan secara intensif tentang apakah mereka merancang menyertai ISIS," kata Lef-Kol Erlangga.
Ini kes kedua yang dilaporkan mengenai rancangan warga Indonesia pergi ke Syria dengan menggunakan Singapura sebagai pusat transit.
Pada 21 Feb, tiga kakitangan sebuah sekolah berasrama Islam radikal di Jawa Barat dan seorang pelajar remaja ditahan di Singapura dan dihantar pulang.
Mereka dihantar pulang ke Indonesia selepas siasatan mendapati mereka mempunyai rancangan pergi ke Syria untuk berjuang bersama ISIS, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura dua hari kemudian.
Empat orang itu ialah Mukhlis Khoirur Rofiq, 22 tahun; adiknya, pelajar Muhammad Mufid Murtadho, 15 tahun; Risno, 27 tahun; dan Untung Sugema Mardjuk, 48 tahun.
Kesemuanya disoal siasat oleh polis unit antipengganasan tetapi tidak dapat ditahan lagi kerana di bawah undang-undang Indonesia mereka tidak melakukan sembarang kesalahan.
Semuanya dibebaskan pada 24 Feb.