KESESAKAN dijangka berlaku di kedua-dua pusat pemeriksaan imigresen di Tuas dan Woodlands sempena cuti umum Good Friday, Jumaat ini (14 Apr).
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataannya hari ini menyatakan, kesesakan dijangka berlaku mulai lusa (13 Apr) hingga Ahad ini (16 Apr).
Oleh itu, orang ramai yang ingin melalui kedua-dua pusat imigresen ini perlu menjangkakan kelewatan.
Ini memandangkan pihak ICA akan mengekalkan tahap pemeriksaan rapi dalam usahanya menghadapi apa jua ancaman ke atas Singapura.
Sistem BioScreen yang telah dilaksanakan di kesemua pusat pemeriksaan darat akan mendapatkan cap jari orang ramai yang melewati imigresen.
Dengan pemeriksaan yang dijalankan, kesesakan trafik dijangkakan berlaku. Untuk mengurangi kesesakan, orang ramai dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka.
Mereka juga dinasihatkan agar menggunakan pasport mereka sendiri dan memastikan ia sah digunakan untuk tempoh enam bulan atau lebih lama, sebelum memulakan perjalanan mereka semasa cuti Good Friday ini.
Terdapat kejadian di mana warga Singapura mengemukakan pasport yang salah atau pasport yang telah dilaporkan hilang sebelum ini bagi pelepasan imigresen.
Kes-kes sedemikian akan hanya melambatkan dan melecehkan perjalanan pemegang pasport itu dan orang lain yang berada di situ.
Kesemua pasport ini akan dibatalkan penggunaannya oleh ICA, dan sebarang percubaan menggunakannya akan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Pasport, dan boleh mengakibatkan seseorang itu didenda sehingga $10,000 atau dipenjarakan sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pasport yang dilaporkan hilang dan kemudiannya ditemui semula mesti dikembalikan kepada ICA dalam masa 14 hari untuk mengelakkannya daripada disalahguna oleh seseorang yang berniat jahat.
Kegagalan untuk menyerahkan pasport yang ditemui semula menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Pasport dan seseorang itu boleh didenda sehingga $3,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.