Subuh
5:36
Syuruk
6:53
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
7:00
Isyak
8:08
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Usaha warga tangani inflasi

Ikhtiar cari kerja tetap, manfaat promosi bila belanja

Baru-baru ini, pemerintah mengumumkan pakej bantuan bernilai $1.5 bilion untuk membantu warga Singapura mengharungi cabaran ekonomi dan kadar inflasi global yang tinggi kini. Inflasi yang meningkat telah menyebabkan harga barangan, termasuk makanan, elektrik dan gas, naik dan menjejas ramai warga. BERITA HARIAN memaparkan bagaimana inflasi telah menyebabkan perbelanjaan bulanan keluarga berubah dan bagaimana langkah-langkah bantuan yang diumumkan dapat membantu mereka.
Jul 09, 2022 | 05:30 AM

SETIAP hari, Encik Abdul Rahman Abdul Ghani membanting tulang siang malam demi menyara hidup keluarganya.

Namun, gaji sekitar $850 setiap bulan yang dibawa pulangnya sebagai pekerja penghantaran Grab jauh daripada mencukupi bagi keperluan isteri dan enam anaknya yang berusia antara empat bulan dengan lapan tahun.

Encik Abdul Rahman, yang merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarganya, berkongsi bahawa perbelanjaan bagi keperluan dan barang harian mereka kini sudah bertambah.

Dahulu, keluarganya membelanjakan sekitar $600 sebulan untuk barang pasar dan keperluan asas seperti lampin dan susu untuk anak-anaknya tetapi kini kos itu telah meningkat kepada sekitar $1,000 sebulan.

"Harga barang pasar sudah naik. Kalau dahulu, saya belanja sekitar $136 sebulan untuk beli barang. Tetapi sekarang perbelanjaan itu dah naik $198 sebulan.

"Dahulu, harga dua tin susu anak saya sekitar $44 tetapi sekarang dah naik lebih $70. Lampin bayi pula sekitar $40 untuk tiga paket tetapi sekarang harganya lebih $70. Setiap bulan, saya perlukan enam tin susu dan lapan paket lampin bagi lima anak saya yang masih kecil," kata beliau.

Encik Abdul Rahman, 32 tahun, berkongsi bahawa beliau biasanya berbelanja di pasar raya yang terletak di depan bloknya, namun jika beliau inginkan harga barang yang lebih murah sedikit, beliau perlu pergi ke sebuah minimart yang terletak beberapa blok dari rumahnya.

Beliau juga kadangkala berbelanja secara dalam talian di Shopee untuk menikmati harga promosi dan diskaun, tetapi ini perlu dilakukan awal kerana barang yang dipesan biasanya tiba sekitar dua minggu kemudian.

"Jika kami perlukan susu dan lampin untuk anak-anak sekarang juga, kami tiada pilihan lain melainkan pergi ke pasar raya atau minimart untuk dapatkan barang," kata beliau, yang tinggal di sebuah flat sewa.

Encik Abdul Rahman menambah bahawa harga bil elektrik juga lebih tinggi hari ini.

Sebelum ini, bil elektrik rumahnya adalah sekitar $80 kerana menerima bantuan agensi pemerintah.

Kini, beliau tidak lagi menerima bantuan dan perlu membayar sekitar $200 bagi bil elektrik setiap bulan.

Kos rumah sewa beliau pula ialah $200 sebulan, yang dikurangkan daripada sewa asal $280 selepas beliau mendapatkan bantuan daripada Anggota Parlimen (AP).

Bantuan lain yang diterima keluarga Encik Abdul Rahman termasuk habuan makanan, seperti beras, gula dan minyak, setiap bulan.

Setiap hujung bulan, Encik Abdul Rahman berkata gajinya habis selepas dibelanjakan bagi semua barang keperluan dan beliau tidak mampu untuk menabung.

Beliau, yang biasanya keluar bekerja dari 10.30 pagi hingga 5.30 petang dan kemudian berehat sebelum sambung bertugas dari 7.30 malam hingga sekitar 11 malam, berkata kehidupan keluarganya serba sederhana dan beliau juga jarang membawa anak-anaknya keluar berjalan-jalan.

Ini kerana jika beliau tidak bekerja dan mengajak anak-anaknya keluar, ia akan menjejas perbelanjaan bulanan mereka.

Encik Abdul Rahman menambah beliau sudah berusaha gigih mencari pekerjaan sepenuh masa sepanjang tiga tahun lalu, namun sehingga hari ini, usahanya belum berhasil.

"Tetapi, walau apa pun, saya tetap bertungkus lumus kerja siang malam demi isteri dan anak-anak saya," kata beliau.

Dalam usaha membantu warga Singapura menangani inflasi yang meningkat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan mudah terjejas, pemerintah baru-baru ini mengumumkan pakej bantuan $1.5 bilion.

Di bawah pakej itu, keluarga seperti Encik Abdul Rahman akan menerima kredit utiliti $100 yang akan diberikan kepada setiap isi rumah rakyat Singapura menjelang September.

Antara lain, habuan Baucar GST sehingga $300 tunai pada Ogos ini juga akan disediakan untuk sekitar 1.5 juta warga Singapura bergaji rendah hingga pertengahan dan pesara yang tiada pendapatan.

Pemerintah juga akan mempertingkatkan skim ComCare untuk menyediakan sokongan tambahan kepada isi rumah yang menerima bantuan bagi jangka masa pendek, pertengahan dan panjang.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3