Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ICA sasar kurangkan masa menunggu bas di koswe untuk atasi kesesakan pusat pemeriksaan darat

May 27, 2023 | 04:14 PM



BAGI mengurangkan kesesakan dan masa menunggu bas di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) akan bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Causeway Link (CW) untuk meningkatkan kekerapan bas.

Daripada anggaran 242,000 orang yang merentasi Pusat Pemeriksaan Woodlands setiap hari, hampir 100,000 adalah penumpang bas, dengan majoriti daripada mereka adalah pekerja Malaysia.

Komander ICA Woodlands, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Collin Tan berkata demikian semasa satu sidang media pada 27 Mei, di mana beliau memperkenalkan ‘Loop system’ atau sistem lingkaran bagi bas CW.

Menerusi sistem tersebut, pemandu bas CW tidak lagi perlu melepasi imigresen untuk mengambil atau menurunkan penumpang.

Selepas menurunkan penumpang di Pusat Pemeriksaan Woodlands, bas CW yang tiba dari Bangunan Sultan Iskandar hanya perlu membuat pusingan ‘U’ untuk mengambil penumpang yang berangkat dari Pusat Pemeriksaan Woodlands untuk ke Bangunan Sultan Iskandar.

Bas CW yang tiba di Pusat Pemeriksaan Woodlands dari Singapura juga akan menurunkan penumpang yang berangkat ke Bangunan Sultan Iskandar sebelum membuat pusingan ‘U’ untuk mengambil penumpang yang tiba dari Bangunan Sultan Iskandar.

Oleh kerana pemandu bas tidak perlu mengambil masa untuk melepasi imigresen, kekerapan bas akan meningkat, jelas SAC Tan.

Bergantung pada kesesakan, ICA akan terus menghubungi LTA untuk meminta mereka menghantar lebih banyak bas ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Pegawai ICA akan membuat keputusan demikian dengan memantau rakaman melalui kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung dari pusat operasi mereka.

SAC Tan berkata Pusat Pemeriksaan Woodlands telah memasang lorong automatik sejak 2020 untuk mempercepatkan pelepasan imigresen.

“Lorong automatik telah meningkatkan kekerapan pelepasan lebih 20 peratus semasa waktu sibuk.

“Kini, kami dapat menangani tambahan 1,000 orang sejam antara 5 petang dengan 8 malam, berbanding tempoh prapandemik pada 2019,” katanya.

Sebanyak 68 lorong automatik dua hala dipasang di Pusat Pemeriksaan Woodlands, yang mampu digunakan untuk membawa orang yang ingin masuk atau keluar Singapura.

Terdapat juga 46 lorong automatik yang digunakan di Pusat Pemeriksaan Tuas.

ICA merancang untuk memasangkan lebih banyak lorong automatik di kededua pusat pemeriksaan pada masa depan bagi meningkatkan lagi keberkesanan.

Untuk pemandu dan penumpang kereta pula, mereka boleh melepasi imigresen menggunakan kod QR individu atau kumpulan melalui aplikasi mudah alih MyICA mulai awal 2024.

Ini bermakna mereka tidak lagi perlu menunjukkan pasport masing-masing.

Mereka hanya perlu membuat profil dan menjana kod QR terlebih dahulu.

Aplikasi MyICA menggunakan butiran yang diperoleh daripada Singpass atau pasport mereka.

Pegawai ICA hanya perlu memeriksa sama ada wajah mereka sama dengan gambar mereka yang diperoleh daripada aplikasi tersebut.

Profil yang dibuat boleh disimpan untuk perjalanan pada masa depan supaya mereka tidak perlu menjana kod QR sekali lagi.

Ini membolehkan pelepasan kumpulan diselesaikan dengan lebih cepat, kata SAC Tan. Kini, ICA sedang melaksanakan uji cuba sebelum ia diperkenalkan sepenuhnya pada awal 2024.

Beliau juga berkata ICA akan memperkenalkan Lorong Sistem Pelepasan Penumpang Dalam Kereta Automatik (Apics) di Pusat Pemeriksaan Tuas mulai 2026 dan di Pusat Pemeriksaan Woodlands yang akan dibangunkan semula mulai 2028.

Menurutnya, Apics akan mengurangkan masa menunggu. Apabila dilaksanakan sepenuhnya, pemandu kereta boleh melakukan pelepasan sendiri tanpa berinteraksi dengan pegawai ICA.

Mengulas tentang pembangunan semula Pusat Pemeriksaan Woodlands, SAC Tan berkata ia mustahak untuk tingkatkan pelepasan semua jenis kenderaan dengan lebih cekap.

“ICA telah meramalkan bahawa jumlah trafik di Pusat Pemeriksaan Woodlands akan meningkat kepada 40 peratus menjelang 2050.

“Untuk menampung peningkatan jumlah ini, ICA akan membangunkan semula Pusat Pemeriksaan Woodlands secara berperingkat.

“Ini akan mengurangkan masa perjalanan dengan ketara, daripada 60 minit kepada 15 minit semasa tempoh sibuk,” katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >